ULANGAN 18:9-12
ULANGAN 18:9-12 Alkitab Berita Baik (BM)
“Apabila kamu sampai ke tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, jangan ikut perbuatan keji yang diamalkan oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sana. Jangan persembahkan anak-anak kamu sebagai korban yang dibakar di atas mazbah. Jangan biar sesiapa pun di kalangan kamu menjadi tukang tenung, atau mencari petanda, atau menggunakan jampi atau ilmu sihir, atau mengadakan hubungan dengan roh orang mati. TUHAN, Allah kamu membenci orang yang melakukan perbuatan keji itu. Itulah sebabnya Dia mengusir bangsa-bangsa itu dari tanah itu apabila kamu datang.
ULANGAN 18:9-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Apabila engkau masuk ke negeri yang dikurniakan TUHAN, Allahmu, kepadamu, jangan belajar melakukan hal-hal keji seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa itu. Jangan didapati dalam kalangan kamu orang yang mempersembahkan anak lelakinya atau anak perempuannya sebagai korban yang dibakar, atau orang yang menjadi penenung, peramal, ahli nujum, ahli sihir, tukang mantera, orang yang bertanya kepada arwah, atau ahli sihir yang meminta petunjuk daripada orang mati. Sesungguhnya, setiap orang yang melakukan hal-hal itu dipandang keji oleh TUHAN. Kerana hal-hal keji itulah TUHAN, Allahmu, mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapanmu.