KISAH RASUL-RASUL 27:1-38

KISAH RASUL-RASUL 27:1-38 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah diputuskan bahawa kami harus belayar ke Italia, Paulus dan beberapa orang tahanan lain diserahkan kepada Yulius, pegawai tentera daripada rejimen Roma yang disebut “Rejimen Kaisar”. Kami menaiki kapal yang datang dari Adramitium, yang sudah siap untuk belayar ke pelabuhan-pelabuhan di daerah Asia. Aristarkhus, seorang Makedonia yang datang dari Tesalonika, juga bersama-sama kami. Keesokan harinya kami tiba di Sidon. Yulius memperlakukan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus melawat sahabat-sahabatnya, supaya mereka dapat memberikan apa yang diperlukan oleh Paulus. Dari situ kami meneruskan pelayaran. Kerana angin berlawanan dengan arah kapal, kami belayar menyusur pulau Siprus yang agak terlindung daripada angin. Kami menyeberangi lautan yang berhadapan dengan Kilikia dan Pamfilia lalu tiba di Mira di negeri Likia. Di situ pegawai tentera itu mendapatkan kapal yang datang dari Aleksandria dan akan belayar ke Italia. Oleh itu dia memindahkan kami ke kapal itu. Selama beberapa hari kami belayar dengan lambat sekali, dan dengan susah payah akhirnya kami tiba di kota Knidus. Kerana angin terlalu kuat, kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke jurusan itu. Oleh itu kami belayar ke selatan pulau Kreta melalui Tanjung Salmone supaya terlindung daripada angin. Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai pulau itu, dan akhirnya kami tiba di suatu tempat bernama Pelabuhan Indah, tidak berapa jauh dari kota Lasea. Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini, “Saudara-saudara, menurut pendapat saya, mulai sekarang perjalanan kita sangat berbahaya. Bukan sahaja muatan dan kapal kita akan mengalami kerosakan besar, bahkan nyawa pun akan hilang.” Tetapi pegawai tentera itu lebih percaya kepada kapten kapal dan pemilik kapal daripada kata-kata Paulus. Pelabuhan di situ memang tidak baik bagi kapal untuk tinggal pada musim sejuk. Oleh itu kebanyakan anak kapal ingin belayar dan meninggalkan pelabuhan itu, serta berharap dapat sampai ke Feniks, lalu tinggal di situ sepanjang musim sejuk. Feniks itu pelabuhan di Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut. Pada waktu itu angin selatan mula bertiup dengan lembut, dan anak kapal menyangka mereka boleh belayar lagi. Oleh itu mereka membongkar sauh lalu belayar menyusur pantai pulau Kreta. Tetapi tidak lama kemudian angin yang sangat kuat, yang disebut angin Timur Laut, membadai dari darat, dan memukul kapal kami. Kerana kapal tidak dapat belayar melawan angin, kami membiarkan kapal mengikut angin. Kami terlindung sedikit apabila kami melalui sebelah selatan pulau Kauda yang kecil. Di situ dengan susah payah kami berjaya menyelamatkan sekoci kapal. Setelah mereka menaikkan sekoci itu ke kapal, mereka memperkuat kapal dengan menggunakan tali yang diikatkan melingkari kapal itu. Kerana mereka takut terdampar di tebing pasir Sirtis, mereka menurunkan layar dan membiarkan kapal mengikut angin. Angin terus-menerus membadai, sehingga keesokan harinya muatan kapal mula dibuang ke dalam laut. Hari berikutnya anak kapal juga membuang sebahagian daripada alat-alat kapal. Berhari-hari kami tidak dapat melihat matahari dan bintang, dan angin pun terus-menerus membadai. Akhirnya lenyaplah segala harapan kami untuk selamat. Setelah beberapa lama mereka tidak makan, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Saudara-saudara sepatutnya menurut nasihat saya dan tidak belayar dari Kreta, maka kita tidak akan mengalami kerosakan dan kerugian ini. Tetapi sekarang janganlah khuatir, kerana tidak seorang pun akan mati, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. Saya berkata demikian kerana semalam Allah yang memiliki saya dan yang saya sembah, menyuruh malaikat-Nya datang kepada saya. Malaikat itu berkata, ‘Janganlah takut, Paulus! Engkau akan menghadap Kaisar. Oleh sebab kebaikan hati Allah kepadamu, semua orang yang belayar denganmu akan selamat.’ Oleh itu tabahkanlah hati saudara-saudara. Saya percaya kepada Allah, bahawa segala-galanya akan berlaku seperti yang dikatakan-Nya kepada saya. Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.” Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat. Oleh itu mereka melempar batu duga untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter. Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing. Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal. Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, “Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.” Oleh itu askar-askar mengerat tali yang mengikat sekoci lalu membiarkan sekoci itu hanyut. Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. Paulus berkata, “Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa. Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.” Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan. Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan. Bilangan orang di kapal itu 276 orang. Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, supaya kapal menjadi ringan.

KISAH RASUL-RASUL 27:1-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka apabila tŭntulah sudah patut kami akan bŭrlayar, kabŭnua Italia, maka disŭrahkannyalah Paulus dan bŭbrapa orang lain yang tŭlah tŭrbŭlunggu itu kapada sa’orang yang bŭrnama Julius, iya itu sa’orang pŭnghulu orang sa’ratus, deripada pasukan Augustus. Maka kami pun naiklah kŭdalam sa’buah kapal deri Adramitium, maka bŭrlayarlah kami handak mŭnyusor rantau rantau bŭnua Asia; maka adapun yang bŭrsama sama dŭngan kami itu Aristarkus orang Makadonia, deri nŭgri Thessalonika. Maka pada esoknya singgahlah kami kaSidon. Adapun Julius bŭrlaku dŭngan kasihannya akau Paulus itu, dibrinyalah kŭbibasan akan dia, supaya bulih iya pŭrgi bŭrtŭmu dŭngan sahabat sahabatnya, sŭrta mŭnyŭnangkan dirinya. Maka sŭtlah sudah kami kluar deri sana, bŭrlayarlah kami mŭnyusor Siprus, sŭbab mŭndahga angin. Adapun sŭtlah sudah kami bŭrlayar dilaut Celisia dan Pamfilia, maka singgahlah kami kaMira, nŭgri Licia. Maka pŭnghulu itu pun bŭrtŭmulah disana dŭngan sa’buah kapal yang datang deri Iskanderia yang handak pŭrgi kaItalia, maka ditompangkannyalah kami kŭdalamnya. Maka apabila pŭlayaran kami itu pun bŭrlambatan bŭbrapa hari lamanya, dan sukarlah juga kami mŭnuju kapada nŭgri Kuidus, kŭrna angin tiada mŭluloskan, maka bŭrlayarlah kami juga mŭnyusor Kreti bŭrtŭntangan nŭgri Solomoni. Sŭbab sukarlah kami handak mŭlŭpaskan nŭgri itu, maka sampielah kami kapada suatu tŭmpat yang bŭrnama Labohan chantek; maka adalah nŭgri Lasea dŭkat dŭngan dia itu. Sŭtlah bŭbrapa lamanya sudah lalu, dan pŭlayaran itu pun skarang bŭrbahya adanya, kŭrna hari raya puasa pun sudah lampau, maka Paulus pun mŭngingatkanlah akan marika itu: Katanya, Hie tuan tuan skalian, kulihat bahwa pŭlayaran kita ini kŭlak dalam kŭsukaran dan kŭrugian banyak, bukannya kapada muatan dan kapal sahja, mŭlainkan atas nyawa kita pun. Akan tŭtapi pŭnghulu orang sa’ratus itu tŭrlebih pŭrchayanya akan jŭrumudi dan nakhoda kapal itu deripada pŭrkataan Paulus. Adapun sŭbab labohan itu bukannya tŭmpat yang baik akan mŭnahun pada musim sŭjok, maka kabanyakkan marika itu bŭrfikir fikir baik juga undor deri sana, kalau dŭngan mudah mudahan dapat marika itu singgah kaFenice, supaya bulih mŭnahun pada musim sŭjok, kŭrna iya itu labohan pulau kreti yang mŭngadap barat daya dan barat laut. Maka apabila bŭrtiuplah angin slatan sapui sapui, maka disangka ulih marika itu tŭlah dipŭrulih kahandaknya, lalu dibongkarnyalah sauh sŭrta bŭrlayarlah disisi pulau Kreti. Tŭtapi tiada brapa lama antaranya, maka datanglah suatu angin tŭrsangat kŭras, yang bŭrnama Uruklidon. Maka tŭkala disambarnyalah kapal itu, tiadalah dapat iya mŭlawan angin, maka kami biarkanlah iya bŭranyut. Maka tiba tiba jatohlah kami kapada sa’buah pulau yang bŭrnama Klauda, maka susahlah kami handak mŭngambil sampan. Maka sŭtlah sudah dinaikkan sampan itu, lalu diupayakanlah handak mŭmbarut kapal itu, maka takotlah marika itu tŭrdampar kapada bŭting, maka dituronkanlah layar lalu bŭranyutlah. Maka sŭbab kami dilengkong lengkongkan ulih angin ribut tŭrlalu sangat, maka pada esoknya dichampak champakkan oranglah muatannya kalaut. Maka pada lusanya dŭngan tangan sŭndiri kami mŭmbuangkan bŭbrapa pŭrkakas kapal. Maka apabila tiadalah klihatan matahari dan bintang bŭbrapa hari lamanya, sŭrta angin ribut pun bukan buatan mŭmukol kami, maka pada waktu itu putuslah harap kami deripada slamat. Shahadan kumdian deri pada bŭbrapa lamanya orang pun ta’dapat makan, tŭtkala itu maka bŭrdirilah Paulus pada sama tŭngah marika itu, sambil bŭrkata kata, Hie tuan tuan skalian, dahulu patutlah kamu mŭnurot pŭrkataanku, supaya jangan mŭninggalkan pulau Kreti, sŭrta bŭrulih mŭrbahya dan kŭrugian ini. Tŭtapi skarang pun aku mŭmbri nasihat pada kamu supaya tŭtap hati kamu, kŭrna sa’orang pun diantara kamu tiada akan hilang nyawanya, hanya kapal sahja. Kŭrna pada malam ini adalah datang kapadaku sa’orang mŭliekat deripada Allah yang ampunya milek akulah ini, maka kapadanyalah juga aku bŭrbuat bakti: Katanya, Janganlah takot hie Paulus, sŭsungguhnya angkau akan disampiekan juga kahadapan Kiesar, maka bahwasanya tŭlah dikurniakan Allah kapadamu bahwa sagala orang yang bŭrlayar sŭrtamu. Sŭbab itu pŭrtŭtapkanlah hatimu hie tuan tuan skalian, kŭrna aku pŭrchaya akan Allah, bahwa ta’dapat tiada akan jadi spŭrti pŭrkataannya padaku itu. Akan tŭtapi dapat tiada juga kita ini bias tŭrdampar kadada suatu pulau kŭlak. Adapun sŭtlah sampielah ampatblas hari lamanya bŭranyut anyutlah kŭsana kŭmari dalam laut Adria, maka sŭkira kira pada tŭngah malam, disangkakan ulih orang, bahwa kapal itu tŭlah dŭkatlah kapada suatu darat. Maka dibuanglah duga, didapati dua puloh dŭpa dalamnya, sŭtlah lalulah sŭdikit kahadapan, maka diduga pula, didapatinya limablas dŭpa dalamnya. Maka takotlah marika itu kalau kalau bias tŭrdampar kapada batu, maka dilabohkanlah ampat sauh deri buritan, sambil rindulah iya akan hari siang. Tŭtapi apabila khŭlasi kapal itu handak lari kluar deri dalam kapal sambil mŭnuronkan sampan kŭdalam laut, pura pura iya handak mŭngluarkan sauh deri haluan, Maka bŭrkatalah Paulus kapada pŭnghulu itu dan kapada sagala lashkar, Jikalau marika ini tiada tinggal dalam kapal, maka kamu tiada akan slamat. Maka tŭtkala itu dipotongkanlah ulih lashkar akan tali sampan itu, lalu dianyutkanlah dia kŭlaut. Maka tŭtkala hampirlah hari siang, lalu diajaklah ulih Paulus akan marika itu makan, katanya, Skarang kita tŭlah ampatblas hari lamanya sudah mŭnantikan dŭngan kŭlaparan, suatu pun tiada makan. Sŭbab itu aku mŭminta kapadamu, makanlah barang sŭdikit, supaya mŭndatangkan sehat bagiemu, kŭrna sa’lie rambut pun tiada gugor deri pada kŭpala barang sa’orang deri antara kamu. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, lalu diambilnyalah roti, sŭrta mŭnguchap shukor kapada Allah dihadapan marika itu skalian, maka dipŭchahkannyalah akan dia, sŭrta dimakannya. Maka sŭtlah itu tŭtaplah hati skalian marika itu, lalu iya pun makanlah. Adapun kami skalian dalam kapal itu adalah dua ratus tujoh puloh anam orang banyaknya. Shahadan tŭlah kŭnyanglah marika itu, maka dianggalkannyalah kapalnya dŭngan mŭmbuangkan gandom kŭlaut.

KISAH RASUL-RASUL 27:1-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah diputuskan bahawa kami akan belayar ke Itali, Paulus dan beberapa orang tahanan diserahkan kepada seorang ketua tentera dari Rejimen Kaisar, bernama Yulius. Kami menaiki sebuah kapal yang datang dari Adramitium dan hendak menyusur teluk rantau tanah Asia. Aristarkhus, orang Makedonia dari Tesalonika, menyertai kami. Esoknya kami singgah di Sidon. Yulius berasa kasihan dan melayani Paulus dengan baik serta membenarkannya bertemu dengan sahabat-sahabatnya untuk mendapatkan apa-apa yang diperlukannya. Kemudian kami belayar menyusur Siprus di sebelah bawah angin, kerana ketika itu angin bertiup ke arah yang bertentangan dengan hala tujuan kami. Setelah menyeberang laut Kilikia dan Pamfilia, kami sampai ke Mira di Tanah Likia. Di sana ketua tentera Kaisar itu mendapati sebuah kapal dari Aleksandria yang hendak belayar ke Itali, lalu dia menumpangkan kami dalam kapal itu. Kami belayar dengan lambat dan susah payah kerana melawan arah tiupan angin. Selepas beberapa hari, kami tiba di kota Knidus. Oleh sebab masalah angin itu, kami belayar ke selatan Pulau Kreta, melalui Salmone. Dengan susah payah juga kami menyusur pulau itu, lalu sampai ke tempat yang bernama Lindungan Indah, berdekatan Lasea. Beberapa hari kemudian, keadaan kian berbahaya untuk meneruskan pelayaran. Hari Puasa orang Yahudi pun sudah berlalu. Paulus mengingatkan ketua tentera itu, “Saudara-saudara, pada pandanganku, jika kita belayar, banyak bencana dan kerugian akan menimpa, bukan sahaja kapal ini dan muatannya malah nyawa kita juga.” Tetapi ketua tentera itu lebih mempercayai kata pengemudi dan pemilik kapal itu daripada kata Paulus. Pelabuhan itu memang tidak selesa untuk tinggal sepanjang musim dingin. Oleh itu, kebanyakan mereka hendak meneruskan pelayaran dengan harapan akan sampai ke Feniks lalu tinggal di situ, di pelabuhan di Pulau Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut. Apabila bertiup angin selatan sepoi-sepoi bahasa, sangka mereka telah tercapailah hasrat mereka. Mereka pun membongkar sauh lalu menyusur Pulau Kreta. Tidak berapa lama kemudian, angin ribut yang bergelar Timur Laut membadai dari arah pulau itu. Kapal kami dipukul ribut dan tidak terdaya belayar melawan arah angin. Kami pun membiarkannya berhanyut, sampai ke selatan sebuah pulau kecil bernama Kauda. Dengan susah payah kami menyelamatkan sekoci kapal itu. Setelah dinaikkan sekoci itu ke kapal, diusahakan memperkukuh kapal itu dengan ikatan tali. Oleh sebab takut terdampar ke tebing Sirtis, layar diturunkan dan kapal itu dibiarkan mengikut angin. Kami begitu teruk dipukul ribut sehingga esoknya muatan kapal mula dibuang ke laut; dan lusanya sebahagian alat kapal itu pula dibuangkan. Beberapa hari kami tidak melihat matahari dan bintang serta dipukul ribut yang dahsyat; akhirnya putuslah harapan kami diselamatkan. Sekian lama orang di dalam kapal itu tidak makan, lalu Paulus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara, sepatutnya dahulu saudara-saudara menurut kataku, jangan belayar meninggalkan Kreta, nanti ditimpa bencana dan kerugian demikian. Sekarang aku berkata kepada saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing, kerana seorang pun tidak akan kehilangan hidup, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. Malam tadi, di sisi aku terdiri malaikat daripada Allah yang memiliki seluruh diriku dan yang aku sembah. Malaikat itu berkata, ‘Paulus, jangan takut. Engkau pasti akan berdiri di hadapan Kaisar. Semua yang belayar bersamamu akan diselamatkan juga sebagai kurnia Allah kepadamu.’ Oleh itu, saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing. Aku percaya akan Allah dan janji-Nya yang disampaikan kepadaku itu. Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.” Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat. Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa; kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya. Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta berdoa untuk tibanya hari siang. Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal. Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askar-askar, “Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.” Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut. Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, “Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar. Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.” Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan. Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama. Bilangan kami yang ada di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam jiwa. Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami