KISAH RASUL-RASUL 20:17-38

KISAH RASUL-RASUL 20:17-38 Alkitab Berita Baik (BM)

Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia. Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi. Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah. Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi. Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku. Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu. Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah seperti gembala menjaga domba, kerana Allah sudah menjadikan jemaah milik-Nya sendiri melalui kematian Anak-Nya. Aku tahu bahawa setelah aku pergi, serigala buas akan datang ke tengah-tengah kamu. Jemaah yang kamu jaga akan menjadi mangsa serigala. Bahkan akan tiba masanya apabila beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka. Berwaspadalah! Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam dengan mencucurkan air mata, aku telah mengajar setiap orang di kalangan kamu. Sekarang aku menyerahkan kamu kepada pemeliharaan Allah. Perkhabaran tentang rahmat Allah juga akan memelihara kamu. Allah dapat menguatkan kamu dan mengurniai kamu berkat yang telah disediakan-Nya untuk semua umat-Nya. Aku tidak pernah mengingini wang atau pakaian sesiapa pun. Kamu sendiri tahu bahawa dengan tangan sendiri, aku bekerja untuk mencukupi keperluanku dan rakan-rakanku. Dalam segala perkara aku sudah memberikan teladan kepada kamu bahawa dengan bekerja keras seperti ini, kita harus menolong orang yang lemah. Ingatlah akan kata-kata Tuhan Yesus, ‘Lebih berbahagia memberi daripada menerima.’ ” Apabila Paulus selesai berkata-kata, dia berlutut dengan mereka semua lalu berdoa. Sambil menangis mereka memeluk Paulus dan mengucapkan selamat tinggal. Mereka amat sedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan berjumpa dengan dia lagi. Kemudian mereka menghantar dia sampai ke kapal.

KISAH RASUL-RASUL 20:17-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Adapun disurohnyalah orang deri Militus pŭrgi kaEfesus, akan mŭnjŭmpot sagala orang tua tua sidang jŭmaah itu. Sŭtlah datanglah orang orang itu kapadanya, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Bahwa kamu tŭlah mŭngŭtahui deripada mula mula hari tŭtkala aku datang masok kanŭgri Asia ini, bagimana aku tŭlah mŭlakukan diriku bŭrsama sama dŭngan kamu slama ini. Dŭngan mŭmbuat ibadat kapada Tuhan dŭngan sangat mŭrŭndahkan hati, dŭngan banyak ayer mata, dan bŭbrapa pŭrchobaan yang tŭlah bŭrlaku ka’atasku sŭbab diadang ulih orang orang Yahudi. Dan bagimana aku tiada mŭnyŭmbunyikan barang apa yang bŭrfiedah pada kamu, mŭlainkan tŭlah kuunjokkan padamu, sŭrta mŭngajar kamu dalam mŭjŭlis, dan deripada sŭbuah rumah kasŭbuah rumah. Sambil mŭmbri saksi baik kapada orang Yahudi, baik kapada orang Grika, iya itu derihal bŭrtaubat pada Allah, dan bŭriman akan Tuhan kami Isa Almasih. Maka skarang pun kŭtahuilah ulih kamu, bahwa aku tŭlah diajak ulih Roh akan pŭrgi kanŭgri Jerusalem, maka tiada kukŭtahui apakah garangannya kŭsudahanku disana. Mŭlainkan adalah disaksikan ulih Roh Alkudos padaku katanya, Pada tiap tiap nŭgri bŭbrapa bŭlunggu dan kŭsukaran ada mŭnantikan aku Akan tŭtapi tiada aku pŭdulikan barang suatu jua pun deripada sagala pŭrkara ini, dan tiada pula kuindahkan nyawaku, supaya aku mŭnggŭnapi pŭrjalananku dŭngan suka chita, dan jawatan yang tŭlah kupŭrulih deripada Tuhan Isa itu akan mŭnyatakan Injil nikmat Allah itu. Maka skarang sŭsungguhnya aku tŭlah mŭnŭgtahui kamu skalian yang tŭlah kuajarkan krajaan Allah itu tiada akan dapat lagi mŭmandang mukaku. Sŭbab itu aku handak mŭnjadikan kamu skalian saksi pada hari inilah, iya itu aku tŭlah suchi deripada darah kamu skalian. Kŭrna tiada aku sŭmbunyikan deripadamu pŭngajaran sagala kahandak Allah. ¶ Maka sŭbab itu handaklah kamu skalian mŭnjaga akan dirimu sŭndiri, dan akan kawan kawan itu atas mana kamu ini pun tŭlah diangkatkan ulih Roh Alkudos akan mŭnjadi pŭmŭrentah, dan akan mŭnggombalakan sidang jŭmaah Tuhan yang tŭlah ditŭbusnya dŭngan darahnya sŭndiri. Kŭrna tŭlah kukŭtahui, bahwa kumdian deripada pŭninggalanku ini kŭlak dapat tiada akan masok bŭbrapa sŭrigala yang garang diantara kamu, yang tiada sayangkan kawan domba itu kŭlak. Maka deri antara kamu juga akan bŭrbangkit bŭbrapa orang mŭngatakan bŭbrapa pŭrkara putar balik akan mŭmbalikkan sagala murid itu mŭngikotkan dia. Sŭbab itu bŭrjagalah, sŭrta ingatlah kamu, bahwa tiga tahun lamanya pada siang dan malam, aku tiada bŭrhŭnti deripada mŭmbri nasihat pada sa’orang, sŭrta dŭngan bŭrchuchuran ayer mataku. Skarang pun hie sagala saudara, kusŭrahkanlah kamu kapada Allah, dan kapada pŭrkataan nikmatnya yang bŭrkwasa mŭnŭtapkan kamu, dan mŭmbri padamu suatu bahgian pusaka diantara sagala orang yang tŭlah disuchikannya. Shahadan tiadalah pŭrnah aku loba akan mas perak, atau pakiean orang. Bahkan, kamu sŭndiri tŭlah mŭngŭtahui, bahwa kadua tanganku ini bŭkŭrja akan mŭnchari kahidopanku, dan kahidopan orang yang sŭrta dŭngan aku. Maka aku tŭlah mŭnunjokkan pada kamu dalam sagala pŭrkara, bahwa patutlah kamu pun dŭngan bŭrlŭlah dŭmkian juga mŭnulong akan sagala orang yang lŭmah, sŭrta ingat akan pŭrkataan Tuhan Isa itu, bŭtapa iya sŭndiri tŭlah bŭrkata, Adapun mŭmbri itu lebih slamat deripada mŭnŭrima. ¶ Maka apabila sudah iya bŭrkata skalian itu, lalu bŭrtŭlotlah iya, sŭrta mŭminta doa bŭrsama sama dŭngan marika itu. Maka mŭnangislah sagala marika itu dŭngan tangis yang maha sangat; maka sagala marika itu pun mŭmŭloklah lehir Paulus, sŭrta mŭnchium akan dia. Maka duka chitalah sangat marika itu deri sŭbab pŭrkataan yang dikatakannya itu, Bahwa tiadalah lagi marika itu akan mŭmandang mukanya. Maka dihantarkan ulih marika itu naik kŭkapal.

KISAH RASUL-RASUL 20:17-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ. Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia. Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi. Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu baik di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing, sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Tuhan Yesus. Sekarang aku pergi ke Yerusalem mentaati perintah Roh Kudus sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku. Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Kudus telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku. Tetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Tuhan Yesus iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah. Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengkhabarkan kerajaan Allah. Oleh itu, pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia. Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan. Jagalah dirimu dan semua kawanan kerana kamulah yang telah diamanahkan Roh Kudus untuk menjadi penyelia bagi menggembalakan jemaah Allah yang telah ditebus-Nya dengan darah-Nya sendiri. Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini; malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik para murid untuk mengikut mereka. Oleh itu, berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku. Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang kasih kurnia Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat yang telah disucikan. Aku tidak pernah ingin memiliki emas perak atau pakaian orang. Kamu tahu bahawa kedua-dua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku. Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Tuhan Yesus, ‘Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.’ ” Setelah berkata demikian, Paulus berlutut dan berdoa-doa bersama semua yang hadir. Semuanya menangis seraya memeluk dan mencium Paulus. Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi. Kemudian mereka menghantarkannya ke kapal.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami