ULANGAN 30:11-20

ULANGAN 30:11-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini tidak terlalu susah ataupun di luar jangkauan. Tempatnya bukan di langit, maka tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan naik ke sana dan membawanya turun supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’ Tempatnya bukan juga di seberang laut. Tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan menyeberangi laut dan membawanya kepada kami supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’ Jangan bertanya begitu kerana perintah itu ada dengan kamu. Kamu sudah mengetahuinya dan dapat menghafaznya; kamu hanya perlu melakukannya. Pada hari ini buatlah pilihan antara yang baik dan yang jahat, antara hidup dan maut. Jika kamu mematuhi perintah TUHAN, Allah kamu yang aku berikan kepada kamu hari ini, dan jika kamu mengasihi serta mentaati Dia, dan melakukan semua hukum-Nya, maka kamu akan makmur dan menjadi bangsa yang besar. TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu di tanah yang tidak lama lagi akan kamu duduki. Tetapi jika kamu tidak taat dan tidak mahu mendengar, dan membiarkan diri disesatkan untuk menyembah tuhan-tuhan lain, tentu kamu akan dibinasakan. Umur kamu tidak akan panjang di tanah di seberang Sungai Yordan, yang tidak lama lagi akan kamu duduki. Ingatlah! Aku memberikan amaran kepada kamu hari ini di tempat ini. Sekarang kamu boleh memilih antara hidup dan maut, antara berkat Allah dan kutuk-Nya. Aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap keputusan kamu. Pilihlah hidup. Kasihilah TUHAN, Allah kamu, taatlah dan setialah kepada-Nya, maka kamu dan keturunan kamu akan panjang umur di tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.”

ULANGAN 30:11-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesungguhnya, perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini tidaklah sukar bagimu dan tidaklah jauh daripada pencapaian kamu. Bukan di langit tempatnya sehingga engkau berkata, ‘Siapakah yang akan naik ke langit dan mengambilnya untuk kita supaya kita dapat mendengarkannya lalu melakukannya?’ Bukan pula di seberang laut tempatnya sehingga kamu berkata, ‘Siapakah yang akan pergi ke seberang laut dan mengambilnya untuk kita supaya kita dapat mendengarkannya lalu melakukannya?’ Firman itu sangat dekat denganmu, iaitu dalam mulutmu dan dalam hatimu, sehingga kamu dapat melakukannya. Lihatlah, pada hari ini aku menghadapkan kepadamu kehidupan dan kebahagiaan, kematian dan kesusahan. Pada hari ini aku memerintahkan engkau untuk mengasihi TUHAN, Allahmu, dengan menjalani hidup menurut jalan-Nya dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, kanun-Nya, serta segala peraturan-Nya. Dengan demikian engkau akan hidup, bertambah ramai, dan diberkati TUHAN, Allahmu, di negeri yang akan kaumasuki untuk kaududuki kelak. Akan tetapi, jika hatimu berpaling dan kamu tidak mahu mendengar, bahkan kamu disesatkan sehingga kamu sujud menyembah tuhan-tuhan lain serta beribadat kepadanya, maka pada hari ini kunyatakan kepadamu bahawa kamu pasti binasa. Umurmu pun tidak akan lama di negeri yang akan kaumasuki dan kaududuki dengan menyeberangi Sungai Yordan. Pada hari ini juga aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi atas kamu, bahawa aku telah menghadapkan kepadamu kehidupan dan kematian, berkat dan kutukan. Pilihlah kehidupan, supaya engkau dan keturunanmu dapat hidup. Kasihilah TUHAN, Allahmu, patuhilah Dia, dan berpautlah kepada-Nya. Sesungguhnya, Dialah sumber hidupmu dan yang membuat umurmu panjang, sehingga engkau dapat tinggal di tanah yang telah disumpahkan TUHAN untuk memberikannya kepada nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub.”