KISAH RASUL-RASUL 3:15-24

KISAH RASUL-RASUL 3:15-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu. Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri. Saudara-saudara, sekarang saya tahu, bahawa apa yang saudara-saudara dan para pemimpin saudara lakukan terhadap Yesus, tidak saudara-saudara fahami maknanya. Dahulu kala melalui nabi-nabi, Allah memberitahu bahawa Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku seperti yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Allah, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara. Jika saudara-saudara bertaubat, saudara sekalian akan mengalami kesegaran rohani. Tuhan akan menyuruh Yesus datang kepada saudara-saudara, kerana Dia sudah ditetapkan oleh Tuhan untuk menjadi Penyelamat saudara-saudara. Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu. Musa pernah berkata, ‘Tuhan, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku. Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua yang dikatakan-Nya. Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.’ Semua nabi yang menyampaikan berita daripada Allah, termasuk Nabi Samuel dan nabi-nabi yang kemudian daripadanya, memberitakan apa yang berlaku pada zaman ini.

KISAH RASUL-RASUL 3:15-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka kamu tŭlah mŭmbunoh akan pŭnghulu slamat itu, yang tŭlah dihidopkan Allah deripada matinya. Maka atas pŭrkara yang dŭmkian itulah kami mŭnjadi saksi. Maka dŭngan namanya, dan sŭbab pŭrchaya akan namanya; bahwa orang yang kamu lihat dan kamu kŭnal itu tŭlah disŭmbohkan, bahkan iman dalam dia itu tŭlah mŭnjadikan dia sŭmboh dŭngan sŭmpornanya dihadapan kamu skalian. Maka skarang pun hie saudara skalian, bahwa kukŭtahui kamu tŭlah bŭrbuat itu dŭngan bŭbalmu; maka pŭnghulu pŭnghulu kamu pun dŭmkian juga adanya. Tŭtapi Allah tŭlah mŭngganapi sagala pŭrkara yang tŭlah dikatakannya dahulu dŭngan mulot sagala nabinya; Bahwa dapat tiada Almasih itu akan mŭndapat sangsara. ¶ Maka sŭbab itu, handaklah kamu bŭrtaubat, sŭrta bŭrbalik, supaya sagala dosamu itu dihapuskan, apabila datang kŭlak kapadamu kutika yang sŭgar deripada halrat Tuhan. Maka iya akan mŭnyurohkan Isa Almasih yang tŭlah tŭrdahulu dinyatakan padamu. Bahwa dapat tiada shorga akan mŭnyambut dia sampie kapada masa akan dikŭmbalikan sagala sa’suatu yang dikatakan Allah dŭngan mulot sagala nabinya yang suchi itu deripada ahwal dunia. Maka sŭsungguhnya Musa tŭlah bŭrkata pada nenek moyang kami, Bahwa Tuhan Allah kamu akan mŭnŭrbitkan bagiemu sa’orang nabi deri antara sagala saudara kamu, spŭrti aku ini, maka handaklah kamu mŭnurot akan dia deri pada barang suatu pŭrkataannya kapada kamu. Maka barang siapa yang tiada mŭnurot akan nabi itu, maka iya itu akan dibinasakan deri antara kaum itu. Bahkan, sagala nabi pun deripada Samuel, dan kumdiannya, iya itu sagala orang yang tŭlah bŭrnabuat itu, tŭlah mŭngatakan tŭrdahulu akan hal masa itu.