KISAH RASUL-RASUL 25:13-27

KISAH RASUL-RASUL 25:13-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Puteri Bernike datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan Gabenor Festus. Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, “Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks. Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya. Tetapi patik memberitahu mereka bahawa bukan kebiasaan orang Roma menyerahkan seseorang, sebelum orang itu berhadapan dengan para pendakwanya dan berpeluang membela diri. Apabila mereka datang ke mari, pada keesokan harinya dengan tidak membuang masa lagi patik duduk sebagai hakim di mahkamah. Lalu patik memberikan perintah supaya orang itu dibawa menghadap. Apabila para pendakwanya berdiri untuk mengemukakan tuduhan, mereka tidak mengajukan suatu kejahatan pun seperti yang patik sangka akan dilakukan mereka. Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup. Patik tidak dapat mengambil keputusan tentang bagaimana patik boleh mendapatkan keterangan selanjutnya tentang perkara itu. Oleh itu patik bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili di sana kerana tuduhan-tuduhan itu. Tetapi Paulus mengajukan rayuan supaya dia diadili oleh Kaisar dan supaya tetap ditahan sehingga perkaranya diputuskan. Oleh itu patik memberikan perintah supaya dia ditahan terus, sehingga patik mendapat peluang untuk menghantar dia kepada Kaisar.” Agripa bertitah kepada Festus, “Beta pun ingin mendengar orang itu.” “Esok tuanku akan mendengar dia,” jawab Festus. Esoknya Raja Agripa dan Puteri Bernike datang lalu disambut dengan upacara kebesaran. Baginda berdua memasuki balai mahkamah bersama-sama para panglima angkatan perang dan orang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa menghadap. Lalu Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Orang di hadapan patik ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi. Tetapi patik tidak mendapatkan kesalahan apa pun yang dilakukannya, yang layak dihukum dengan hukuman mati. Kerana dia sudah mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar, patik sudah mengambil keputusan untuk menghantar dia kepada Kaisar. Tetapi patik belum mempunyai keterangan yang pasti tentang dirinya, yang dapat patik tuliskan dalam surat kepada Kaisar. Itulah sebabnya patik menghadapkan dia kepada semua yang hadir, terutama sekali kepada Tuanku Raja Agripa! Dengan demikian, setelah pemeriksaan ini, ada sesuatu yang dapat patik tuliskan di dalam surat itu. Menurut pendapat patik, tidaklah patut menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan yang jelas terhadap dia.”

KISAH RASUL-RASUL 25:13-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun kumdian deri pada bŭbrapa hari antaranya, datanglah raja Agripa dan Berniki kaKesaria handak mŭlawat Festus. Maka bŭbrapa hari lamanya iya disana, maka dichŭrtrakan ulih Festus akan sagala hal ahwal Paulus kapada raja, katanya, Ada sa’orang orang yang ditinggalkan tŭrblunggu ulih Felix. Maka tŭtkala aku diJerusalem, sagala imam yang bŭsar dan orang orang tua tŭlah mŭngadap deri kŭrnanya, mŭminta hukumkan akan dia. Maka sahutku kapada marika itu, Tiada adat orang Rom mŭnyurohkan barang orang yang akan dibunoh itu dahulu deripada yang ditudohi itu bŭrhadapan dŭngan orang orang yang mŭnudoh, sŭrta mŭndapat izin mŭmbri jawab akan hal pŭrdawaannya itu. Sŭtlah itu apabila marika itu sudah datang kamari dŭngan tiada bŭrlambatan, maka pada kaesokkan harinya dudoklah aku ka’atas tŭmpat bichara, lalu orang itu pun kusuroh mŭngadap. Maka tŭtkala halirlah sagala orang yang mŭnudoh itu, maka ta’dapatlah marika itu mŭmbawa pŭrdawaan barang suatu spŭrti yang tŭlah kusangkakan. Mŭlainkan adalah bŭbrapa sual kapada marika itu mŭlawan akan dia derihal agamanya, dan lagi deripada sa’orang yang bŭrnama Isa yang tŭlah mati, iya itu dikatakan ulih Paulus ada hidop. Maka sŭbab aku shaklah akan hal pŭrdawaan ini, lalu kupintalah kapadanya kalau kalau mahu iya pŭrgi kaJerusalem, supaya dibicharakan sagala halnya itu disana. Maka apabila Paulus mŭminta tahankan supaya bichara kapada Augustus, lalu kusuroh pŭnjarakan dia, sahingga aku kirimkan dia kapada Kiesar. Sŭtlah itu bŭrkatalah Agripa kapada Festus, Aku sŭndiri pun suka mŭnŭngar derihal pŭngaduan orang ini. Maka bŭrkatalah Festus, Bahwa esok bulihlah angkau mŭnŭngar akan dia. Arkian maka kaesokkan harinya, sŭtlah datanglah Agripa dan Berniki dŭngan bŭbrapa kŭbŭsarannya, lalu masoklah iya katŭmpat pŭngaduan, sŭrta dŭngan pŭnghulu pŭnghulu orang sa’ribu, dan orang bŭsar bŭsar dalam nŭgri itu, maka dibawa oranglah akan Paulus itu pun mŭngadap dŭngan titah Festus. Sŭbarmula maka bŭrkatalah Festus, Ya raja Agripa dan sagala orang yang bŭrhalir disini bŭsŭrta dŭngan kami, maka kamu mŭlihat akan orang ini, inilah dia yang dipinta tulong ulih orang Yahudi pada aku, baik diJerusalem, baik disini, dŭngan bŭrtriak, Bahwa tiadalah patut iya ini dihidopi lagi. Tŭtapi apabila aku tŭlah mŭndapat iya itu tiada patut dihukumkan mati, dan lagi iya sŭndiri pun tŭlah mŭminta bichara kapada Augustus, maka aku tŭlah tŭntukan handak mŭngirimkan dia. Maka tiadalah dapat aku kirimkan surat deri halnya pada tuanku, sŭbab itulah aku bawa dia mŭngadap kamu skalian, istimewa kapadamu ya raja Agripa, apabila sudah dipreksai dia, bulih dapatlah kusuratkan barang apa deri halnya. Kŭrna pada sangkaku tiadalah patut dikirimkan sa’orang yang tŭrpŭnjara itu dŭngan tiada dinyatakan kŭsalahannya.

KISAH RASUL-RASUL 25:13-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus. Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, “Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara. Ketika aku di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum. Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Romawi, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri. Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah. Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan. Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Yesus yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus. Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengadili hal itu, lalu bertanya kalau dia mahu ke Yerusalem supaya dibicarakan di sana. Tetapi Paulus meminta tangguh, hendak mengadukan halnya supaya dibicarakan di hadapan yang maha mulia Kaisar; lalu aku menyuruh dia dipenjarakan hingga aku menghantarnya kepada Kaisar.” Agripa berkata, “Aku pun ingin mendengar orang itu.” Festus menjawab, “Esok dapatlah kamu mendengarnya.” Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk. Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan sidang hadirin. Orang ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak patut dibiarkan hidup lagi. Tetapi pada pandangan aku, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhi hukuman mati. Oleh sebab dia sendiri hendak mengadukan halnya kepada yang maha mulia Kaisar, aku telah memutuskan akan menghantarnya kepada Kaisar. Namun demikian, tiada suatu pun yang pasti untuk aku tuliskan tentangnya kepada Kaisar. Itulah sebabnya aku membawanya menghadapmu, dan terutamanya Raja Agripa. Setelah dia disoal nanti, bolehlah didapati sesuatu untuk aku tuliskan. Pada pandanganku, tidaklah wajar menghantarkan seseorang untuk diadili tanpa menyatakan tuduhan ke atasnya dengan jelas.”