KOLOSE 1:3-29

KOLOSE 1:3-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Kami sentiasa bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, apabila kami berdoa untuk kamu. Hal itu demikian kerana kami telah mendapat berita tentang kepercayaan kamu kepada Kristus Yesus, dan tentang kasih kamu bagi semua umat Allah. Apabila Berita Baik, perkhabaran yang benar itu disampaikan kepada kamu dahulu, kamu mendengar tentang harapan yang diberikan oleh Berita Baik itu. Kerana kamu berharap akan apa yang disediakan oleh Allah untuk kamu di syurga, kamu percaya kepada Kristus dan mengasihi umat Allah. Berita Baik itu terus-menerus membawa berkat untuk manusia dan Berita Baik itu tersebar ke seluruh dunia, seperti yang berlaku di kalangan kamu sejak hari pertama kamu mendengar berita tentang rahmat Allah dan benar-benar menghayatinya. Kamu mendengar hal itu daripada Epafras, rakan sekerja yang kami kasihi. Dia bekerja untuk Kristus bagi pihak kami dan dia dapat dipercayai. Dia memberitahu kami bahawa dengan kuasa Roh Allah kamu dapat saling mengasihi. Itulah sebabnya kami selalu berdoa bagi kamu, sejak kami mendengar berita tentang kamu. Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga. Semoga kamu dikuatkan oleh Allah dengan kuasa-Nya yang mulia, sehingga dapat menanggung derita dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepada Bapa, yang telah menjadikan kamu layak menerima apa yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya dalam pemerintahan yang penuh dengan cahaya daripada Allah. Allah sudah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan, dan memindahkan kita ke bawah pemerintahan Anak-Nya yang dikasihi-Nya. Melalui Anak-Nya, Allah membebaskan kita dan mengampunkan dosa kita. Kristus serupa dengan Allah, tetapi Kristus dapat dilihat, sedangkan Allah tidak. Kristus itu Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan. Hal itu demikian kerana melalui Dialah Allah menciptakan segala sesuatu di syurga dan di atas bumi, segala sesuatu yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, termasuk juga roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Allah menciptakan alam semesta melalui Kristus dan untuk Kristus. Kristus sudah ada, sebelum segala sesuatu ada. Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian. Kristuslah kepala jemaah, iaitu tubuh-Nya. Dialah sumber kehidupan jemaah itu. Dialah Anak sulung Allah; Allah membangkitkan Dia daripada kematian, supaya Kristus sahaja yang menjadi terutama daripada segala sesuatu. Allah sendiri yang menentukan bahawa keperibadian Allah juga terdapat dengan sepenuhnya dalam diri Anak. Melalui Anak juga, Allah mengambil keputusan untuk membawa segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga, kembali kepada-Nya. Allah melakukan hal itu melalui kematian Anak-Nya di kayu salib. Dahulu kamu jauh daripada Allah, dan memusuhi Dia, kerana perbuatan dan fikiran kamu jahat. Tetapi sekarang, dengan kematian Anak-Nya, Allah telah menjadikan kamu sahabat-sahabat-Nya, sehingga kamu dapat dibawa menghadap Dia dalam keadaan yang suci, murni, dan tidak bercela. Tetapi kamu harus tetap percaya kepada Berita Baik itu dan dengan kepercayaan itu kamu dapat berdiri teguh. Janganlah lepaskan harapan yang kamu terima ketika mendengar Berita Baik daripada Allah. Itulah Berita Baik yang telah diisytiharkan kepada semua orang di dunia. Kerana Berita Baik itu, aku, Paulus menjadi hamba untuk mengisytiharkannya. Sekarang aku bersukacita kerana boleh mengalami penderitaan untuk kepentingan kamu. Dengan penderitaan jasmani, aku melengkapi apa yang masih harus diderita oleh Kristus bagi pihak jemaah, iaitu tubuh-Nya. Aku dijadikan penolong jemaah oleh Allah untuk kepentingan kamu. Aku diberikan tugas untuk menyampaikan keseluruhan perkhabaran Allah, yang dirahsiakan oleh Allah kepada semua orang selama berabad-abad yang lalu, tetapi sekarang dinyatakan kepada umat-Nya. Allah merancang untuk menyatakan rahsia-Nya kepada umat-Nya; rahsia yang agung dan mulia untuk umat manusia. Inilah rahsia itu: Kristus tinggal dalam diri kamu, dan hal ini bererti bahawa kamu akan ikut menikmati kemuliaan Allah. Oleh itu kami mengisytiharkan Kristus kepada semua orang. Dengan segala kebijaksanaan kami memberikan amaran dan ajaran kepada mereka, supaya setiap orang dapat dibawa ke hadirat Allah sebagai orang yang matang dalam hal-hal rohani, kerana sudah bersatu dengan Kristus. Untuk mencapai tujuan itu aku bekerja keras dengan segala kekuatan yang diberikan oleh Kristus, dan kekuatan itu nyata dalam apa yang aku lakukan.

KOLOSE 1:3-29 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka kami mŭnguchap shukorlah kapada Allah, iya itu Ayah Tuhan kami Isa Almasih, sŭrta mŭmintakan doa pada sŭdiakala akan kamu. Sŭmŭnjak kami mŭnŭngar derihal iman kamu akan Isa Almasih, sŭrta derihal kasih kamu kapada sagala orang salih itu. Maka deri sŭbab harap yang tŭlah disimpankan bagie kamu dalam shorga, spŭrti yang tŭlah kamu mŭnŭngar dahulu pŭrkataan bŭnar deripada Injil itu. Maka iya itu tŭlah datang kapada kamu sŭrta kapada sagala alam; dan yang tŭlah bŭrbuahlah spŭrti yang ada kapadamu pun, sŭmŭnjak deripada hari yang kamu tŭlah mŭnŭngar itu, dan mŭngatahui anugrah Allah dŭngan sŭbŭnarnya. Spŭrti yang kamu pŭlajari pula deripada kŭkasih kami Epafras yang sama hamba dŭngan kami, iya itu bagie kamu sa’orang guru mumin Almasih. Danlagi iya tŭlah mŭnchŭrtrakan kapada kami akan kasihmu deripada Roh. Maka sŭbab itulah deri sŭmŭnjak hari kami mŭnŭngar itu, maka kami pun tiadalah bŭrhŭnti deripada mŭndoakan kamu, sambil mŭmohonkan supaya kamu dipŭnohi dŭngan pŭngatahuan kahandak Allah dalam sagala hikmat, dan budiman yang tŭrbit deri Roh itu. Supaya kamu mŭnjalani dŭngan layaknya bagie Tuhan dalam sagala karelaannya, sŭrta bŭrbuah dalam sagala pŭrbuatan yang baik, dan bŭrtambah tambahlah dalam pŭngatahuan Allah. Supaya dikwasakanlah tŭramat sangat mŭnurot gagah kamuliaannya dalam sagala sabar, dan panjang hati, dŭngan kagŭmaran; Mŭnguchap shukorlah kapada Ayah yang tŭlah mŭlayakkan kami akan bŭrulih bahgian deripada pusaka orang orang salih dalam trang; Yang tŭlah mŭlŭpaskan kami deripada kwasa gŭlap, dan tŭlah mŭmindahkan kami kapada krajaan Anaknya yang kŭkasih itu. Maka dŭngan dialah juga kami tŭlah mŭndapat tŭbusan ulih bŭrkat darahnya, iya itu kaampunan sagala dosa. Maka iyalah juga pŭta Allah yang tiada klihatan, iya itulah anak sulong deripada sagala kajadian. Kŭrna deripadanyalah juga sagala pŭrkara tŭlah dijadikan, baik dilangit, baik dibumi, deripada yang lahir, dan batin, baik singgahsana singgahsana, baik pŭrtuan pŭrtuanan, baik pŭmrentah pŭmrentahan, baik pŭnguasa pŭnguasaan, sagala pŭrkara itu tŭlah jadi ulihnya, dan sŭbabnya. Maka iyalah juga yang tŭrdahulu deripada sagala sŭsuatu, dan sagala sŭsuatu itu tŭrplihara ulihnya. Dan iyalah juga kŭpala tuboh, iyaani sidang jŭmaah; maka iya itulah pŭrmulaan anak sulong deripada orang mati supaya iyalah kŭlak mŭndapat pangkat yang tŭrutama atas sagala pŭrkara. Kŭrna dipŭrkŭnankan Allah, supaya dalamnyalah sagala kŭlangkapan itu diam. Dan sŭbab iya tŭlah mŭndatangkan pŭrdamiean dŭngan bŭrkat darah salibnya itu, maka deripadanyalah juga dipŭrdamiekannya sagala sŭsuatu bagienya sŭndiri; deripadanyalah juga aku kata, baik sagala pŭrkara yang diatas bumi, baik sagala pŭrkara yang dilangit, dipŭrdamiekan. Maka kamu yang dahulu orang asing, lagi bŭrsŭtru dalam hatimu dŭngan sagala pŭrbuatan yang jahat, tŭtapi skarang sudahlah dipŭrdamiekan, Dŭngan daging tubohnya ulih bŭrkat kamatiannya, supaya mŭnghadapkan kamu dŭngan suchinya, dan dŭngan tiada bŭrkŭchŭlaan, dan dŭngan tiada bŭrsalah kahalratnya. Jikalau kamu tinggal bŭralas sŭrta tŭtap kiranya dalam iman, dŭngan tiada bŭrgrak deripada harap akan Injil yang kamu tŭlah mŭnŭngar, dan yang tŭlah dimashorkan diantara sagala manusia yang dibawah langit; maka dalam hal itulah aku ini Paulus tŭlah dijadikan sa’orang utusan. Yang ada bŭrsukachita skarang ini dalam sagala kasukaranku kŭrna kamu, dan handak mŭnggŭnapi pula barang yang pŭninggalan kasukaran Almasih didagingku, kŭrna sŭbab tubohnya, iya itulah sidang jŭmaah. Maka deri hal itulah aku tŭlah mŭnjadi sa’orang utusan mŭnurot pŭratoran prentah Allah yang tŭlah dikurniakannya padaku, iya itu kŭrna kamu akan mŭnggŭnapi pŭrkataan Allah. Maka maskipun rahsia itu yang tŭlah tŭrsŭmbunyi deripada bŭbrapa zaman, dan deripada bŭbrapa katuronan, tŭtapi skarang tŭlah dinyatakan kapada sagala orang salihnya. Maka kapada marika itulah dikahandaki Allah mŭnyatakan bagimana kŭkayaan kamulian rahsia ini grangannya diantara orang sŭsat; iya itu Almasih diantaramu mŭnjadi pŭngharapan kamulian adanya. Yang kami mŭmashorkan sŭrta mŭmbri nasihat pada masing masing orang, dan mŭngajar masing masing orang dalam hal sagala budi, supaya kŭlak kami mŭnghadapkan masing masing orang itu dŭngan sampornanya dalam Isa Almasih. Maka dalam hal itulah juga aku pula bŭrlŭlah, dŭngan bŭrlumba lumba, mŭnurot kuat kŭrjanya yang bŭkŭrja dalam diriku, dŭngan gagah sangat adanya.

KOLOSE 1:3-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kami mengucapkan syukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, dan kami sentiasa mendoakan kamu, sejak kami mendengar tentang imanmu dalam Kristus Yesus dan kasihmu terhadap semua orang salih — kerana harapan yang ada bagimu di syurga, yang telah kamu dengar dalam kata kebenaran, iaitu Injil, yang telah datang kepadamu. Di seluruh dunia, Injil ini sedang membuahkan manfaat dan tersebar luas, seperti dalam kalanganmu sejak kamu mendengar dan mengetahui kasih kurnia Allah dalam segala kebenarannya. Kamu telah mendengar juga daripada teman sekerja kami yang dikasihi, Epafras, yang menjadi hamba Kristus yang beriman bagi kami, yang juga telah menceritakan kepada kami kasihmu dalam Roh. Oleh itu, sejak kami mendengarnya, kami juga tidak putus-putus mendoakan kamu, dan memohon supaya kamu dipenuhi pengetahuan tentang kehendak-Nya dalam segala kebijaksanaan dan pengertian rohani. Kami mendoakan demikian supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal: membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah, diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan. Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya. Dia telah melepaskan kita daripada kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Anak yang dikasihi-Nya, melalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa. Dia ialah gambaran Allah yang tidak kelihatan, Dialah anak sulung antara segala yang diciptakan. Kerana melalui Dia segala sesuatu diciptakan: yang wujud di bumi dan di syurga, yang kelihatan dan tidak kelihatan, baik yang bertakhta mahupun yang berkuasa, baik pemerintah mahupun kerajaan; segala-galanya telah dicipta melalui-Nya dan untuk-Nya. Dia terdahulu daripada segalanya, dan setiap yang wujud ada dalam-Nya. Dan Dia ialah Kepala kepada tubuh iaitu jemaah; Dia adalah permulaan, anak sulung yang bangkit daripada kematian, supaya dalam segalanya Dialah yang terutama. Kerana Allah berkenan bahawa seluruh diri-Nya berada dalam Dia. Juga melalui Dia, Allah mendamaikan segalanya dengan diri-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga, dengan mengadakan perdamaian melalui pencurahan darah-Nya di atas salib. Kamu dahulu tersisih daripada Allah dan merupakan seteru dalam pemikiranmu kerana perbuatanmu yang jahat. Akan tetapi, sekarang Allah telah mendamaikan kamu dengan diri-Nya melalui kematian tubuh Anak-Nya, supaya Dia dapat memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah di hadapan-Nya — jika kamu tetap beriman, mantap dan berdiri teguh, tidak berganjak daripada harapan Injil yang kamu dengar. Inilah Injil yang dikhabarkan kepada seluruh ciptaan di bawah langit, dan yang aku, Paulus, menjadi hambanya. Aku sekarang bersukacita atas penderitaanku untukmu, dan aku menyempurnakan dengan tubuhku apa yang kurang dalam kesengsaraan Kristus, untuk tubuh-Nya yang suci, iaitu jemaah. Aku sudah dijadikan hamba jemaah, menurut amanat Allah yang telah diberikan kepadaku untuk kamu, bagi menyampaikan firman Allah dengan sepenuhnya — iaitu rahsia yang telah tersembunyi daripada segala zaman dan keturunan tetapi sekarang telah dinyatakan kepada orang salih-Nya. Kepada mereka Allah berkehendak supaya diberitahu betapa kayanya kemuliaan rahsia itu dalam kalangan orang bukan orang Israel, iaitu Kristus dalam kamu, harapan untuk mendapat kemuliaan. Kristuslah yang kami ajarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Yesus Kristus. Untuk tujuan inilah juga aku berusaha, berjuang dengan segala kekuatan kuasa-Nya yang bertindak hebat dalam diriku.