ULANGAN 18:18-22
ULANGAN 18:18-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku akan mengutus seorang nabi kepada mereka, nabi seperti engkau, dan yang daripada bangsa mereka sendiri. Aku akan menyampaikan firman-Ku kepadanya, dan dia akan menyampaikan segala perintah-Ku kepada umat itu. Nabi itu akan berkata-kata demi nama-Ku, dan Aku akan menghukum setiap orang yang tidak mahu taat kepadanya. Tetapi jika seorang nabi berani menyampaikan perkhabaran demi nama-Ku, tetapi sebenarnya Aku tidak menyuruh dia berbuat begitu, nabi itu mesti mati. Setiap nabi yang berkata-kata demi nama tuhan-tuhan lain mesti mati.’ Mungkin kamu tertanya-tanya dalam hati, ‘Bagaimana kami tahu sama ada perkhabaran nabi itu berasal daripada TUHAN atau tidak?’ Jika seorang nabi berkata-kata demi nama TUHAN, dan yang dikatakannya itu tidak berlaku, maka perkhabaran itu bukanlah perkhabaran daripada TUHAN. Nabi itu telah berkata-kata dengan mengikut fikiran sendiri, dan kamu tidak usah takut kepada dia.”
ULANGAN 18:18-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan membangkitkan bagi mereka seorang nabi seperti engkau daripada kalangan saudara mereka. Aku akan memberitahukan kepadanya firman-Ku, dan dia akan menyampaikan kepada mereka semua yang Kuperintahkan kepadanya. Jadi, setiap orang yang tidak mahu mendengar firman-Ku yang akan disampaikan nabi itu atas nama-Ku akan Kutuntut pertanggungjawaban. Tetapi hendaklah dihukum mati seseorang nabi yang dengan semberono menyampaikan atas nama-Ku perkataan yang tidak Kusuruh sampaikan, atau yang berbicara atas nama tuhan-tuhan lain.’ Jika kamu bertanya dalam hatimu, ‘Bagaimanakah kami boleh mengetahui perkataan yang tidak difirmankan TUHAN?’ Apabila seorang nabi berbicara atas nama TUHAN tetapi hal itu tidak terjadi dan tidak terlaksana, maka perkataan itu tidak difirmankan TUHAN. Nabi itu telah berbicara dengan semberono. Kamu tidak perlu takut kepadanya.