DANIEL 9:1-5,17-19
DANIEL 9:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Darius orang Media, putera Raja Ahasyweros, menjadi raja kerajaan Babilonia. Pada tahun pertama pemerintahannya, aku mengkaji kitab-kitab suci. Aku merenungkan hal kota Yerusalem yang akan menjadi reruntuhan selama tujuh puluh tahun, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Nabi Yeremia. Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan-Nya, sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu. Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengaku dosa bangsaku di hadapan-Nya. Aku berkata, “Ya Tuhan Allah, Engkau besar, dan kami menghormati Engkau. Engkau menepati perjanjian-Mu, dan Engkau sentiasa mengasihi orang yang mengasihi Engkau dan yang mentaati perintah-Mu. Kami telah berdosa. Kami telah melakukan kejahatan. Kami telah berbuat salah. Kami telah melanggar perintah-Mu, dan menyimpang daripada peraturan-Mu.
DANIEL 9:17-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengarlah doa dan permohonanku, ya Allah. Pulihkanlah Rumah-Mu yang telah dimusnahkan itu agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan. Dengarkanlah kami, ya Allah; pandanglah kami, dan lihatlah kesusahan kami. Lihatlah penderitaan kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami berdoa kepada-Mu kerana Engkau penuh belas kasihan dan bukan kerana jasa kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan ampunilah kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan bertindaklah! Janganlah berlengah-lengah agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Allah! Kota dan umat ini milik-Mu.”
DANIEL 9:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada tahun yang pertama dalam zaman pemerintahan Darius anak Ahasyweros, daripada keturunan orang Media, yang telah dijadikan raja kerajaan orang Kasdim. Pada tahun yang pertama dalam zaman pemerintahannya itu, aku, Daniel, mengamati dalam kitab-kitab bahawa menurut firman TUHAN kepada Nabi Yeremia jumlah tahun sebelum berakhirnya keruntuhan Yerusalem ialah tujuh puluh tahun. Lalu aku menumpukan hati kepada Tuhan Allah dengan berikhtiar dalam doa dan permohonan sambil berpuasa serta mengenakan kain perkabungan dan abu. Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengakui segala dosa, demikian, “Ya Tuhan, Allah, Yang Maha Besar dan terlalu mengagumkan, yang berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi terhadap orang yang mencintai Engkau serta berpegang teguh pada segala perintah-Mu! Kami telah berdosa, bersalah, berbuat fasiq, dan menderhaka. Kami telah menyimpang daripada perintah-perintah-Mu dan peraturan-peraturan-Mu.
Daniel 9:17-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekarang, ya Allah kami, dengarlah doa hamba-Mu dan permohonan-permohonannya. Demi Tuhan sendiri, biarlah hadirat-Mu menyinari tempat suci-Mu yang telah tandus ini. Ya Allahku, berilah perhatian dan dengarlah! Sudilah memandang dan lihatlah kebinasaan kami serta kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami menyampaikan kesemua permohonan ini ke hadirat-Mu bukan berasaskan kebenaran kami, melainkan berasaskan rahmat-Mu yang besar. Ya Tuhan, dengarlah! Ya Tuhan, ampunilah! Ya Tuhan, perhatikanlah dan bertindaklah! Demi nama-Mu, ya Allahku, jangan bertangguh, kerana kota-Mu dan umat-Mu disebut dengan nama-Mu!”