KOLOSE 2:1-7
KOLOSE 2:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku ingin kamu tahu bahawa aku bekerja keras untuk kamu dan untuk mereka yang di Laodikia, serta untuk semua orang lain yang belum mengenal aku. Aku berbuat demikian supaya kamu dan mereka berteguh hati, dan juga bersatu kerana saling mengasihi. Dengan demikian kamu dan mereka sungguh-sungguh meyakini dan mengerti serta mengenal rahsia Allah, iaitu Kristus sendiri. Kristuslah yang menyingkap segala kebijaksanaan dan pengetahuan Allah yang diibaratkan sebagai harta tersembunyi. Aku memberitahu kamu hal ini supaya tidak disesatkan oleh hujah yang menarik dan kedengarannya betul. Meskipun aku tidak bersama-sama kamu, anggaplah aku hadir di kalangan kamu. Aku gembira melihat kamu sehati dan percaya kepada Kristus dengan teguh. Kamu sudah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan. Oleh itu hendaklah kamu hidup bersatu dengan Dia. Hendaklah kamu berakar umbi dalam Dia. Binalah hidup kamu, dengan Kristus sebagai asasnya. Hendaklah kamu semakin percaya kepada Kristus, seperti yang sudah diajarkan kepada kamu. Hendaklah hati kamu penuh kesyukuran.
KOLOSE 2:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA kukahandakilah supaya kamu mŭngatahui, bagimana garangan bŭsarnya pŭprangan yang ada padaku kŭrna kamu, dan kŭrna sagala orang yang ada dinŭgri Laodekia, dan kŭrna sŭbrapa pula orang yang bŭlom mŭlihat mukaku dalam ka’adaanku ini. Supaya hiburlah hati marika itu, sŭrta mŭnjadi tŭrikat bŭrsama sama dŭngan kasih, sahingga iya mŭndapat sagala kŭkayaan katŭntuan yang samporna deripada pŭngatahuan, akan mŭngaku rahsia Allah, iya itu Ayah dan Almasih. Maka dalamnyalah juga tŭrslindong sagala pŭrbandahran hikmat dan pŭngatahuan. Maka aku mŭngatakan ini, asal jangan barang sa’orang jua pun mŭmpŭrdayakan kamu dŭngan pŭrkataan tipu. Kŭrna jikalau aku ini tiada bŭrhalir dŭngan tubohku skalipun, maka adalah juga aku bŭrhalir kadada kamu dŭngan nyawa, bŭrsuka chita, sŭrta mŭmandang pratoran kamu, dan katŭtapan iman kamu akan Almasih. Maka sŭbab kamu tŭlah mŭnŭrima Isa Almasih Tuhan itu, maka dŭmkianlah juga jalanlah kamu mŭnurot Tuhan. Maka bŭrakarlah dan bŭralaslah diatasnya, dan tŭtaplah dalam iman spŭrti yang tŭlah kamu pŭlajari, bŭrtambah tambahlah dalamnya dŭngan mŭnguchap shukor.
KOLOSE 2:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku. Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa dan Kristus, yang dalam-Nya tersembunyi seluruh harta kebijaksanaan dan pengetahuan. Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah. Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam Kristus. Oleh sebab kamu telah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan, hiduplah melangkah dalam Dia, berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman, sebagaimana kamu telah diajar, penuh melimpah dengan kesyukuran.