KISAH RASUL-RASUL 20:17-24
KISAH RASUL-RASUL 20:17-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia. Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, “Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi. Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah.
KISAH RASUL-RASUL 20:17-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Adapun disurohnyalah orang deri Militus pŭrgi kaEfesus, akan mŭnjŭmpot sagala orang tua tua sidang jŭmaah itu. Sŭtlah datanglah orang orang itu kapadanya, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Bahwa kamu tŭlah mŭngŭtahui deripada mula mula hari tŭtkala aku datang masok kanŭgri Asia ini, bagimana aku tŭlah mŭlakukan diriku bŭrsama sama dŭngan kamu slama ini. Dŭngan mŭmbuat ibadat kapada Tuhan dŭngan sangat mŭrŭndahkan hati, dŭngan banyak ayer mata, dan bŭbrapa pŭrchobaan yang tŭlah bŭrlaku ka’atasku sŭbab diadang ulih orang orang Yahudi. Dan bagimana aku tiada mŭnyŭmbunyikan barang apa yang bŭrfiedah pada kamu, mŭlainkan tŭlah kuunjokkan padamu, sŭrta mŭngajar kamu dalam mŭjŭlis, dan deripada sŭbuah rumah kasŭbuah rumah. Sambil mŭmbri saksi baik kapada orang Yahudi, baik kapada orang Grika, iya itu derihal bŭrtaubat pada Allah, dan bŭriman akan Tuhan kami Isa Almasih. Maka skarang pun kŭtahuilah ulih kamu, bahwa aku tŭlah diajak ulih Roh akan pŭrgi kanŭgri Jerusalem, maka tiada kukŭtahui apakah garangannya kŭsudahanku disana. Mŭlainkan adalah disaksikan ulih Roh Alkudos padaku katanya, Pada tiap tiap nŭgri bŭbrapa bŭlunggu dan kŭsukaran ada mŭnantikan aku Akan tŭtapi tiada aku pŭdulikan barang suatu jua pun deripada sagala pŭrkara ini, dan tiada pula kuindahkan nyawaku, supaya aku mŭnggŭnapi pŭrjalananku dŭngan suka chita, dan jawatan yang tŭlah kupŭrulih deripada Tuhan Isa itu akan mŭnyatakan Injil nikmat Allah itu.
KISAH RASUL-RASUL 20:17-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ. Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia. Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi. Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu baik di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing, sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Tuhan Yesus. Sekarang aku pergi ke Yerusalem mentaati perintah Roh Kudus sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku. Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Kudus telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku. Tetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Tuhan Yesus iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah.