KISAH RASUL-RASUL 6:8-15
KISAH RASUL-RASUL 6:8-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Stefanus sangat diberkati oleh Allah dan diberikan-Nya kuasa untuk melakukan mukjizat. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukannya di kalangan orang ramai. Tetapi beberapa orang menentang dia. Mereka anggota rumah ibadat yang disebut Rumah Ibadat Orang Bebas. Anggota rumah ibadat itu terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene dan Aleksandria. Mereka dengan beberapa orang Yahudi dari Kilikia dan Asia berdebat dengan Stefanus. Tetapi Roh Allah memberi Stefanus kebijaksanaan untuk berkata-kata, sehingga mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya. Oleh itu mereka memberikan rasuah kepada beberapa orang supaya berkata, “Kami mendengar dia menghina Musa dan mengkufuri Allah!” Demikianlah mereka menghasut orang ramai, para pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru-guru Taurat. Lalu mereka pergi menangkap Stefanus, dan membawa dia menghadap Majlis Agama. Kemudian mereka menghadapkan beberapa orang yang memberikan kesaksian palsu tentang Stefanus. Mereka berkata, “Orang ini sentiasa menghina Rumah Tuhan yang suci dan Taurat Musa. Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus dari Nasaret itu akan meruntuhkan Rumah Tuhan dan mengubah semua adat istiadat yang sudah kita terima daripada Musa!” Mata semua orang yang duduk di Majlis Agama menumpu kepada Stefanus dan mereka nampak muka Stefanus kelihatan seperti muka malaikat.
KISAH RASUL-RASUL 6:8-15 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Shahadan maka Istifanus pun pŭnohlah dŭngan iman, dan pŭnguasaan, diadakannyalah bŭbrapa tandah, dan ajaib yang bŭsar diantara kaum itu. ¶ Sŭbarmula maka bŭrbangkitlah bŭbrapa orang deri pada kŭnisa yang bŭrnama Libartina, dan Sirini, dan Iskandria, dan Asia, marika itu pun bŭrbantah bantahlah dŭngan Istifanus. Maka tiadalah dapat marika itu mŭlawan bijaksana dan kwasa pŭrkataannya itu. Maka tŭtkala itu diajaklah ulih marika itu bŭbrapa orang yang mŭngatakan, Bahwa kami sudah mŭnŭngar iya ini bŭrkata bŭbrapa pŭrkataan hujat mŭlawan Musa dan Allah. Maka dihasutnyalah kaum itu, sŭrta orang tua tua, dan khatib khatib, maka disŭrbunya marika itu, lalu ditangkapnya akan Istifanus, sŭrta dibawanyalah kahadapan mŭjlis; Lagi pun diadakannya pula bŭbrapa saksi dusta yang mŭngatakan, Bahwa iya ini tiada bŭrhŭnti deripada mŭngatakan pŭrkataan hujat atas tŭmpat yang suchi ini dan tauret: Kŭrna kami tŭlah mŭnŭngar iya ini mŭngatakan, Bahwa Isa orang Nazareth itu akan mŭrombak tŭmpat ini, dan mŭnukarkan sagala adat yang dibri ulih Musa kapada kita. Maka sagala orang yang dudok dalam mŭjlis itu pun mŭrŭnunglah mukanya, dilihatnya mukanya sa’olah olah spŭrti muka mŭliekat.
KISAH RASUL-RASUL 6:8-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Stefanus, yang dipenuhi kasih kurnia dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan tanda dalam kalangan orang ramai. Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaah yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Aleksandria, Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus. Namun demikian, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Kudus yang mengilhamkan kata-katanya. Setelah itu, mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, “Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah.” Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan ahli-ahli Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama. Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, “Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita. Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus orang Nazaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa.” Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.