KISAH RASUL-RASUL 4:12-22
KISAH RASUL-RASUL 4:12-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.” Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. Mereka bertanya, “Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.” Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.
KISAH RASUL-RASUL 4:12-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka tiadalah bulih datang slamat deripada orang lain, kŭrna tiada nama lain dibawah langit yang tŭlah dikurniakan Allah bagie manusia akan mŭndatangkan slamat kapada kami. ¶ Maka apabila marika itu mŭlihat brani hati Petros dan Yahya itu, sŭrta dikŭtahuinya; bahwa dua orang itu tiada bŭrilmu dan tiada pandie, maka hieranlah iya sŭrta dichamkannya akan marika itu sudah bŭrsama sama dŭngan Isa Almasih. Maka tŭtkala dirŭnongnya, orang yang disŭmbohkan itu pun ada bŭrdiri bŭrsama sama dŭngan marika itu, maka tiadalah dapat dibantahinya lagi. Maka sŭtlah sudahlah disurohnya marika itu kluar deri dalam mŭjŭlis itu; maka bŭrbicharalah dia orang sama sŭndirinya, Katanya, Apakah yang handak kami pŭrbuat akan orang orang ini? kŭrna marika itu tŭlah mŭngadakan suatu ajaib yang bŭsar, lagi nyata pada sagala orang yang diam diJerusalem, maka tiadalah dapat kami bŭrsangkal akan dia. Tŭtapi supaya jangan jadi makin lama makin mashorlah hal itu diantara kaum ini, biarlah kami gŭrtakkan dia, supaya jangan marika itu bŭrkata kata kapada sa’orang jua pun dŭngan nama Isa itu lagi. Maka dipanggilnya marika itu, lalu diamarkannya, katanya, Jangan skali kali kamu bŭrkata kata, atau mŭngajar dŭngan nama Isa itu. Tŭtapi jawab Petros dan Yahya, Handaklah kamu timbang baik baik, adakah patut pada pŭmandangan Allah kami mŭnurot akan pŭrkataan kamu tŭrlebih deripada mŭnurot pŭrkataan Allah? Kŭrna dapat tiada kami bŭrkata kata juga akan pŭrkara yang tŭlah kami lihat, dan dŭngar. Tŭtapi apabila sudah digŭrtakkan marika itu lagi, lalu dilŭpaskannya akan dia orang pŭrgi, deri sŭbab takotnya akan kaum itu, kŭrna suatu pun tiada didapatinya bagimana handak dihukumkannya akan dia orang, tŭgal sagala orang mŭmuliakan Allah, deri kŭrna pŭrkara ajaib itu yang tŭlah jadi. Adapun orang yang tŭlah disŭmbohkan dŭngan ajaib itu, adalah lebih deripada ampat puloh tahun umornya.
KISAH RASUL-RASUL 4:12-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.” Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yohanes sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Yesus. Apabila mereka melihat orang yang sudah disembuhkan itu berdiri di sisi kedua-duanya, mereka tidaklah dapat menyangkal lagi. Tetapi setelah mereka menyuruh kedua-duanya keluar dari majlis itu, mereka pun bermesyuarat sesama sendiri, “Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya, sudah nyata kepada semua orang Yerusalem bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya. Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas dalam kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan menggunakan nama itu.” Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Yesus. Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah, kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.” Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu; padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.