KOLOSE 3:1-10
KOLOSE 3:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Kamu sudah dihidupkan semula bersama-sama Kristus. Oleh itu kamu harus mengingini perkara-perkara yang di syurga, di tempat Kristus duduk di atas takhta di sebelah kanan Allah. Hendaklah kamu memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga, bukan kepada perkara-perkara yang di bumi. Hal itu demikian kerana kamu sudah mati, dan hidup kamu tersembunyi dengan Kristus di dalam Allah. Hanya Kristus yang dapat menyebabkan hidup kamu betul-betul bererti, dan apabila Dia menampakkan diri lagi di bumi, kamu juga akan bersama-sama Dia dan menikmati kemuliaan-Nya! Oleh itu, matikanlah keinginan duniawi yang menguasai diri kamu, seperti perbuatan cabul, perkara yang tidak senonoh, hawa nafsu, keinginan yang jahat, dan ketamakan (kerana ketamakan itu serupa dengan penyembahan berhala). Perkara-perkara semacam itu membangkitkan kemurkaan Allah terhadap orang yang tidak menurut perintah-Nya. Dahulu kamu sendiri pun hidup menuruti keinginan-keinginan demikian, pada masa kamu dikuasai olehnya. Tetapi sekarang kamu tidak boleh berbuat hal-hal ini lagi: marah, mengamuk, dan mempunyai perasaan benci terhadap orang lain. Janganlah caci maki orang ataupun guna kata-kata lucah. Janganlah saling mendustai, kerana kamu sudah membuang hidup yang lama dengan semua sifatnya. Sekarang kamu menjadi manusia baru yang sentiasa dibaharui oleh Penciptanya iaitu Allah, supaya menjadi seperti Dia. Dengan demikian kamu dapat mengenal Allah dengan sempurna.
KOLOSE 3:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA jikalau kiranya kamu tŭlah dibangkitkan sŭrta dŭngan Almasih, charilah pŭrkara pŭrkara yang diatas, ditŭmpat Almasih ada sŭmayam dikanan Allah. Maka tujukanlah ingatanmu kapada pŭrkara pŭrkara yang diatas, bukannya kapada pŭrkara pŭrkara yang dibumi. Kŭrna kamu ini sudah mati, maka hayatmu itn tŭrlindong sŭrta dŭngan Almasih bagie Allah. Maka apabila kŭlak Almasih, hayat kami itu kŭlak nyata, maka pada masa itulah kamu pun kŭlak nyatalah sŭrtanya dalam kamuliaan. Sŭbab itu matikanlah sagala anggotamu yang diatas bumi ini; iya itu, zinah dan kachŭmaran, dan nafsu yang nŭjis, dan kainginan yang jahat, dan tŭmaa, maka iya itulah bŭrhala: Maka sŭbab sagala pŭrkara itulah mŭndatangkan morka Allah atas sagala anak anak dŭrhaka. Adapun dalam hal yang dŭmkianlah, kamu tŭlah bŭrlaku dahulu, tŭtkala kamu hidop dalamnya; Tŭtapi skarang handaklah kamu mŭmbuangkan sagala pŭrkara inipun; iya itu marah, dan iri hati, dan dŭngki, dan hujat, dan pŭrkataan kotor yang kluar deri mulot kamu. Maka janganlah kamu bŭrdusta sa’orang dŭngan sa’orang, sŭbab tampaknya kamu sudah mŭninggalkan prangie manusia yang lama, sŭrta dŭngan sagala klakuannya. Dan kamu tŭlah mŭmakie prangie manusia yang bahru, yang dibahrui dalam pŭngatahuan, mŭnurot tuladan yang tŭlah mŭnjadikan dia itu.
KOLOSE 3:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dengan demikian, jika kamu telah dibangkitkan bersama Kristus, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat Kristus duduk di sebelah kanan Allah. Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi. Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama Kristus dalam Allah. Apabila Kristus yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan. Oleh itu, matikanlah dalam dirimu segala yang bersifat dunia: perbuatan cabul, kecemaran, hawa nafsu, keinginan jahat dan tamak haloba, yang sama dengan menyembah berhala. Disebabkan semua inilah kemurkaan Allah akan menimpa anak-anak derhaka. Dulu kamu pun berkelakuan demikian, pada masa kamu masih dalam kehidupan itu. Tetapi sekarang kamu haruslah menyingkirkan segalanya seperti: marah, geram, niat jahat, menghina Allah, mengeluarkan kata-kata kotor dari mulutmu. Jangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya dan mengenakan diri yang baru, yang terus-menerus diperbaharu dengan pengetahuan menurut rupa Allah yang menjadikannya.