KOLOSE 4:7-18
KOLOSE 4:7-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Tikhikus, saudara yang kita kasihi akan memberitahu kamu segala berita tentang aku. Dia seorang pekerja yang setia dan dia bekerja untuk Tuhan bersama-sama kami. Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu, supaya dia boleh menggembirakan kamu dengan memberitahukan keadaan kami semua. Tikhikus akan disertai oleh Onesimus, seorang daripada kalangan kamu. Onesimus seorang yang setia dan kami mengasihinya. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala sesuatu yang berlaku di sini. Aristarkhus yang ada di penjara bersama-samaku, mengirim salam kepada kamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu Barnabas. (Kamu sudah diberitahu untuk menyambut Markus apabila dia datang.) Yesus, yang dipanggil Yustus, mengirim salam juga. Hanya mereka bertiga daripada orang Yahudi, yang sudah percaya kepada Yesus dan yang bekerja bersama-sama aku untuk mewujudkan Pemerintahan Allah. Mereka sangat menolong aku. Salam daripada Epafras, seorang lagi daripada kalangan kamu. Dia hamba Kristus Yesus, dan dia sentiasa berdoa dengan tekun bagi kamu. Dia memohon kepada Allah supaya iman kamu teguh, dan kamu betul-betul matang, serta taat kepada kehendak Allah dengan sepenuhnya. Aku sendiri dapat memberikan kesaksian betapa kerasnya dia bekerja untuk kamu dan untuk orang di Laodikia dan Hierapolis. Lukas, doktor yang kita kasihi dan Demas mengirim salam kepada kamu. Sampaikanlah salam kami kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa, serta jemaah yang beribadat di rumahnya. Setelah surat ini dibacakan kepada kamu, pastikanlah bahawa surat ini juga dibacakan kepada jemaah di Laodikia. Kamu juga harus membaca surat yang akan dikirim dari Laodikia. Katakanlah kepada Arkhipus, “Selesaikanlah tugas yang diberikan kepadamu untuk melakukan kerja bagi Tuhan.” Dengan tangan sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Janganlah lupa bahawa aku masih di dalam penjara! Semoga Allah memberkati kamu.
KOLOSE 4:7-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun sagala hal ahwalku nanti dinyatakan ulih Tiekikus saudaraku yang kŭkasih itu, dan sa’orang utusan yang sŭtiawan, dan sama hamba dŭngan kami dalam Tuhan itu. Maka deri sŭbab itulah kusurohkan akan dia kapada kamu, supaya dikŭtahuinya sagala hal ahwal kamu, dan supaya dihiburkannya hati kamu, Bŭrsama sama dŭngan Onesimus, saudara yang sŭtiawan dan kŭkasih, lagi sa’orang deri antaramu, maka marika itulah kŭlak akan mŭmbri tahu kapada kamu sagala pŭrkara yang tŭlah bŭrlaku disini. Maka Aristarkus yang sama tŭrpanjara dŭngan aku, ampunya sŭlam pada kamu, dan Markus, saudara sŭpupu Barnabas, maka deri halnyalah kamu tŭlah dipŭsan: jikalau datang kŭlak iya kapadamu, handaklah kamu sambut akan dia. Dan Jesus, yang bŭrgŭlar Justus, sa’orang yang deripada orang orang bŭrsunat itu, adapun marika itu sahja yang sama sa’pŭkŭrjaan dŭngan aku dalam kŭrjaan Allah, dan yang tŭlah mŭnjadi pŭnghiburan padaku. Maka Epafras, ampunya sŭlam pada kamu, iya itu sa’orang deripada kamu, hamba Almasih, yang pada sadiakalanya bŭrlŭlah dŭngan mŭmintakan doa bagie kamu, supaya kamu bŭrdiri tŭtap dŭngan sampornanya, dan langkapnya dalam sagala kahandak Allah. Kŭrna akulah mŭnjadi saksi, bahwa Epafras tŭrlalulah rajin deri hal kamu, dan deri hal orang orang yang ada dinŭgri Laodekia, dan orang orang yang dinŭgri Hierapolis. Adapun Lukas, tabib yang kŭkasih itu, dan Demas, ampunya sŭlam kapada kamu. Sŭlamku kapada sagala saudara yang ada dinŭgri Laodikia, dan diNimfas, sŭrta dŭngan sidang jŭmaah yang ada dalam rumahnya. Maka apabila surat ini sudah dibacha diantara kamu, biarlah dibacha pula kapada sidang jŭmaah orang Laodikia, maka handaklah kamu pun mŭmbacha surat yang deri Laodekia itu. Maka katakanlah kapada Arkipus, ingatlah baik baik akan pŭkŭrjaan jawatan yang tŭlah angkau trima dŭngan bŭrkat Tuhan, supaya angkau mŭnggŭnapi akan dia itu. Sŭlam yang tŭrtulis dŭngan tanganku, iya itu Paulus, ingatlah kiranya akan blungguku, biarlah kiranya anugrah bŭsŭrta dŭngan kamu. Amin. ¶ Tŭrmaktob surat ini dinŭgri Rom, dikirimkan kapada orang Kolossi dŭngan tangan Tiekikus dan Onesimus.
KOLOSE 4:7-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saudara kita Tikhikus yang dikasihi akan memberitahumu segala hal ehwalku. Dia seorang hamba yang beriman, dan teman sekerjaku dalam pekerjaan Tuhan. Aku mengutusnya kepadamu supaya dia mengetahui hal ehwal kamu dan menggalakkan hatimu. Bersamanya ialah saudara kita Onesimus yang beriman dan dikasihi, dia orang kamu. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala yang berlaku di sini. Aristarkhus, temanku dalam penjara, berkirim salam kepadamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu kepada Barnabas. (Kamu telah mendapat arahan tentangnya; kamu harus menyambut jika dia datang mengunjungimu.) Yesus, yang dipanggil Yustus, juga berkirim salam kepadamu. Mereka inilah sahaja orang bersunat yang bekerja bersamaku untuk kerajaan Allah, dan mereka menjadi penghibur hatiku. Epafras, seorang daripada kamu, juga berkirim salam kepadamu. Dia hamba Kristus Yesus dan sentiasa mendoakanmu bersungguh-sungguh, supaya kamu berdiri teguh dengan penuh keyakinan dan kematangan dalam segala yang dikehendaki Allah. Aku bersaksi bahawa dia amat berusaha untuk kamu dan orang di Laodikia serta di Hierapolis. Lukas, tabib yang dikasihi itu, pun berkirim salam kepadamu, begitu juga Demas. Sampaikan salamku kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa serta jemaah di rumahnya itu. Apabila surat ini dibacakan dalam kalanganmu, pastikan bahawa surat ini dibacakan pula dalam jemaah orang Laodikia. Kamu pula bacalah surat dari sana. Katakan kepada Arkhipus, “Berilah perhatian kepada kerja yang telah kamu terima dalam Tuhan, supaya kamu dapat melaksanakannya.” Salam daripadaku, Paulus, dengan tulisan tanganku sendiri. Ingatlah bahawa aku terpenjara. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.