ULANGAN 31:2-18

ULANGAN 31:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Musa meneruskan ucapannya kepada umat Israel, “Sekarang aku sudah berumur seratus dua puluh tahun. Aku tidak sanggup lagi menjadi pemimpin kamu. Tambahan pula TUHAN sudah berfirman kepadaku bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan. TUHAN, Allah kamu sendiri akan memimpin kamu dan membinasakan bangsa-bangsa yang tinggal di situ, supaya kamu dapat menduduki tanah mereka. Yosua akan menjadi pemimpin kamu, seperti yang sudah difirmankan TUHAN. TUHAN sendiri akan membinasakan bangsa-bangsa itu, sebagaimana Dia mengalahkan Raja Sihon dan Raja Og, raja-raja orang Amori, serta memusnahkan negeri mereka. TUHAN akan memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu mesti memperlakukan mereka tepat seperti yang sudah aku katakan kepada kamu. Kamu harus yakin dan berani. Jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan kamu ataupun meninggalkan kamu.” Selepas itu Musa memanggil Yosua dan berkata kepadanya di hadapan semua orang Israel, “Engkau harus yakin dan berani. Engkaulah yang akan memimpin bangsa ini untuk menduduki tanah yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang mereka. TUHAN sendiri akan memimpin dan menyertai engkau. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan ataupun meninggalkan engkau. Oleh itu, jangan takut ataupun cemas.” Kemudian Musa menulis Taurat Allah itu dan memberikannya kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN dan kepada para pemimpin umat Israel. Musa memberikan perintah kepada mereka, “Pada akhir setiap tahun ketujuh, dalam tahun penghapusan hutang, bacalah Taurat ini dengan suara kuat pada Perayaan Pondok Daun. Bacalah Taurat ini bagi umat Israel apabila mereka datang untuk menyembah TUHAN, Allah kamu di satu tempat ibadat itu. Suruhlah semua orang lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal di kota kamu berkumpul, supaya semua orang akan mendengar pembacaan Taurat dan belajar menghormati TUHAN, Allah kamu, serta taat kepada ajaran-Nya dengan setia. Dengan cara itu, keturunan kamu yang belum pernah mendengar Taurat TUHAN, Allah kamu itu dapat mendengarnya. Oleh itu mereka akan belajar menghormati TUHAN selama mereka hidup di tanah yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Engkau tidak akan hidup lama lagi. Panggillah Yosua dan bawalah dia ke Khemah-Ku, supaya Aku dapat memberikan petunjuk kepadanya.” Musa dan Yosua masuk ke dalam Khemah TUHAN, dan TUHAN menampakkan diri kepada mereka dalam tiang awan dekat pintu Khemah TUHAN. TUHAN berfirman kepada Musa, “Tidak lama lagi engkau akan meninggal. Setelah kepergianmu, bangsa Israel tidak akan setia kepada-Ku. Mereka akan memungkiri perjanjian yang Aku buat dengan mereka. Mereka akan meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan yang disembah di tanah yang segera akan diduduki mereka. Apabila hal itu berlaku, Aku akan murka kepada mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan mereka akan binasa. Banyak malapetaka dahsyat akan menimpa mereka; kemudian mereka akan sedar bahawa semua itu berlaku kepada mereka kerana Aku, Allah mereka, tidak lagi menyertai mereka. Pada masa itu Aku tidak mahu menolong mereka lagi, kerana mereka sudah berbuat jahat dan menyembah tuhan-tuhan lain.

ULANGAN 31:2-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Katanya kepada mereka, “Hari ini aku berusia seratus dua puluh tahun. Aku tidak dapat giat lagi memimpinmu. Apatah lagi, TUHAN telah berfirman kepadaku, ‘Kamu tidak akan menyeberangi Sungai Yordan ini.’ TUHAN, Allahmu, Dia sendirilah yang akan maju di hadapanmu. Dia akan memusnahkan bangsa-bangsa itu dari hadapanmu sehingga kamu dapat menakluki mereka, dan Yosua akan memimpin kamu menyeberang, seperti yang difirmankan TUHAN. TUHAN akan memperlakukan mereka sebagaimana Dia memperlakukan Sihon dan Og, raja-raja bani Amori, dan juga negeri mereka ketika Dia memusnahkan mereka. TUHAN akan menyerahkan mereka kepadamu dan hendaklah kamu memperlakukan mereka selaras dengan segala perintah yang kusampaikan kepadamu. Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu. Jangan takut dan jangan gementar dengan mereka, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu.” Kemudian Musa memanggil Yosua dan berkata kepadanya di hadapan mata semua orang Israel, “Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu, kerana kamulah yang akan menyertai bangsa ini memasuki negeri yang telah TUHAN sumpah untuk memberikan kepada nenek moyang mereka. Kamu juga akan memimpin mereka mewarisinya. TUHAN sendiri akan memimpin kamu, dan Dia pulalah yang akan menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu. Jangan takut dan jangan kecut hati.” Musa menuliskan hukum Taurat ini dan menyerahkannya kepada para imam bani Lewi yang mengusung tabut perjanjian TUHAN, dan kepada semua tua-tua Israel. Kemudian Musa memberikan perintah kepada mereka demikian, “Pada akhir setiap tujuh tahun, iaitu pada Perayaan Pondok Daun dalam tahun pembebasan hutang, ketika semua orang Israel datang menghadap hadirat TUHAN, Allahmu, di tempat yang akan dipilih-Nya, bacakanlah hukum Taurat ini di depan semua orang Israel. Kumpulkanlah umat, baik lelaki, perempuan, anak-anak, mahupun pendatang yang ada di kota-kotamu, agar mereka mendengarkannya dan belajar supaya takut kepada TUHAN, Allahmu, serta mentaati semua kata dalam hukum Taurat ini. Dengan demikian anak-anak mereka yang belum pernah mengetahuinya akan dapat mendengarkannya dan belajar supaya takut kepada TUHAN, Allahmu, selama kamu hidup di tanah yang akan kamu miliki setelah menyeberangi Sungai Yordan.” Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Ketahuilah, ajalmu hampir tiba. Panggillah Yosua dan hadirkanlah diri bersama-sama di Khemah Pertemuan. Aku akan mentauliahkan dia.” Maka pergilah Musa dan Yosua, lalu hadir di Khemah Pertemuan. Kemudian TUHAN menampakkan diri di Khemah itu dalam tiang awan, dan tiang awan itu berdiri di pintu Khemah. Firman TUHAN kepada Musa, “Ketahuilah, kamu akan dibaringkan bersama dengan nenek moyangmu. Kemudian bangsa ini akan melakukan kemungkaran kafir dengan mengikuti tuhan bangsa asing di negeri yang akan dimasuki mereka. Lalu mereka akan meninggalkan Aku dan mengingkari perjanjian-Ku yang Kuikat dengan mereka. Pada waktu itu murka-Ku akan menyala-nyala terhadap mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka. Mereka akan dimakan habis dan ditimpa banyak malapetaka serta kesesakan. Pada waktu itu mereka akan berkata, ‘Bukankah malapetaka ini menimpa kita kerana Allah kita tidak lagi hadir di tengah-tengah kita?’ Pada waktu itu Aku akan menyembunyikan hadirat-Ku sama sekali kerana segala kejahatan yang dilakukan mereka, iaitu kerana mereka berpaling dan menyembah tuhan-tuhan lain.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami