DANIEL 4:1-37

DANIEL 4:1-37 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Nebukadnezar mengirim pengumuman berikut kepada orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa di seluruh dunia: “Salam! Dengarlah cerita beta tentang keajaiban dan mukjizat yang telah dinyatakan kepada beta oleh Allah Yang Maha Tinggi! Alangkah besarnya keajaiban yang dinyatakan Allah! Alangkah hebatnya mukjizat yang dilakukan-Nya! Allah adalah raja selama-lamanya; Dia memerintah sepanjang masa. Beta hidup selesa di istana beta, dan menikmati kemewahan. Tetapi pada suatu hari ketika beta beradu, beta bermimpi dan mendapat penglihatan yang mengerikan. Beta memerintahkan semua penasihat di Babel supaya datang menghadap dan mentafsirkan mimpi beta itu. Semua penilik, ahli sihir, orang berilmu, dan ahli nujum dibawa menghadap. Beta menceritakan mimpi beta, tetapi mereka tidak dapat mentafsirkannya. Kemudian Daniel datang menghadap beta. Dia juga dinamakan Beltsazar, menurut nama dewa beta. Daniel memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci, maka beta menceritakan mimpi beta kepadanya. Beta bertitah: Hai Beltsazar, ketua orang berilmu, beta tahu bahawa roh dewa-dewa yang suci ada padamu, dan kamu faham segala rahsia yang dalam. Inilah mimpi beta. Berikanlah tafsirannya. Ketika beta beradu, beta nampak sebatang pokok yang besar di tengah-tengah bumi. Pokok itu bertambah besar dan kuat sehingga puncaknya sampai ke langit dan dapat dilihat oleh setiap orang di dunia. Daun-daunnya segar dan buahnya lebat sekali - cukup untuk dimakan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya; burung membuat sarang di dahannya, dan semua makhluk hidup makan buah-buahnya. Sedang beta memikirkan penglihatan itu, beta nampak satu malaikat turun dari syurga. Malaikat itu siap sedia dan berwaspada. Dia berkata dengan suara yang lantang, ‘Tebanglah pokok itu, dan potonglah dahan-dahannya. Gugurkanlah daunnya dan taburkanlah buah-buahnya. Usirlah binatang di bawahnya dan burung yang bersarang di dahannya. Tetapi tinggalkanlah tunggulnya di tanah, dan ikatlah dengan rantai besi dan gangsa. Tinggalkanlah tunggul itu di padang rumput. Biarlah lelaki itu kena embun dan biarlah dia tinggal bersama-sama binatang dan tumbuh-tumbuhan lain. Selama tujuh tahun akal manusianya akan berubah menjadi seperti akal binatang. Itulah keputusan malaikat-malaikat yang bijak dan berwaspada. Oleh itu, hendaklah orang di mana-mana mengetahui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, malah kepada orang yang tidak penting sekalipun.’ Itulah mimpi beta. Hai Beltsazar, berikanlah tafsirannya sekarang. Tiada seorang penasihat beta pun dapat mentafsirkannya, tetapi kamu dapat kerana kamu memperoleh kuasa daripada roh dewa-dewa yang suci.” Daniel, yang juga dinamakan Beltsazar, begitu terkejut untuk seketika sehingga tidak dapat berkata-kata. Tetapi raja bertitah, “Hai Beltsazar, janganlah berasa cemas kerana mimpi itu dan tafsirannya.” Beltsazar menjawab, “Tuanku, sesungguhnya hamba berharap mimpi itu serta tafsirannya tentang musuh tuanku, dan bukan tentang tuanku. Pokok itu amat tinggi dan memuncak ke langit, sehingga dapat dilihat oleh setiap orang di bumi. Daunnya segar dan buahnya lebat sehingga cukup bagi makanan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya dan burung membuat sarang di dahannya. Ya tuanku, tuankulah pokok yang tinggi dan kuat itu. Kebesaran tuanku bertambah sehingga memuncak ke langit, dan kekuasaan tuanku meluas ke seluruh bumi. Ketika tuanku sedang memandang, satu malaikat turun dari syurga dan berkata, ‘Tebanglah pokok itu dan musnahkannya, tetapi biarkan tunggulnya di tanah. Ikatlah tunggul itu dengan rantai besi dan gangsa, lalu tinggalkan tunggul itu bersama-sama rumput di padang. Biarlah orang itu kena embun, dan biarlah dia tinggal di situ bersama-sama binatang selama tujuh tahun.’ Inilah tafsirannya, hai tuanku, dan inilah yang dinyatakan Allah Yang Maha Tinggi tentang hal yang akan berlaku kepada tuanku. Tuanku akan diusir daripada masyarakat, dan akan tinggal bersama-sama binatang buas. Selama tujuh tahun tuanku akan makan rumput seperti lembu, beradu di lapangan terbuka sehingga dibasahi embun. Barulah tuanku tahu bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas segala kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Perintah yang diberikan supaya tunggul itu ditinggalkan di tanah bermakna tuanku akan menjadi raja lagi setelah tuanku mengakui bahawa Allah menguasai seluruh dunia. Oleh itu, hai tuanku, turutlah nasihat hamba. Janganlah berdosa lagi. Lakukanlah apa yang baik dan adil, dan kasihanilah orang yang ditindas. Dengan demikian tuanku akan tetap makmur.” Semua perkara itu berlaku kepada Raja Nebukadnezar. Dua belas bulan kemudian, semasa raja berjalan di bumbung istananya di Babel, raja bertitah, “Lihatlah, betapa megahnya kota Babel! Beta telah membinanya sebagai ibu kota beta untuk membuktikan kuasa dan kebesaran beta, kemuliaan serta keagungan beta.” Tetapi sebelum raja habis bertitah, terdengar suara berucap dari langit, “Raja Nebukadnezar, dengarlah kata-kata ini! Sekarang kekuasaanmu sebagai raja diambil daripadamu. Kamu akan diusir daripada masyarakat, lalu tinggal di tengah-tengah binatang buas. Kamu akan makan rumput seperti lembu selama tujuh tahun. Barulah kamu akan mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” Kata-kata itu menjadi kenyataan dengan serta-merta. Raja Nebukadnezar diusir daripada masyarakat dan makan rumput seperti lembu. Badannya dibasahi embun, rambutnya menjadi panjang seperti bulu burung helang, dan kukunya pula menjadi panjang seperti cakar burung. Raja bertitah, “Selepas tujuh tahun itu beta memandang ke langit. Tiba-tiba fikiran beta waras semula. Beta memuji Allah Yang Maha Tinggi sambil menghormati dan memuliakan Dia yang hidup selama-lamanya. Allah akan memerintah selama-lamanya, kerajaan-Nya akan tetap sepanjang masa. Manusia di dunia tidak bererti bagi-Nya; malaikat di syurga dan manusia di bumi, semua di bawah kuasa-Nya. Tiada sesiapa dapat menentang kehendak-Nya, ataupun menyoal perbuatan-Nya. Apabila beta menjadi waras semula, kebesaran dan keagungan beta, serta kemasyhuran kerajaan beta dikembalikan kepada beta. Para pegawai dan pembesar beta menyambut beta, dan kekuasaan beta sebagai raja dikembalikan kepada beta, dan keagungan beta menjadi lebih besar daripada dahulu. Sekarang beta, Nebukadnezar, memuji, menghormati, dan memuliakan Raja penguasa di syurga. Segala perbuatan-Nya benar dan adil. Dia sanggup merendahkan sesiapa yang berlaku sombong.”

DANIEL 4:1-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daripada Raja Nebukadnezar kepada orang daripada semua suku, bangsa, dan bahasa yang berada di seluruh bumi, “Semoga kesejahteraanmu berlipat ganda! Aku berkenan menceritakan tanda-tanda dan pelbagai keajaiban yang telah dilakukan Allah Yang Maha Tinggi bagiku. Betapa besarnya tanda-tanda-Nya, betapa hebatnya segala keajaiban-Nya! Kerajaan-Nya ialah kerajaan yang kekal, kekuasaan-Nya tetap turun-temurun. Aku, Nebukadnezar, hidup tenang dalam rumahku dan makmur dalam istanaku. Aku mendapat mimpi yang membuat aku takut. Sewaktu aku berbaring di peraduan, khayalan dan penglihatan yang kudapat membuat aku resah. Oleh sebab itu aku mengeluarkan titah agar semua bijak pandai di Babel hendaklah dibawa menghadap aku supaya mereka memberitahukan kepadaku tafsiran mimpi itu. Maka datanglah para ahli ilmu ghaib, para ahli mantera, orang Kasdim, dan para jurufaal. Aku menceritakan mimpi itu kepada mereka, tetapi mereka tidak dapat memberitahukan tafsirannya kepadaku. Akhirnya Daniel datang menghadap aku. Dia ini dinamai Beltsazar, menurut nama tuhanku, dan roh tuhan yang suci ada padanya. Aku menceritakan kepadanya mimpi itu, demikian, ‘Hai Beltsazar, ketua para ahli ilmu ghaib! Aku tahu bahawa roh tuhan yang suci ada padamu, dan tidak ada rahsia apa-apa pun yang sukar bagimu. Ceritakanlah kepadaku penglihatan yang kudapat dalam mimpiku dengan tafsirannya. Inilah penglihatan yang kudapat sewaktu aku berbaring di peraduanku: Aku melihat ada sebatang pokok yang sangat tinggi di tengah-tengah bumi. Pokok itu bertambah besar dan kuat, puncaknya mencapai langit dan kelihatan sampai ke hujung seluruh bumi. Daunnya indah, buahnya banyak, dan padanya ada makanan bagi segala makhluk. Binatang liar bernaung di bawahnya, burung-burung di udara tinggal di cabang-cabangnya, dan segala makhluk mendapat makanan daripadanya. Dalam penglihatan yang kudapat sewaktu aku berbaring di peraduanku itu tampaklah seorang malaikat pengawal, seorang yang suci, turun dari langit. Dia berseru dengan suara nyaring dan berkata demikian, “Tebanglah pokok itu dan potonglah cabang-cabangnya. Gugurkanlah daunnya dan hamburkanlah buahnya. Biarlah binatang-binatang lari dari bawah naungannya, dan burung-burung dari cabang-cabangnya. Namun demikian, biarkanlah tunggul dan akarnya di tanah, terikat dengan besi dan gangsa di atas rumput muda di padang. Biarlah embun dari langit membasahinya dan biarlah ia mendapat bahagian bersama-sama binatang di antara tumbuh-tumbuhan di bumi. Biarlah akal manusianya diubah dan akal binatang diberikan kepadanya, sampai tujuh tempoh masa berlalu baginya. Keputusan itu menurut ketetapan para malaikat pengawal, tuntutan itu menurut perintah para malaikat suci, supaya orang yang hidup tahu bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia meninggikan orang yang paling rendah sekalipun untuk memerintah kerajaan itu.” Aku, Raja Nebukadnezar, telah mendapat mimpi itu. Sekarang engkau, Beltsazar, katakanlah tafsirannya, kerana semua bijak pandai dalam kerajaanku tidak sanggup memberitahukan tafsirannya kepadaku. Tetapi engkau ini sanggup, kerana roh tuhan yang suci ada padamu.’ ” Setelah itu, Daniel, yang juga dinamai Beltsazar, tertegun buat seketika dan segala fikirannya membuatnya resah. Kata raja, “Beltsazar, janganlah resah kerana mimpi itu dan tafsirannya.” Jawab Beltsazar, “Ya tuanku, biarlah mimpi itu terjadi ke atas orang yang membenci tuanku dan tafsirannya ke atas musuh-musuh tuanku! Pokok yang tuanku lihat itu — pokok yang bertambah besar dan kuat sehingga puncaknya mencapai langit dan kelihatan sampai ke seluruh bumi. Daunnya indah, buahnya banyak, dan padanya ada makanan bagi segala makhluk. Binatang liar tinggal di bawahnya dan burung-burung bersarang di cabang-cabangnya — pokok itu ialah Tuanku Raja sendiri! Tuanku semakin besar dan semakin kuat. Keagungan tuanku bertambah-tambah hingga mencapai langit dan kekuasaan tuanku sampai ke hujung bumi. Seterusnya fasal tuanku melihat seorang malaikat pengawal, seorang yang suci, turun dari langit dan berkata, ‘Tebanglah pokok itu dan binasakanlah dia! Namun demikian, biarkanlah tunggul dan akarnya di tanah, terikat dengan besi dan gangsa di atas rumput muda di padang. Biarlah embun dari langit membasahinya dan biarlah dia mendapat bahagian bersama dengan binatang liar sampai tujuh tempoh masa berlalu baginya.’ Inilah tafsirannya, ya Raja, dan inilah yang dititahkan Yang Maha Tinggi terhadap Tuanku Raja: tuanku akan diusir daripada masyarakat manusia sehingga tuanku tinggal bersama-sama binatang liar. Tuanku akan diberi makan rumput seperti lembu dan akan dibasahi embun dari langit. Tujuh tempoh masa akan berlalu bagi tuanku sampai tuanku mengakui bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sebagaimana ada perintah untuk membiarkan tunggul dan akar pokok itu, demikianlah kerajaan tuanku akan tetap pula pada tuanku apabila tuanku mengakui bahawa yang berkuasa secara mutlak ialah kerajaan syurga. Oleh sebab itu, ya Raja, kiranya nasihat hamba berkenan kepada tuanku: Tinggalkanlah dosa-dosa tuanku dengan melakukan apa yang benar, begitu juga, hapuskanlah segala kejahatan tuanku dengan berbelas kasihan kepada fakir miskin. Dengan demikian akan berlanjutanlah ketenteraman tuanku.” Segala hal itu terjadi kepada Raja Nebukadnezar. Pada akhir dua belas bulan, ketika dia sedang berjalan-jalan di atas istana kerajaan Babel, berkatalah raja, “Bukankah ini Babel yang besar itu, yang kubangunkan menjadi istana kerajaan dengan kekuatan kuasaku dan demi kemuliaan kebesaranku?” Sewaktu kata-kata itu diucapkan raja, terdengarlah suara dari langit mengatakan, “Bagimulah firman ini, wahai Raja Nebukadnezar: Kerajaan ini dialihkan daripadamu. Engkau akan diusir daripada masyarakat manusia sehingga engkau akan tinggal bersama-sama binatang liar. Engkau akan diberi makan rumput seperti lembu. Tujuh tempoh masa akan berlalu bagimu sehingga engkau mengakui bahawa Yang Maha Tinggi berkuasa atas kerajaan manusia dan Dia mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.” Pada saat itu juga berlakulah firman itu atas Nebukadnezar. Dia diusir daripada masyarakat manusia dan makan rumput seperti lembu. Tubuhnya basah oleh embun dari langit sampai rambutnya tumbuh seperti bulu burung rajawali dan kukunya seperti kuku burung. “Pada akhir tempoh masa itu, aku, Nebukadnezar, menengadah ke langit dan fikiranku kembali kepadaku. Aku memuji Yang Maha Tinggi. Aku menyanjung dan membesarkan Dia yang hidup selama-lamanya, kerana kekuasaan-Nya sememangnya kekuasaan yang kekal, dan kerajaannya tetap turun-temurun. Semua penghuni bumi dianggap seperti tidak bererti. Dia bertindak menurut kehendak-Nya terhadap para penguasa langit dan penghuni bumi. Tidak ada yang dapat menahan tangan-Nya atau berkata kepada-Nya, ‘Apakah yang telah Engkau lakukan?’ Pada waktu itu fikiranku waras kembali. Kebesaranku dan kegemilanganku dikembalikan kepadaku demi kemuliaan kerajaanku. Para menteriku dan para pembesarku menjemput aku dan aku dimantapkan kembali dalam kerajaanku, dan keagungan yang luar biasa ditambahkan kepadaku. Sekarang aku, Nebukadnezar, memuji, meninggikan, dan membesarkan Raja Syurga atas sebab segala perbuatan-Nya benar belaka dan jalan-jalan-Nya adil. Dia sanggup merendahkan orang yang hidup dalam keangkuhan.”