DANIEL 3:13-18,25-27
DANIEL 3:13-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Mendengar hal itu raja naik murka lalu memberikan perintah supaya ketiga-tiga orang itu dibawa menghadapnya. Raja bertitah kepada mereka, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, betulkah kamu tidak mahu menyembah dewa beta dan tidak mahu sujud di hadapan patung emas yang telah beta dirikan itu? Sekarang apabila kamu mendengar bunyi trompet, seruling, rebab, gambus, kecapi, dan alat-alat muzik yang lain, sujudlah serta sembahlah patung itu. Jika tidak, kamu akan segera dilemparkan ke dalam relau yang bernyala-nyala. Dewa manakah yang dapat menyelamatkan kamu?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri. Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami. Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”
DANIEL 3:25-27 Alkitab Berita Baik (BM)
“Tetapi mengapakah beta nampak empat orang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu?” tanya raja. “Mereka tidak terikat, dan nampaknya mereka tidak cedera. Orang keempat itu rupanya seperti malaikat.” Lalu Raja Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan bertitah, “Sadrakh! Mesakh! Abednego! Hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah!” Mereka pun keluar dengan segera. Semua raja, gabenor, ketua daerah, dan pegawai-pegawai yang lain berkumpul untuk melihat tiga orang yang tidak terbakar oleh api itu. Rambut mereka tidak hangus, pakaian mereka tidak terbakar, bahkan mereka tidak berbau asap pun.
DANIEL 3:13-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka dengan amat murka sekali, Nebukadnezar memerintahkan supaya Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dibawa untuk menghadapnya. Lalu dibawalah mereka itu untuk menghadap raja. Nebukadnezar bertanya kepada mereka, “Wahai Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, benarkah kamu tidak mahu menyembah para tuhanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang telah kudirikan itu? Sekarang, jika kamu sudah sedia, sebaik sahaja kamu mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik, sujudlah menyembah patung yang kubuat itu. Tetapi jika kamu tidak mahu menyembahnya, saat itu juga kamu akan dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala! Maka tuhan manakah yang dapat melepaskan kamu daripada tanganku?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab Raja Nebukadnezar, “Tidak ada gunanya kami memberikan jawapan kepada tuanku dalam hal ini. Kalau harus demikian, maka Allah yang kami sembah sanggup melepaskan kami dari dapur api yang menyala-nyala itu, dan Dia akan melepaskan kami daripada tangan Tuanku Raja. Tetapi kalaupun tidak, harap Tuanku Raja maklum bahawa kami tidak mahu menyembah tuhan-tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”
Daniel 3:25-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata raja, “Tetapi kulihat empat orang berjalan-jalan dengan bebas di tengah-tengah api itu tanpa sebarang luka, dan rupa orang yang keempat itu seperti anak tuhan!” Setelah itu, Nebukadnezar mendekati pintu dapur api yang menyala-nyala itu. Dia berkata, “Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah dan datanglah ke mari!” Lalu keluarlah Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dari tengah-tengah api itu, sementara para wakil raja, para penguasa, para pembesar, dan para menteri raja datang berkumpul. Mereka melihat bahawa tubuh ketiga-tiga orang itu tidak terkesan langsung oleh api, rambut di kepala mereka tidak hangus, jubah mereka tidak berubah, dan bau terbakar pun tidak ada pada mereka.