KISAH RASUL-RASUL 9:36-43
KISAH RASUL-RASUL 9:36-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di Yope ada seorang murid perempuan bernama Tabita (dalam bahasa Yunani disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah. Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas. Lida berdekatan dengan Yope. Apabila para murid Yesus mendapat tahu bahawa Petrus ada di Lida, mereka menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin. Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya. Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu, dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, “Hai Tabita, bangunlah.” Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk. Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua murid Yesus, termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu. Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan. Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.
KISAH RASUL-RASUL 9:36-43 Alkitab Berita Baik (BM)
Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti ‘rusa.’) Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin. Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas. Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, “Cepatlah datang ke mari.” Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup. Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk. Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka. Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan. Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya.
KISAH RASUL-RASUL 9:36-43 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Sŭbarmula maka adalah sa’orang murid diJopa yang bŭrnama Tabitha, iya itu tŭrsalin artinya Dorkas: bahwa pŭrampuan itu lampaulah pŭrbuatannya yang baik, dan mŭmbri sŭdŭkah. Maka pada masa itu jatohlah iya sakit payah, lalu mati: maka sŭtlah sudah dimandikan orang akan dia, lalu dibawanya naik ka’atas loteng. Maka sŭbab nŭgri Lida itu adalah dŭkat nŭgri Jopa, sŭtlah didŭngar ulih sagala murid, bahwa Petros ada disana, lalu disurohnyalah dua orang pŭrgi kapadanya, sambil mŭminta jangan lambat datang pada marika itu. Maka dŭngan skutika itu juga Petros pun pŭrgilah sŭrta marika itu; maka apabila iya sampie, dibawa oranglah akan dia naik ka’atas loteng: maka adalah sagala pŭrampuan janda itu bŭrdiri dŭkat sambil mŭnangis, sŭrta mŭngunjokkan baju baju, dan pakiean yang tŭlah dipŭrbuat ulih Dorkas itu, tŭtkala iya lagi bŭsŭrta dŭngan marika itu. Maka disurohlah ulih Petros kluar akan sagala marika itu, maka bŭrtŭlotlah iya, sŭrta mŭminta doa, lalu bŭrpalinglah kapada mayat itu, katanya, Tabitha, bangunlah angkau. Maka pŭrampuan itu pun mŭmbukakanlah matanya, maka apa bila dilihatnya akan Petros, lalu dudoklah iya. Maka diunjokkan Petros tangannya, lalu mŭmbangunkan dia; hata maka sŭtlah dipanggilnya sagala orang yang salih, dan sagala pŭrampuan janda, maka diunjokkannyalah akan pŭrampuan itu dŭngan hidopnya kapada marika itu. Maka pŭchahlah khabar itu kapada sagala nŭgri Jopa, maka banyaklah orang pŭrchaya akan Tuhan. Arkian maka tinggallah Petros bŭbrapa hari lamanya dinŭgri Jopa, dirumah sa’orang tukang samak kulit yang bŭrnama Simon.