ULANGAN 31:1-6
ULANGAN 31:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Musa meneruskan ucapannya kepada umat Israel, “Sekarang aku sudah berumur seratus dua puluh tahun. Aku tidak sanggup lagi menjadi pemimpin kamu. Tambahan pula TUHAN sudah berfirman kepadaku bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan. TUHAN, Allah kamu sendiri akan memimpin kamu dan membinasakan bangsa-bangsa yang tinggal di situ, supaya kamu dapat menduduki tanah mereka. Yosua akan menjadi pemimpin kamu, seperti yang sudah difirmankan TUHAN. TUHAN sendiri akan membinasakan bangsa-bangsa itu, sebagaimana Dia mengalahkan Raja Sihon dan Raja Og, raja-raja orang Amori, serta memusnahkan negeri mereka. TUHAN akan memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu mesti memperlakukan mereka tepat seperti yang sudah aku katakan kepada kamu. Kamu harus yakin dan berani. Jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan kamu ataupun meninggalkan kamu.”
ULANGAN 31:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Musa pergi menyampaikan kata-kata ini kepada semua orang Israel. Katanya kepada mereka, “Hari ini aku berusia seratus dua puluh tahun. Aku tidak dapat giat lagi memimpinmu. Apatah lagi, TUHAN telah berfirman kepadaku, ‘Kamu tidak akan menyeberangi Sungai Yordan ini.’ TUHAN, Allahmu, Dia sendirilah yang akan maju di hadapanmu. Dia akan memusnahkan bangsa-bangsa itu dari hadapanmu sehingga kamu dapat menakluki mereka, dan Yosua akan memimpin kamu menyeberang, seperti yang difirmankan TUHAN. TUHAN akan memperlakukan mereka sebagaimana Dia memperlakukan Sihon dan Og, raja-raja bani Amori, dan juga negeri mereka ketika Dia memusnahkan mereka. TUHAN akan menyerahkan mereka kepadamu dan hendaklah kamu memperlakukan mereka selaras dengan segala perintah yang kusampaikan kepadamu. Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu. Jangan takut dan jangan gementar dengan mereka, kerana TUHAN, Allahmu, menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu.”