KISAH RASUL-RASUL 28:1-6
KISAH RASUL-RASUL 28:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. Penduduk pulau itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.” Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa.
KISAH RASUL-RASUL 28:1-6 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA sŭtlah tŭrlŭpaslah marika itu skalian, bahrulah dikŭtahuinya bahwa pulau itu bŭrnama Malita. Maka orang orang sŭsat dipulau itu mŭnulong kami bukannya sŭdikit, kŭrna marika itu mŭmbakar suatu timbunan kayu, sŭrta mŭnyambot kami skalian, sŭbab pada tŭtkala itu hujan sŭrta sŭjok adanya. Maka sŭtlah sudah dikampongkan ulih Paulus ranting sa’bŭrkas, sŭrta dimasokkannya kŭdalam api, maka kluarlah sa’ekor ular yang bisa sŭbab kŭna panas itu, lalu dipagutnyalah tangannya. Bŭrmula sŭtlah dilihat ulih orang orang sŭsat itu ular itu bŭrgantong ditangan Paulus, maka kata marika itu sama sŭndirinya, Ta’dalah shak lagi bahwa orang ini pŭmbunoh adanya; jikalau iya tŭrlŭpas deripada laut skali pun, tŭtapi kŭtula tiada mŭmbri hidop akan dia. Maka dikŭbaskan ulih Paulus binatang itu kŭdalam api dŭngan tiada iya mŭrasai suatu bahya juga pun. Maka dinantikan ulih marika itu kalau kalau iya bŭngkak, atau jatoh mati skutika itu juga. Maka dinanti nantikan ulih marika itu bŭbrapa lamanya, tiada juga dilihatnya bŭrlaku bahya ka’atasnya, maka bŭrubahlah pula sangka marika itu, katanya, Iya ini suatu dewata adanya.
KISAH RASUL-RASUL 28:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah mendarat dengan selamat, barulah kami mendapat tahu bahawa pulau itu bernama Malta. Penduduk pulau itu sangat berbelas ihsan kepada kami. Mereka menyalakan api dan menyambut kami sekalian masuk berlindung daripada hujan dan kesejukan. Paulus memungut ranting dan apabila dia meletakkannya di atas api, seekor ular kapak keluar melarikan diri daripada kepanasan itu lalu memagut tangan Paulus. Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, “Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.” Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan. Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, lalu mengatakan Paulus itu seorang dewa.