KISAH RASUL-RASUL 25:23-27
KISAH RASUL-RASUL 25:23-27 Alkitab Berita Baik (BM)
Esoknya Raja Agripa dan Puteri Bernike datang lalu disambut dengan upacara kebesaran. Baginda berdua memasuki balai mahkamah bersama-sama para panglima angkatan perang dan orang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa menghadap. Lalu Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Orang di hadapan patik ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi. Tetapi patik tidak mendapatkan kesalahan apa pun yang dilakukannya, yang layak dihukum dengan hukuman mati. Kerana dia sudah mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar, patik sudah mengambil keputusan untuk menghantar dia kepada Kaisar. Tetapi patik belum mempunyai keterangan yang pasti tentang dirinya, yang dapat patik tuliskan dalam surat kepada Kaisar. Itulah sebabnya patik menghadapkan dia kepada semua yang hadir, terutama sekali kepada Tuanku Raja Agripa! Dengan demikian, setelah pemeriksaan ini, ada sesuatu yang dapat patik tuliskan di dalam surat itu. Menurut pendapat patik, tidaklah patut menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan yang jelas terhadap dia.”
KISAH RASUL-RASUL 25:23-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Arkian maka kaesokkan harinya, sŭtlah datanglah Agripa dan Berniki dŭngan bŭbrapa kŭbŭsarannya, lalu masoklah iya katŭmpat pŭngaduan, sŭrta dŭngan pŭnghulu pŭnghulu orang sa’ribu, dan orang bŭsar bŭsar dalam nŭgri itu, maka dibawa oranglah akan Paulus itu pun mŭngadap dŭngan titah Festus. Sŭbarmula maka bŭrkatalah Festus, Ya raja Agripa dan sagala orang yang bŭrhalir disini bŭsŭrta dŭngan kami, maka kamu mŭlihat akan orang ini, inilah dia yang dipinta tulong ulih orang Yahudi pada aku, baik diJerusalem, baik disini, dŭngan bŭrtriak, Bahwa tiadalah patut iya ini dihidopi lagi. Tŭtapi apabila aku tŭlah mŭndapat iya itu tiada patut dihukumkan mati, dan lagi iya sŭndiri pun tŭlah mŭminta bichara kapada Augustus, maka aku tŭlah tŭntukan handak mŭngirimkan dia. Maka tiadalah dapat aku kirimkan surat deri halnya pada tuanku, sŭbab itulah aku bawa dia mŭngadap kamu skalian, istimewa kapadamu ya raja Agripa, apabila sudah dipreksai dia, bulih dapatlah kusuratkan barang apa deri halnya. Kŭrna pada sangkaku tiadalah patut dikirimkan sa’orang yang tŭrpŭnjara itu dŭngan tiada dinyatakan kŭsalahannya.
KISAH RASUL-RASUL 25:23-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk. Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan sidang hadirin. Orang ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak patut dibiarkan hidup lagi. Tetapi pada pandangan aku, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhi hukuman mati. Oleh sebab dia sendiri hendak mengadukan halnya kepada yang maha mulia Kaisar, aku telah memutuskan akan menghantarnya kepada Kaisar. Namun demikian, tiada suatu pun yang pasti untuk aku tuliskan tentangnya kepada Kaisar. Itulah sebabnya aku membawanya menghadapmu, dan terutamanya Raja Agripa. Setelah dia disoal nanti, bolehlah didapati sesuatu untuk aku tuliskan. Pada pandanganku, tidaklah wajar menghantarkan seseorang untuk diadili tanpa menyatakan tuduhan ke atasnya dengan jelas.”