ULANGAN 4:5-8,11-14
ULANGAN 4:5-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku sudah mengajar kamu segala hukum itu, seperti yang telah diperintahkan oleh TUHAN, Allahku. Patuhilah semua hukum itu di tanah yang akan kamu rebut dan duduki. Patuhilah hukum itu dengan setia. Dengan demikian, kebijaksanaan kamu akan menjadi nyata kepada bangsa lain. Apabila mereka mendengar tentang semua hukum itu, mereka akan berkata, ‘Alangkah bijaksana dan arifnya bangsa yang besar itu!’ Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai tuhan yang begitu dekat apabila diperlukan mereka sebagaimana TUHAN, Allah kita dekat kepada kita. Dia menjawab bila-bila sahaja kita berseru meminta pertolongan. Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai hukum seadil hukum yang sudah aku ajarkan kepada kamu hari ini.
ULANGAN 4:11-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Beritahulah anak-anak kamu bagaimana kamu datang dan berdiri di kaki gunung yang diliputi oleh awan tebal daripada asap hitam, dan oleh api yang menyala sampai ke langit. Beritahulah mereka bagaimana TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api itu, dan bagaimana kamu mendengar suara-Nya tetapi tidak melihat Dia dalam bentuk apa pun. Dia memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan untuk menepati perjanjian yang sudah dibuat-Nya dengan kamu; kamu mesti mematuhi Sepuluh Hukum yang ditulis-Nya pada dua buah batu tulis. TUHAN menyuruh aku mengajar kamu semua hukum yang mesti kamu patuhi di tanah yang segera akan kamu rebut dan duduki.”
ULANGAN 4:5-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ingatlah, seperti yang diperintahkan kepadaku oleh TUHAN, Allahku, aku telah mengajarmu segala kanun dan peraturan untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki kelak. Peganglah teguh dan lakukanlah semua itu, kerana semua itu akan menjadi hikmah dan kearifan kamu di hadapan mata bangsa-bangsa lain. Ketika mereka mendengar segala kanun ini, mereka akan berkata, ‘Sesungguhnya, bangsa yang besar ini memang kalangan yang berhikmah dan arif!’ Bangsa besar manakah yang mempunyai tuhan yang sedemikian dekat kepada mereka seperti TUHAN, Allah kita dekat kepada kita bila-bila sahaja kita berseru kepada-Nya? Bangsa besar manakah yang mempunyai segala kanun dan peraturan yang adil seperti seluruh hukum Taurat yang kusampaikan kepadamu pada hari ini?
Ulangan 4:11-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian kamu tampil dekat dan berdiri di kaki gunung itu, sementara gunung itu menyala dengan api sampai ke pusat langit di tengah-tengah kegelapan, awan, dan kelam pekat. Lalu berfirmanlah TUHAN kepadamu dari tengah-tengah api itu. Bunyi firman itu kamu dengar, tetapi kamu tidak melihat sesuatu bentuk pun. Yang ada hanya suara. Dia menyatakan kepadamu perjanjian-Nya dan memerintahkan kamu untuk melakukannya, iaitu Sepuluh Hukum, yang kemudian dituliskan-Nya pada dua buah loh batu. Pada waktu itu, TUHAN memerintahkan aku untuk mengajarkan segala kanun dan peraturan ini kepadamu, supaya kamu melaksanakannya di negeri yang akan kamu masuki serta duduki kelak.