KISAH RASUL-RASUL 20:20-32

KISAH RASUL-RASUL 20:20-32 Alkitab Berita Baik (BM)

Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah. Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi. Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku. Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu. Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah seperti gembala menjaga domba, kerana Allah sudah menjadikan jemaah milik-Nya sendiri melalui kematian Anak-Nya. Aku tahu bahawa setelah aku pergi, serigala buas akan datang ke tengah-tengah kamu. Jemaah yang kamu jaga akan menjadi mangsa serigala. Bahkan akan tiba masanya apabila beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka. Berwaspadalah! Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam dengan mencucurkan air mata, aku telah mengajar setiap orang di kalangan kamu. Sekarang aku menyerahkan kamu kepada pemeliharaan Allah. Perkhabaran tentang rahmat Allah juga akan memelihara kamu. Allah dapat menguatkan kamu dan mengurniai kamu berkat yang telah disediakan-Nya untuk semua umat-Nya.

KISAH RASUL-RASUL 20:20-32 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Dan bagimana aku tiada mŭnyŭmbunyikan barang apa yang bŭrfiedah pada kamu, mŭlainkan tŭlah kuunjokkan padamu, sŭrta mŭngajar kamu dalam mŭjŭlis, dan deripada sŭbuah rumah kasŭbuah rumah. Sambil mŭmbri saksi baik kapada orang Yahudi, baik kapada orang Grika, iya itu derihal bŭrtaubat pada Allah, dan bŭriman akan Tuhan kami Isa Almasih. Maka skarang pun kŭtahuilah ulih kamu, bahwa aku tŭlah diajak ulih Roh akan pŭrgi kanŭgri Jerusalem, maka tiada kukŭtahui apakah garangannya kŭsudahanku disana. Mŭlainkan adalah disaksikan ulih Roh Alkudos padaku katanya, Pada tiap tiap nŭgri bŭbrapa bŭlunggu dan kŭsukaran ada mŭnantikan aku Akan tŭtapi tiada aku pŭdulikan barang suatu jua pun deripada sagala pŭrkara ini, dan tiada pula kuindahkan nyawaku, supaya aku mŭnggŭnapi pŭrjalananku dŭngan suka chita, dan jawatan yang tŭlah kupŭrulih deripada Tuhan Isa itu akan mŭnyatakan Injil nikmat Allah itu. Maka skarang sŭsungguhnya aku tŭlah mŭnŭgtahui kamu skalian yang tŭlah kuajarkan krajaan Allah itu tiada akan dapat lagi mŭmandang mukaku. Sŭbab itu aku handak mŭnjadikan kamu skalian saksi pada hari inilah, iya itu aku tŭlah suchi deripada darah kamu skalian. Kŭrna tiada aku sŭmbunyikan deripadamu pŭngajaran sagala kahandak Allah. ¶ Maka sŭbab itu handaklah kamu skalian mŭnjaga akan dirimu sŭndiri, dan akan kawan kawan itu atas mana kamu ini pun tŭlah diangkatkan ulih Roh Alkudos akan mŭnjadi pŭmŭrentah, dan akan mŭnggombalakan sidang jŭmaah Tuhan yang tŭlah ditŭbusnya dŭngan darahnya sŭndiri. Kŭrna tŭlah kukŭtahui, bahwa kumdian deripada pŭninggalanku ini kŭlak dapat tiada akan masok bŭbrapa sŭrigala yang garang diantara kamu, yang tiada sayangkan kawan domba itu kŭlak. Maka deri antara kamu juga akan bŭrbangkit bŭbrapa orang mŭngatakan bŭbrapa pŭrkara putar balik akan mŭmbalikkan sagala murid itu mŭngikotkan dia. Sŭbab itu bŭrjagalah, sŭrta ingatlah kamu, bahwa tiga tahun lamanya pada siang dan malam, aku tiada bŭrhŭnti deripada mŭmbri nasihat pada sa’orang, sŭrta dŭngan bŭrchuchuran ayer mataku. Skarang pun hie sagala saudara, kusŭrahkanlah kamu kapada Allah, dan kapada pŭrkataan nikmatnya yang bŭrkwasa mŭnŭtapkan kamu, dan mŭmbri padamu suatu bahgian pusaka diantara sagala orang yang tŭlah disuchikannya.

KISAH RASUL-RASUL 20:20-32 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu baik di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing, sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Tuhan Yesus. Sekarang aku pergi ke Yerusalem mentaati perintah Roh Kudus sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku. Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Kudus telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku. Tetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Tuhan Yesus iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah. Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengkhabarkan kerajaan Allah. Oleh itu, pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia. Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan. Jagalah dirimu dan semua kawanan kerana kamulah yang telah diamanahkan Roh Kudus untuk menjadi penyelia bagi menggembalakan jemaah Allah yang telah ditebus-Nya dengan darah-Nya sendiri. Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini; malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik para murid untuk mengikut mereka. Oleh itu, berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku. Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang kasih kurnia Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat yang telah disucikan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami