KISAH RASUL-RASUL 28:1-16

KISAH RASUL-RASUL 28:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. Penduduk pulau itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.” Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa. Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, gabenor pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya. Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia. Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan. Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami. Tiga bulan kemudian kami belayar dari pulau itu dengan kapal dari Aleksandria yang menggunakan lambang “Dewa Kembar”. Kapal itu sudah berlabuh di pulau itu sepanjang musim sejuk. Kami tiba di kota Sirakusa dan tinggal di situ selama tiga hari. Dari situ kami belayar lagi dan tiba di kota Regium. Keesokan harinya angin mula bertiup dari selatan dan dalam dua hari kami tiba di kota Putioli. Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, dan dengan jemputan mereka kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Lalu tibalah kami di Roma. Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius dan ke Penginapan Tiga untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia. Apabila kami tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri dengan dikawal oleh seorang askar.

KISAH RASUL-RASUL 28:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA sŭtlah tŭrlŭpaslah marika itu skalian, bahrulah dikŭtahuinya bahwa pulau itu bŭrnama Malita. Maka orang orang sŭsat dipulau itu mŭnulong kami bukannya sŭdikit, kŭrna marika itu mŭmbakar suatu timbunan kayu, sŭrta mŭnyambot kami skalian, sŭbab pada tŭtkala itu hujan sŭrta sŭjok adanya. Maka sŭtlah sudah dikampongkan ulih Paulus ranting sa’bŭrkas, sŭrta dimasokkannya kŭdalam api, maka kluarlah sa’ekor ular yang bisa sŭbab kŭna panas itu, lalu dipagutnyalah tangannya. Bŭrmula sŭtlah dilihat ulih orang orang sŭsat itu ular itu bŭrgantong ditangan Paulus, maka kata marika itu sama sŭndirinya, Ta’dalah shak lagi bahwa orang ini pŭmbunoh adanya; jikalau iya tŭrlŭpas deripada laut skali pun, tŭtapi kŭtula tiada mŭmbri hidop akan dia. Maka dikŭbaskan ulih Paulus binatang itu kŭdalam api dŭngan tiada iya mŭrasai suatu bahya juga pun. Maka dinantikan ulih marika itu kalau kalau iya bŭngkak, atau jatoh mati skutika itu juga. Maka dinanti nantikan ulih marika itu bŭbrapa lamanya, tiada juga dilihatnya bŭrlaku bahya ka’atasnya, maka bŭrubahlah pula sangka marika itu, katanya, Iya ini suatu dewata adanya. Maka adalah dŭkat tŭmpat itu juga tanah ayer pŭnghulu pulau itu yang bŭrnama Publius, iya itu mŭnyambot kami, sŭrta mŭmbri tumpangan akan kami dŭngan murahnya tiga hari lamanya. Maka adalah bapa Publius itu tŭlah jatoh sakit dŭmam, dan buang buang ayer darah; maka Paulus pun masoklah kŭdalam rumahnya, sŭrta mŭminta doa, sambil mŭmbubohkan tangannya ka’atasnya, lalu disŭmbohkannyalah akan dia. Maka apabila jadilah yang dŭmkian itu, datanglah orang orang lain pun yang ada bŭrbagie bagie pŭnyakit dipulau itu, maka disŭmbohkannyalah marika itu. Maka orang orang itu pun mŭmbri hormatlah akan kami dŭngan bŭbrapa hormat; maka apabila kami handak bŭrlayar, dibrinyalah pŭrbŭkalan bagie bagie yang bŭrguna pada kami. Shahadan sŭtlah tiga bulan lamanya, maka mŭnompanglah kami dalam sa’buah kapal yang datang deri Iskanderia, alamat kŭpalanya Kastor dan Pollox, yang tŭlah mŭnahun pada musim dingin dipulau itu. Maka sŭtlah sudah kami singgah kaSirakus, maka tinggallah kami disana tiga hari lamanya. Hata deri sana kami pun bŭrlayarlah mŭnyusor sampielah kaRegium, maka pada esoknya bŭrtiuplah angin slatan, maka sampielah kami kapada hari yang kadua kaPuteoli. Maka disanalah kami bŭrtŭmu dŭngan bŭbrapa orang saudara yang mŭminta kami tinggal sŭrtanya tujoh hari lamanya, maka kami pun pŭrgilah kanŭgri Rom. Adapun deri sana kluarlah bŭbrapa orang saudara yang tŭlah mŭnŭngarkan sagala hal ahwal kami, datanglah bŭrtŭmu dŭngan kami sŭjauh Appiforum, kapada tŭmpat yang bŭrnama Kŭdie tiga: maka dŭmi dilihat Paulus akan marika itu, maka iya pun mŭnguchaplah shukor kapada Allah, sŭrta mŭnŭtapkan hatinya. Maka apabila kami sampielah kanŭgri Rom, maka disŭrahkanlah ulih pŭnghulu itu akan sagala orang yang tŭrblunggu itu kapada panglima tŭntara, tŭtapi diluloskannya Paulus dudok sa’orang sa’tŭmpat dŭngan sa’orang lashpar yang mŭnunggui dia.

KISAH RASUL-RASUL 28:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah mendarat dengan selamat, barulah kami mendapat tahu bahawa pulau itu bernama Malta. Penduduk pulau itu sangat berbelas ihsan kepada kami. Mereka menyalakan api dan menyambut kami sekalian masuk berlindung daripada hujan dan kesejukan. Paulus memungut ranting dan apabila dia meletakkannya di atas api, seekor ular kapak keluar melarikan diri daripada kepanasan itu lalu memagut tangan Paulus. Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, “Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.” Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan. Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, lalu mengatakan Paulus itu seorang dewa. Di daerah itu ada tanah yang dipunyai oleh seorang bernama Publius, penguasa pulau itu. Dia menyambut kami dan melayani kami selama tiga hari dengan budi bahasa yang baik. Ketika itu bapa Publius terlantar menghidap demam dan mengalami cirit-birit. Paulus masuk menghampirinya lalu berdoa sambil meletakkan tangan ke atasnya dan menyembuhkannya. Selepas itu, beberapa orang yang menghidap penyakit di pulau itu datang berjumpa Paulus, lalu dia menyembuhkan mereka. Mereka menunjukkan penghargaan yang tinggi kepada kami; dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa pelbagai barang yang berguna ke dalam kapal sebagai bekalan untuk kami. Tiga bulan kemudian, kami belayar dalam sebuah kapal bernama Dioskuri yang mempunyai lambang, “Dewa Kembar.” Kapal itu datang dari Aleksandria dan berlabuh di pulau itu sepanjang musim dingin. Kami singgah di Sirakusa lalu tinggal di sana tiga hari, kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli. Di sana kami bertemu dengan saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Roma. Para murid Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Rumah Penginapan Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah. Di Roma Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.