DANIEL 3:12-18

DANIEL 3:12-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ada beberapa orang Yahudi yang telah tuanku lantik untuk mengurus hal ehwal Wilayah Babel, iaitu Sadrakh, Mesakh, dan Abednego. Mereka itu tidak mengendahkan Tuanku Raja. Mereka tidak mahu menyembah para tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang telah tuanku dirikan itu.” Maka dengan amat murka sekali, Nebukadnezar memerintahkan supaya Sadrakh, Mesakh, dan Abednego dibawa untuk menghadapnya. Lalu dibawalah mereka itu untuk menghadap raja. Nebukadnezar bertanya kepada mereka, “Wahai Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, benarkah kamu tidak mahu menyembah para tuhanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang telah kudirikan itu? Sekarang, jika kamu sudah sedia, sebaik sahaja kamu mendengar bunyi nafiri, seruling, kecapi, rebab, gambus, serunai, dan pelbagai jenis muzik, sujudlah menyembah patung yang kubuat itu. Tetapi jika kamu tidak mahu menyembahnya, saat itu juga kamu akan dicampakkan ke dalam dapur api yang menyala-nyala! Maka tuhan manakah yang dapat melepaskan kamu daripada tanganku?” Sadrakh, Mesakh, dan Abednego menjawab Raja Nebukadnezar, “Tidak ada gunanya kami memberikan jawapan kepada tuanku dalam hal ini. Kalau harus demikian, maka Allah yang kami sembah sanggup melepaskan kami dari dapur api yang menyala-nyala itu, dan Dia akan melepaskan kami daripada tangan Tuanku Raja. Tetapi kalaupun tidak, harap Tuanku Raja maklum bahawa kami tidak mahu menyembah tuhan-tuhan tuanku dan tidak mahu menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”