ULANGAN 30:1-9

ULANGAN 30:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

“Aku sudah memberi kamu pilihan antara berkat dan kutuk. Apabila segala perkara ini berlaku kepada kamu, dan kamu tinggal di kalangan bangsa-bangsa tempat kamu dicerai-beraikan TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan teringat pada pilihan yang aku berikan kepada kamu. Jika kamu dan keturunan kamu bersedia kembali kepada TUHAN, Allah kamu, dan dengan sepenuh hati kamu mentaati semua perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka TUHAN, Allah kamu akan mengasihani kamu. Dia akan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat Dia mencerai-beraikan kamu, lalu menjadikan kamu makmur semula. Meskipun kamu sudah dicerai-beraikan ke seluruh dunia, TUHAN, Allah kamu akan mengumpulkan kamu dan membawa kamu kembali. Oleh itu kamu akan memiliki semula tanah yang diduduki nenek moyang kamu dahulu. Dia akan menjadikan kamu lebih makmur dan lebih besar bilangannya daripada nenek moyang kamu. TUHAN, Allah kamu akan memberi kamu dan keturunan kamu hati yang taat supaya kamu akan mengasihi Dia dengan sepenuh hati, dan dapat tinggal terus di tanah itu. Dia akan menjatuhkan segala kutuk itu kepada musuh yang membenci dan menindas kamu. Kamu akan kembali mentaati TUHAN dan menjalankan segala perintah-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini. TUHAN akan menjayakan segala usaha kamu. Kamu akan mempunyai banyak anak dan ternakan; ladang kamu akan mengeluarkan hasil yang berlimpah. TUHAN akan berkenan menjadikan kamu makmur sebagaimana Dia menjadikan nenek moyang kamu makmur.

ULANGAN 30:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jadi, apabila kamu telah mengalami semua hal ini, iaitu berkat dan laknat yang telah kuhadapkan kepadamu itu, dan kamu bertaubat dalam hatimu di tengah-tengah segala bangsa tempat kamu dibuang oleh TUHAN, Allahmu, lalu kamu dan anak-anakmu berbalik kepada TUHAN, Allahmu, dan mematuhi-Nya dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, seperti semua yang kuperintahkan kepadamu pada hari ini, maka TUHAN, Allahmu, akan memulihkan keadaanmu dan akan mengasihani engkau. Dia akan kembali menghimpunkan kamu daripada kalangan bangsa di mana TUHAN, Allahmu, mencerai-beraikan kamu. Bahkan jika ada antaramu yang terbuang ke hujung langit, maka dari sana juga TUHAN, Allahmu, akan menghimpunkan kamu, dan dari sana juga Dia akan mengambil kamu. TUHAN, Allahmu, akan membawa kamu masuk ke negeri yang dimiliki nenek moyangmu, dan kamu juga akan memilikinya. Dia akan berbuat baik kepadamu dan meramaikan jumlahmu melebihi jumlah nenek moyangmu. TUHAN, Allahmu, akan menyunat hatimu serta hati keturunanmu, sehingga kamu mengasihi TUHAN, Allahmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, supaya engkau dapat hidup. TUHAN, Allahmu, akan menimpakan segala laknat ini kepada musuh-musuhmu dan kepada mereka yang membenci serta menganiaya kamu. Kamu akan kembali mematuhi TUHAN dan melakukan segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. TUHAN, Allahmu, akan membuat kamu berkelimpahan dalam segala hasil pekerjaan tanganmu, dalam buah kandunganmu, dalam hasil ternakanmu, dan dalam hasil tanahmu. TUHAN sekali lagi akan berkenan mendatangkan kebaikan ke atasmu — sebagaimana Dia dahulu berkenan kepada nenek moyangmu