KOLOSE 1:1-12

KOLOSE 1:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Surat ini daripada Paulus, yang dengan kehendak Allah menjadi rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius. Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Kolose, yang setia bersatu dengan Kristus. Semoga Allah Bapa kita mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. Kami sentiasa bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, apabila kami berdoa untuk kamu. Hal itu demikian kerana kami telah mendapat berita tentang kepercayaan kamu kepada Kristus Yesus, dan tentang kasih kamu bagi semua umat Allah. Apabila Berita Baik, perkhabaran yang benar itu disampaikan kepada kamu dahulu, kamu mendengar tentang harapan yang diberikan oleh Berita Baik itu. Kerana kamu berharap akan apa yang disediakan oleh Allah untuk kamu di syurga, kamu percaya kepada Kristus dan mengasihi umat Allah. Berita Baik itu terus-menerus membawa berkat untuk manusia dan Berita Baik itu tersebar ke seluruh dunia, seperti yang berlaku di kalangan kamu sejak hari pertama kamu mendengar berita tentang rahmat Allah dan benar-benar menghayatinya. Kamu mendengar hal itu daripada Epafras, rakan sekerja yang kami kasihi. Dia bekerja untuk Kristus bagi pihak kami dan dia dapat dipercayai. Dia memberitahu kami bahawa dengan kuasa Roh Allah kamu dapat saling mengasihi. Itulah sebabnya kami selalu berdoa bagi kamu, sejak kami mendengar berita tentang kamu. Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga. Semoga kamu dikuatkan oleh Allah dengan kuasa-Nya yang mulia, sehingga dapat menanggung derita dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepada Bapa, yang telah menjadikan kamu layak menerima apa yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya dalam pemerintahan yang penuh dengan cahaya daripada Allah.

KOLOSE 1:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA Paulus sa’orang rasul Isa Almasih dŭngan kahandak Allah, sŭrta Timothius saudara kami; Iya itu datang kapada orang orang salih sŭrta saudara saudara mumin dalam Almasih, yang ada dinŭgri Kolossi, maka biarlah kiranya nihmat atas kamu, dan sŭjahtralah deripada Allah, iya itu Ayah kami, dan Tuhan Isa Almasih. Maka kami mŭnguchap shukorlah kapada Allah, iya itu Ayah Tuhan kami Isa Almasih, sŭrta mŭmintakan doa pada sŭdiakala akan kamu. Sŭmŭnjak kami mŭnŭngar derihal iman kamu akan Isa Almasih, sŭrta derihal kasih kamu kapada sagala orang salih itu. Maka deri sŭbab harap yang tŭlah disimpankan bagie kamu dalam shorga, spŭrti yang tŭlah kamu mŭnŭngar dahulu pŭrkataan bŭnar deripada Injil itu. Maka iya itu tŭlah datang kapada kamu sŭrta kapada sagala alam; dan yang tŭlah bŭrbuahlah spŭrti yang ada kapadamu pun, sŭmŭnjak deripada hari yang kamu tŭlah mŭnŭngar itu, dan mŭngatahui anugrah Allah dŭngan sŭbŭnarnya. Spŭrti yang kamu pŭlajari pula deripada kŭkasih kami Epafras yang sama hamba dŭngan kami, iya itu bagie kamu sa’orang guru mumin Almasih. Danlagi iya tŭlah mŭnchŭrtrakan kapada kami akan kasihmu deripada Roh. Maka sŭbab itulah deri sŭmŭnjak hari kami mŭnŭngar itu, maka kami pun tiadalah bŭrhŭnti deripada mŭndoakan kamu, sambil mŭmohonkan supaya kamu dipŭnohi dŭngan pŭngatahuan kahandak Allah dalam sagala hikmat, dan budiman yang tŭrbit deri Roh itu. Supaya kamu mŭnjalani dŭngan layaknya bagie Tuhan dalam sagala karelaannya, sŭrta bŭrbuah dalam sagala pŭrbuatan yang baik, dan bŭrtambah tambahlah dalam pŭngatahuan Allah. Supaya dikwasakanlah tŭramat sangat mŭnurot gagah kamuliaannya dalam sagala sabar, dan panjang hati, dŭngan kagŭmaran; Mŭnguchap shukorlah kapada Ayah yang tŭlah mŭlayakkan kami akan bŭrulih bahgian deripada pusaka orang orang salih dalam trang

KOLOSE 1:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus dengan kehendak Allah dan daripada saudara kita Timotius, Kepada semua orang salih dan saudara-saudara yang setia dalam Kristus di Kolose: Kasih kurnia dan damai sejahtera daripada Bapa kita, Allah. Kami mengucapkan syukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, dan kami sentiasa mendoakan kamu, sejak kami mendengar tentang imanmu dalam Kristus Yesus dan kasihmu terhadap semua orang salih — kerana harapan yang ada bagimu di syurga, yang telah kamu dengar dalam kata kebenaran, iaitu Injil, yang telah datang kepadamu. Di seluruh dunia, Injil ini sedang membuahkan manfaat dan tersebar luas, seperti dalam kalanganmu sejak kamu mendengar dan mengetahui kasih kurnia Allah dalam segala kebenarannya. Kamu telah mendengar juga daripada teman sekerja kami yang dikasihi, Epafras, yang menjadi hamba Kristus yang beriman bagi kami, yang juga telah menceritakan kepada kami kasihmu dalam Roh. Oleh itu, sejak kami mendengarnya, kami juga tidak putus-putus mendoakan kamu, dan memohon supaya kamu dipenuhi pengetahuan tentang kehendak-Nya dalam segala kebijaksanaan dan pengertian rohani. Kami mendoakan demikian supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal: membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah, diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan. Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya.