KISAH RASUL-RASUL 24:1-27

KISAH RASUL-RASUL 24:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Lima hari kemudian, Imam Agung Ananias dan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi serta seorang peguam bernama Tertulus pergi ke Kaisarea. Mereka menghadap Gabenor Feliks dan mengemukakan tuduhan terhadap Paulus. Apabila Paulus dipanggil menghadap, Tertulus menuduh Paulus seperti berikut, “Tuan Yang Terutama! Oleh sebab pimpinan tuan yang bijaksana, kami terus-menerus mengalami kesejahteraan di negeri ini. Banyak pembaharuan pun sudah dilaksanakan untuk kebaikan negeri kami. Kami menghargai semuanya itu dan kami sangat berterima kasih kepada tuan. Supaya tidak membuang banyak masa tuan, saya memohon supaya tuan sudi mendengarkan pengaduan kami yang ringkas ini. Kami dapati orang ini pengacau yang berbahaya. Dia menimbulkan kekacauan di kalangan orang Yahudi di seluruh dunia dan dia pemimpin kumpulan orang Nasaret. Dia cuba menajiskan Rumah Tuhan, lalu kami menangkap dia. [Kami bercadang menghakimi dia menurut Taurat kami sendiri. Tetapi Komandan Lisias merampas dia daripada kami. Dia memberikan perintah supaya pendakwa-pendakwanya menghadap tuan.] Jika tuan menyoal orang ini, tuan sendiri dapat mengetahui kebenaran segala tuduhan kami.” Orang Yahudi di situ juga turut menuduh Paulus dan mengatakan bahawa semua yang dikatakan oleh Tertulus itu benar. Gabenor itu memberikan isyarat kepada Paulus bahawa dia boleh bercakap. Oleh itu Paulus berkata, “Saya tahu bahawa tuan telah menjadi hakim negeri ini selama bertahun-tahun. Oleh itu saya bersukacita kerana dapat membela diri di hadapan tuan. Tuan dapat mengetahui hal itu sendiri, bahawa tidak lebih daripada dua belas hari yang lalu, saya pergi ke Yerusalem untuk beribadat. Orang Yahudi tidak mendapati saya bertengkar dengan sesiapa pun ataupun menimbulkan rusuhan, baik di dalam Rumah Tuhan mahupun di rumah ibadat ataupun di tempat lain di kota. Mereka pun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dikemukakan kepada tuan terhadap saya. Saya mengaku di hadapan tuan bahawa saya menyembah Allah yang disembah oleh nenek moyang kami menurut ajaran Yesus, yang dianggap salah oleh mereka. Tetapi saya percaya juga kepada segala yang tertulis di dalam Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. Seperti mereka, saya berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian - orang baik, mahupun orang jahat! Oleh itu saya berusaha sebaik-baiknya supaya hati nurani saya sentiasa bersih di sisi Allah dan di hadapan manusia. Setelah beberapa tahun meninggalkan Yerusalem, saya kembali ke situ untuk membawa wang sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban kepada Allah. Apabila saya sedang melakukan perkara itu, mereka melihat saya di Rumah Tuhan setelah saya selesai melakukan upacara penyucian diri. Tidak ada orang ramai menyertai saya, dan tidak ada kekacauan berlaku di situ pada waktu itu. Tetapi beberapa orang Yahudi dari daerah Asia ada di situ. Sebenarnya mereka yang harus menghadap tuan dan mengajukan tuduhan mereka, jika ada tuduhan terhadap saya. Atau biarlah semua orang ini memberitahukan kesalahan saya yang didapati oleh mereka pada masa saya dibawa menghadap Majlis Agama. Mereka mendapati satu perkara sahaja: Saya mengatakan hal ini di hadapan mereka, ‘Hari ini saya diadili kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.’ ” Kemudian Feliks, yang banyak pengetahuannya tentang ajaran Yesus, mengakhiri pembicaraan itu. Feliks berkata, “Apabila Komandan Lisias datang, saya akan memutuskan perkara ini.” Lalu gabenor memerintahkan pegawai tentera yang menjaga Paulus supaya mengawal dia tetapi memberi dia kebebasan yang terhad, serta membenarkan sahabat-sahabat Paulus memberikan apa yang diperlukannya. Beberapa hari kemudian, Gabenor Feliks datang dengan isterinya Drusila, seorang Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus. Tetapi apabila Paulus melanjutkan ucapannya tentang apa yang baik, tentang hal mengawal diri, dan tentang hukuman pada Hari Kiamat, Feliks menjadi takut lalu berkata, “Kamu boleh pergi sekarang. Saya akan memanggil kamu lagi jika ada kesempatan.” Sementara itu Feliks juga berharap Paulus akan memberi dia wang. Oleh itu dia seringkali memanggil Paulus dan bercakap dengan dia. Setelah dua tahun, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi, dia membiarkan Paulus tinggal di dalam penjara.

KISAH RASUL-RASUL 24:1-27 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka kumdian deripada lima hari, maka datanglah Ananias imam yang bŭsar itu sŭrta dŭngan sagala orang tua tua, dan sa’orang yang peta lidahnya, bŭrnama Tertulus, yang akau mŭngadukan derihal Paulus kapada raja. Maka apabila Paulus dipanggil, maka Tertulus pun mŭmulailah mŭnudoh Paulus, katanya, Bahwa kami tŭlah bŭrulih sŭntosa bŭsar ulih pŭrentahmu, dan bŭbrapa kŭbajikan tŭlah diadakan kapada bangsa ini ulih bijaksanamu. Hie Felix yang amat mulia, maka sŭdiakala pada barang tŭmpat kami mŭnŭrima kasihanmu itu dŭngan bŭbrapa shukor. Tŭtapi supaya janganlah aku mŭnyusahi angkau lagi, aku mŭminta supaya angkau mŭnŭngar dŭngan kŭmurahan hatimu akan bŭbrapa pŭrkataan kami. Kŭrna kami tŭlah mŭndapat orang ini suatu bala, dan sa’orang yang mŭngadakan huru hara diantara orang orang Yahudi dalam sagala dunia; dan lagi iya sa’orang kŭpala guru, umat orang Nazareth itu. Lagi pula iya handak mŭnŭjiskan ka’abah, maka kami tŭlah mŭnangkap dia, sŭrta handak mŭnghukumkan dia mŭnurot hukum tauret kami. Tŭtapi datanglah Lysias pŭnghulu orang sa’ribu itu mŭrŭbut dia dŭngan gagahnya yang bŭsar deripada tangan kami. Maka disurohkannya sagala orang yang handak mŭnudoh akan dia datang mŭngadap kapadamu; maka apabila angkau tŭlah mŭmreksai deri halnya itu, nŭschaya angkau sŭndiri bulih mŭngŭtahui sagala pŭrkara yang tŭlah kami tudohi akan dia itu. Maka dibŭnarkanlah pula ulih sagala orang Yahudi akan sagala pŭrkataan itu. Sŭtlah itu diisharatkan ulih rajalah kapada Paulus mŭnyuroh bŭrkata kata; maka dijawablah iya katanya, Adapun kukŭtahui bŭbrapa lamanya angkau tŭlah mŭnjadi hakim yang mŭmrentahkan bangsa ini, sŭbab itu tŭrlebih lagi relalah aku handak mŭmbri jawab akan halku. Mŭlainkan angkau bulihlah mŭngŭtahui, bahwa tiadalah lebih deripada duablas hari lamanya aku bahru datang kaJerusalem handak sŭmbahyang. Maka tiadalah didapati ulih marika itu aku bŭrbantah bantah dalam ka’abah dŭngan sa’orang jua pun, atau mŭngadakan suatu pŭrgadohan diantara kaum, baik dalam kŭnisa, baik dalam nŭgri. Maka tiadalah pun marika itu bulih mŭmbri saksi skarang ini barang yang ditudohnya atasku. Akan tŭtapi aku mŭngakulah dihadapanmu, bahwa adapun mŭnurot jalan yang dikatakannya mŭzhab sŭsat itu, maka dŭngan jalan itulah juga aku bŭrbakti kapada Allah nenek moyang kami, sŭrta pŭrchaya akan sagala pŭrkara yang tŭrsurat dalam tauret dan kitab nabi nabi. Dan lagi aku harap akan Allah yang diakui ulih marika itu pun, bahwa akan dibangkitkan pula orang mati, baik deripada orang yang bŭnar, baik deripada orang yang tiada bŭnar. Maka dalam hal inilah aku mŭngusahakan diriku, supaya sŭntiasa bŭrulih pŭrasaan hati yang tiada mŭndatangkan salah kapada Allah, atau kapada manusia. Adapun sŭlang bŭbrapa tahun lamanya, maka aku datang mŭmbawa bŭbrapa sŭdŭkah pada kaumku, sŭrta bŭbrapa pŭrsŭmbahan. Hata kumdian deripada hal ini, maka adalah bŭbrapa orang Yahudi deri Asia tŭlah mŭndapati aku disuchikan dalam ka’abah, bukannya dŭngan orang banyak, dan bukannya pula dŭngan huru hara. Maka patutlah orang itu pun ada disini dihadapanmu, akan mŭnudoh aku, jikalau ada barang pŭrdawaannya atasku. Atau biarlah marika ini sŭndiri bŭrkata kata, kalau kalau iya sudah mŭndapat barang suatu kŭjahatan deri padaku tŭtkala aku bŭrdiri mŭngadap mŭjlis itu. Hanya deri sŭbab pŭrkataan yang tŭlah kukatakan tŭtkala aku bŭrdiri diantara marika itu mŭngatakan, bahwa derihal orang yang mati itu akan dibangkitkan pula, aku dida’wa ulih kamu pada hari ini. Adapun dŭmi didŭngar ulih Felix akan sagala pŭrkara ini, dipŭrtanggohkannyalah marika itu, sŭbab iya mŭngŭtahui akan sagala hal ahwalnya jalan ini dŭngan katrangannya; katanya, Apabila Lysias, pŭnghulu orang sa’ribu itu datang kŭlak, aku nanti tahu sahabis habislah derihalmu. Maka dipŭsannya kapada pŭnghulu orang sa’ratus akan mŭnunggui Paulus, sŭrta mŭmbri bibas akan dia, dan jangan dilarangkannya barang sa’orang yang bŭrkŭnal kŭnalan dŭngan dia datang, atau mŭlawat akan dia. ¶ Maka skali pŭrstua kumdian deripada bŭbrapa hari lamanya, datanglah Felix sŭrta istrinya yang bŭrnama Drusila, iya itu sa’orang pŭrampuan Yahudi, maka disurohnya panggil akan Paulus, lalu didŭngarnya dia mŭnchŭrtrakan hal iman akan Almasih. Maka tŭtkala iya mŭngajar derihal kabŭnaran, dan mŭnahani nafsu, dan hukum yang akan datang, maka Felix pun gŭmŭntarlah sangat, sŭrta bŭrkata, Sudah skarang ini, bila kutika sŭnangku kŭlak, aku akan mŭmanggil dikau. Dan lagi haraplah iya akan dibrikan wang ulih Paulus akan dia, supaya dilŭpaskannya dia pŭrgi, maka sŭbab itu disuronnya mŭmanggil banyak kali akan dia mŭngadap handak bŭrkata kata sŭrtanya. Tŭtapi kumdian deripada dua tahun, datanglah Porkius Festus mŭnggantikan Felix: maka Felix sŭbab handak mŭnyukakan sagala orang Yahudi itu, dibiarkannyalah Paulus itu tŭrblunggu.

KISAH RASUL-RASUL 24:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Selepas lima hari, Ananias imam besar datang ke Kaisarea dengan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi dan seorang peguam bernama Tertulus. Mereka menuduh Paulus di hadapan gabenor itu. Setelah Paulus dipanggil hadir, Tertulus memulakan dakwaannya: “Feliks yang mulia, dengan limpah kurnia dan kebijaksanaanmu, kami hidup sejahtera dan menikmati perubahan yang baik di negeri ini. Kami amat berterima kasih atas segala yang telah kamu lakukan. Kerana tidak ingin mengambil terlalu banyak masamu, aku memohon kebaikan kamu untuk mendengar dakwaanku yang ringkas ini. Kami telah mendapati orang ini pengacau dan menimbulkan huru-hara dalam kalangan orang Yahudi di serata dunia. Dialah pemimpin mazhab ajaran orang Nazaret itu. Malah dia cuba menajiskan Bait Suci tetapi kami menangkapnya dan hendak mengadilinya menurut hukum kami. Akan tetapi, ketua pasukan tentera Lisias datang lalu merampasnya daripada kami. Dia mengarahkan kami, pendakwa-pendakwa orang ini, supaya menghadapmu. Jika kamu menyoal orang ini, kamu akan mendapati bahawa segala tuduhan kami ini benar.” Orang Yahudi turut serta menuduh Paulus, dan mengatakan bahawa segala yang dikatakan itu benar. Setelah menerima isyarat daripada gabenor yang menyuruhnya bercakap, Paulus menjawab dakwaan itu demikian: “Aku tahu kamu telah lama menjadi hakim di negeri ini. Oleh itu, aku dengan senang hati mengadukan hal kepadamu. Hanya dua belas hari yang lalu aku telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat. Aku tidak didapati berbincang dengan sesiapa atau menghimpunkan orang ramai itu untuk menimbulkan huru-hara, baik di Bait Suci, saumaah, atau di mana-mana di kota itu. Para pendakwa juga tidak dapat membuktikan kepadamu segala tuduhan mereka terhadapku. Aku mengaku di hadapanmu bahawa aku menyembah Allah nenek moyang kami, menurut Jalan Tuhan yang dianggap salah oleh mereka. Aku juga percaya dan berpegang kepada hukum Taurat, dan segala yang tersurat dalam kitab nabi-nabi. Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat. Oleh itu, aku sentiasa berusaha supaya hati nuraniku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia. Selepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Yerusalem membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban. Mereka mendapati aku di dalam Bait Suci setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara. Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku. Ataupun biarlah orang di sini menyatakan apa kesalahan yang didapati pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu. Pada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, ‘Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.’ ” Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok agama berkenaan. Dia berkata, “Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini.” Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya. Beberapa hari kemudian, Feliks datang bersama isterinya Drusila, seorang Yahudi. Dia menyuruh orang memanggil Paulus lalu mendengar penerangannya tentang iman terhadap Kristus Yesus. Apabila Paulus bercakap tentang perbenaran, tentang penguasaan diri, dan tentang hukuman yang akan datang pada hari kemudian, Feliks ketakutan lalu berkata, “Pergilah sekarang. Apabila ada kesempatan nanti, aku akan memanggilmu lagi.” Dalam pada itu dia berharap Paulus akan memberikan wang kepadanya. Oleh itu, dia kerap kali menyuruh orang memanggil Paulus lalu bercakap dengannya. Dua tahun kemudian, Feliks digantikan oleh Perkius Festus. Feliks membiarkan Paulus terpenjara kerana hendak mengambil hati orang Yahudi.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami