KISAH RASUL-RASUL 2:36-47

KISAH RASUL-RASUL 2:36-47 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat!” Apabila orang ramai mendengar hal itu, mereka sangat gelisah. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?” Petrus menjawab, “Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Allah, iaitu Roh Allah. Allah menjanjikan hal itu untuk saudara-saudara dan keturunan saudara semua, serta untuk semua orang di tempat-tempat yang jauh - iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Tuhan Allah kita supaya datang kepada-Nya.” Demikianlah Petrus memberikan penjelasan kepada mereka. Dengan kata-kata lain, dia juga mendesak mereka supaya menyelamatkan diri daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat di negeri ini. Banyak orang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Petrus, lalu mereka dibaptis. Jumlah orang yang percaya kepada Kristus pada hari itu bertambah lagi dengan tiga ribu orang. Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh rasul-rasul itu, sehingga semua orang kagum dan takut. Semua pengikut Kristus berkumpul dengan penuh keakraban, dan mereka berkongsi milik. Mereka menjual harta milik dan membahagi-bahagikan wang itu di kalangan mereka menurut keperluan masing-masing. Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan, dan mereka makan bersama di rumah mereka dengan sukacita dan rendah hati. Mereka memuji Allah dan mereka dihormati oleh semua orang. Tiap-tiap hari Tuhan menambah bilangan mereka dengan orang yang diselamatkan oleh Allah.

KISAH RASUL-RASUL 2:36-47 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Sŭbab itu kŭtahuilah hie sagala isi rumah orang Israil, bahwa dŭngan sŭsungguhnya Allah itu tŭlah mŭnjadikan Isa yang tŭlah kamu salibkan itu, iya itu Tuhan dan Almasih. ¶ Maka apabila marika itu mŭnŭngar hal itu, bŭrdŭbarlah hatinya, lalu bŭrkatalah iya kapada Petros, dan kapada sagala rasol yang lain lain itu, Hie tuan tuan dan saudara skalian, apakah yang patut kami bŭrbuat? Maka bŭrkatalah Petros pada marika itu, Handaklah kamu taubat, dan handaklah masing masing deripada kamu dibaptisakan dŭngan nama Isa Almasih, supaya dosa kamu diampuni, maka nŭschaya kamu pun kŭlak akan dikurniakan Roh Alkudus. Kŭrna adapun pŭrjanjian itu bagie kamu, dan bagie anak anak kamu, dan bagie sagala orang yang jauh jauh pun, dan bŭbrapa pun orang yang dijŭmpot ulih Allah Tuhan kami. Maka dŭngan bŭbrapa pŭrkataan yang lain lain lagi disaksikannya, sŭrta iya mŭmbri nasihat, katanya, Lŭpaskanlah dirimu deripada bangsa yang tŭrbalek ini. ¶ Arkian maka sagala orang yang tŭlah mŭnŭrima pŭrkataannya itu dŭngan suka hatinya itu pun dibaptisakan; maka pada hari itu juga masoklah bilangan sama sama, ada kira kira tiga ribu orang banyaknya. Maka sagala orang itu pun tŭtaplah dalam pŭngajaran sagala rasol, dan pŭrsukutuan, dan mŭmakan roti, dan mŭminta doa. Maka orang orang skalian pun kŭtakotanlah, dan banyaklah pŭrkara ajaib yang diadakan ulih sagala rasol itu. Maka sagala orang yang pŭrchaya itu pun adalah bŭrhimpun bŭrsama sama, dan sagala barang barang itu pun mŭnjadi sama pŭrulihannya. Maka dijuallah marika itu akan sagala harta bŭndanya, lalu dibahgikanlah dia itu diantara sagala orang murid, masing masing pada kŭdarnya. Maka marika itu skalian pun dudoklah dalam ka’abah dŭngan suatu hati, sŭrta mŭmakan roti deripada sa’buah rumah kasa’buah rumah, dan dimakanlah ulih marika itu rŭzkinya dŭngan bŭrsuka suka, dan tulus hati. Sambil mŭmuji Allah, dan bŭrulih kasihan diantara sagala orang; maka ditambahi Allah pada sahari hari bagie sidang jŭmaah itu bŭbrapa orang yang patut bŭrulih slamat.

KISAH RASUL-RASUL 2:36-47 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Yesus, yang kamu salib itu, Tuhan dan Kristus.” Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?” Petrus pun berkata kepada mereka, “Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu dibaptiskan atas nama Yesus Kristus supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Kudus; kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Tuhan Allah kita.” Petrus bersaksi dengan banyak perkataan lain lagi, dan menyeru mereka, “Selamatkanlah dirimu daripada angkatan yang ingkar ini.” Kemudian semua orang yang menerima kata-katanya dengan rela hati dibaptiskan; pada hari itu bilangan mereka bertambah kira-kira tiga ribu orang. Mereka berpegang teguh pada pengajaran para rasul, dan pada persaudaraan, pembahagian roti dan doa. Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta tanda dilakukan melalui para rasul itu. Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka, serta menjual harta benda mereka lalu membahagikannya antara mereka menurut keperluan seseorang. Demikianlah setiap hari mereka di Bait Suci dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati, sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami