ULANGAN 2:1-7
ULANGAN 2:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Akhirnya, menurut perintah TUHAN, kita kembali ke padang gurun melalui jalan yang menuju ke Teluk Akaba. Lama sekali kita mengembara di kawasan perbukitan negeri Edom. Kemudian TUHAN memberitahu aku bahawa sudah cukup lama kita mengembara di perbukitan itu, dan kita harus menuju ke utara. Dia menyuruh aku memberikan petunjuk ini kepada kamu, ‘Tidak lama lagi kamu akan memasuki kawasan perbukitan negeri Edom, wilayah sanak saudara kamu, iaitu keturunan Esau. Mereka akan takut kepada kamu tetapi kamu tidak boleh berperang melawan mereka, kerana Aku tidak mahu memberi kamu satu meter persegi pun daripada bahagian tanah mereka. Aku sudah memberikan negeri Edom kepada keturunan Esau. Kamu boleh membeli makanan dan air daripada mereka.’ Ingatlah! TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Dia telah memelihara kamu selama kamu mengembara di padang gurun yang luas ini. Dia telah melindungi kamu selama empat puluh tahun dan memberikan segala sesuatu yang kamu perlukan.
ULANGAN 2:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Kemudian kita berbalik dan berangkat ke gurun, ke arah Laut Merah, seperti yang difirmankan TUHAN kepadaku. Sudah beberapa lamanya kita menelusur mengelilingi pergunungan Seir. Lalu TUHAN berfirman kepadaku, ‘Sudah cukup lama kamu mengelilingi pergunungan ini. Sekarang, tujulah ke utara dan berikanlah perintah kepada bangsa itu demikian, “Sekarang kamu akan melalui daerah saudaramu, iaitu bani Esau, yang tinggal di Seir. Mereka akan berasa takut kepadamu, tetapi ingat baik-baik, jangan kamu bertempur dengan mereka. Aku tidak akan memberikan negeri mereka kepadamu walau setapak kaki pun, kerana Seir telah Kukurniakan kepada Esau menjadi miliknya. Hendaklah kamu membeli makanan daripada mereka dengan wang supaya kamu dapat makan dan hendaklah kamu membeli air daripada mereka dengan wang supaya kamu dapat minum.” ’ TUHAN, Allahmu, telah memberkatimu dalam segala yang dikerjakan oleh tanganmu dan Dia memerhatikan perjalananmu di gurun yang luas ini. Selama empat puluh tahun ini TUHAN, Allahmu, menyertai engkau dan engkau tidak kekurangan satu apa-apa pun.