KISAH RASUL-RASUL 27:20-27
KISAH RASUL-RASUL 27:20-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Berhari-hari kami tidak dapat melihat matahari dan bintang, dan angin pun terus-menerus membadai. Akhirnya lenyaplah segala harapan kami untuk selamat. Setelah beberapa lama mereka tidak makan, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Saudara-saudara sepatutnya menurut nasihat saya dan tidak belayar dari Kreta, maka kita tidak akan mengalami kerosakan dan kerugian ini. Tetapi sekarang janganlah khuatir, kerana tidak seorang pun akan mati, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. Saya berkata demikian kerana semalam Allah yang memiliki saya dan yang saya sembah, menyuruh malaikat-Nya datang kepada saya. Malaikat itu berkata, ‘Janganlah takut, Paulus! Engkau akan menghadap Kaisar. Oleh sebab kebaikan hati Allah kepadamu, semua orang yang belayar denganmu akan selamat.’ Oleh itu tabahkanlah hati saudara-saudara. Saya percaya kepada Allah, bahawa segala-galanya akan berlaku seperti yang dikatakan-Nya kepada saya. Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.” Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat.
KISAH RASUL-RASUL 27:20-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka apabila tiadalah klihatan matahari dan bintang bŭbrapa hari lamanya, sŭrta angin ribut pun bukan buatan mŭmukol kami, maka pada waktu itu putuslah harap kami deripada slamat. Shahadan kumdian deri pada bŭbrapa lamanya orang pun ta’dapat makan, tŭtkala itu maka bŭrdirilah Paulus pada sama tŭngah marika itu, sambil bŭrkata kata, Hie tuan tuan skalian, dahulu patutlah kamu mŭnurot pŭrkataanku, supaya jangan mŭninggalkan pulau Kreti, sŭrta bŭrulih mŭrbahya dan kŭrugian ini. Tŭtapi skarang pun aku mŭmbri nasihat pada kamu supaya tŭtap hati kamu, kŭrna sa’orang pun diantara kamu tiada akan hilang nyawanya, hanya kapal sahja. Kŭrna pada malam ini adalah datang kapadaku sa’orang mŭliekat deripada Allah yang ampunya milek akulah ini, maka kapadanyalah juga aku bŭrbuat bakti: Katanya, Janganlah takot hie Paulus, sŭsungguhnya angkau akan disampiekan juga kahadapan Kiesar, maka bahwasanya tŭlah dikurniakan Allah kapadamu bahwa sagala orang yang bŭrlayar sŭrtamu. Sŭbab itu pŭrtŭtapkanlah hatimu hie tuan tuan skalian, kŭrna aku pŭrchaya akan Allah, bahwa ta’dapat tiada akan jadi spŭrti pŭrkataannya padaku itu. Akan tŭtapi dapat tiada juga kita ini bias tŭrdampar kadada suatu pulau kŭlak. Adapun sŭtlah sampielah ampatblas hari lamanya bŭranyut anyutlah kŭsana kŭmari dalam laut Adria, maka sŭkira kira pada tŭngah malam, disangkakan ulih orang, bahwa kapal itu tŭlah dŭkatlah kapada suatu darat.
KISAH RASUL-RASUL 27:20-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beberapa hari kami tidak melihat matahari dan bintang serta dipukul ribut yang dahsyat; akhirnya putuslah harapan kami diselamatkan. Sekian lama orang di dalam kapal itu tidak makan, lalu Paulus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara, sepatutnya dahulu saudara-saudara menurut kataku, jangan belayar meninggalkan Kreta, nanti ditimpa bencana dan kerugian demikian. Sekarang aku berkata kepada saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing, kerana seorang pun tidak akan kehilangan hidup, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. Malam tadi, di sisi aku terdiri malaikat daripada Allah yang memiliki seluruh diriku dan yang aku sembah. Malaikat itu berkata, ‘Paulus, jangan takut. Engkau pasti akan berdiri di hadapan Kaisar. Semua yang belayar bersamamu akan diselamatkan juga sebagai kurnia Allah kepadamu.’ Oleh itu, saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing. Aku percaya akan Allah dan janji-Nya yang disampaikan kepadaku itu. Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.” Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat.