KISAH RASUL-RASUL 2:22-30
KISAH RASUL-RASUL 2:22-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudara orang Israel! Dengarlah kata-kata saya ini: Yesus orang Nasaret itu sudah diberikan tugas oleh Allah. Hal ini dinyatakan kepada saudara semua dengan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah melalui Dia. Saudara-saudara mengetahui hal itu, kerana semua peristiwa itu berlaku di kalangan saudara. Sesuai dengan rancangan-Nya sendiri, Allah sudah menentukan bahawa Yesus akan diserahkan kepada saudara-saudara. Saudara semua membunuh Dia ketika menyebabkan orang berdosa menyalibkan Dia. Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Allah membebaskan Dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin Dia dikuasai terus oleh kematian. Daud pernah berkata tentang Yesus, ‘Aku sentiasa melihat Engkau Tuhan di hadapanku; Engkau mendampingi aku, sehingga tiada apa pun dapat menyusahkan aku. Oleh itu aku bersukacita dan bergembira ketika berkata-kata; walaupun aku hanya manusia, tetapi aku tetap berharap kepada-Mu, kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur. Engkau sudah menunjukkan jalan yang menuju ke hidup sejati, dan aku bersukacita kerana Engkau menyertai aku.’ Saudara-saudara, saya harus berkata dengan jelas tentang nenek moyang kita Daud. Dia sudah meninggal dan dikuburkan, dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. Allah bersumpah bahawa Dia akan melantik salah seorang keturunan Daud menjadi raja, seperti Daud sendiri. Daud tahu akan janji Allah itu, kerana Daud pun seorang nabi.
KISAH RASUL-RASUL 2:22-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Hie sagala kamu orang Israil, dŭngarlah ulihmu akan pŭrkataanku ini, adapun Isa orang Nazareth itu, iya itu sa’orang yang dipŭrtunjuki Allah diantara kamu dŭngan bŭbrapa ajaib, dan mujizat, dan alamat, yang tŭlah diadakan Allah ulih dia antara kamu spŭrti yang kamu sŭndiri mŭngŭtahui. Iya itu yang tŭlah sudah disŭrahkan dŭngan bichara yang tŭntu, dan dŭngan pŭngŭtahuan Allah yang tŭrdahulu, maka kamu tŭlah mŭnangkap dan mŭnsalibkan akan dia dŭngan tangan yang jahat, sŭrta mŭmbunoh akan dia. Maka dilŭpaskan Allah akan dia deripada sagala kŭsakitan maut, sŭrta dihidopkannya akan dia, sŭbab maut itu mustahil dapat mŭnahankan dia. Kŭrna Daud tŭlah bŭrkata akan halnya itu, Bahwa aku tŭlah mŭlihat Tuhan pada sŭdiakala dihadapanku, kŭrna iya pada kananku, supaya jangan aku bŭrgrak. Sŭbab itulah hatiku tŭrmasalah, dan lidahku pun mŭngadakan kasukaanlah, tambahan pula tubohku pun akan diam dŭngan harapnya. Kŭrna tiada angkau akan mŭninggalkan jiwaku dalam alam bŭrzak, dan tiada angkau mŭmbiarkan orang suchi itu mŭngŭnai busok. Maka angkau tŭlah mŭnyatakan padaku jalan slamat; maka angkau akan mŭmŭnohi aku dŭngan kasukaan halratmu. Hie tuan tuan, dan sagala saudaraku, biarlah kiranya aku bŭrkata kata kapada kamu dŭngan bibasnya, akan hal nenek moyang, iya itu Daud; maka bahwa sŭsungguhnya iya tŭlah mati, dan tŭrtanam, maka kubornya pun adalah diantara kami sampie skarang ini. Adapun sŭbab iya itu nabilah, maka dikŭtahuinya, bahwa Allah tŭlah bŭrjanji dŭngan sumpah adanya, adapun deripada bŭnih sŭlbinya Allah akan mŭnŭrbitkan Almasih itu dŭngan ka’adaan manusia, iya itu akan mŭndudukki diatas takhta krajaannya.
KISAH RASUL-RASUL 2:22-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus orang Nazaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan tanda yang dilakukan Allah melalui-Nya dalam kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu. Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana. Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya. Kerana Daud telah berkata tentang-Nya: ‘Bahawa aku telah melihat Tuhan sentiasa di hadapanku. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah. Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; jasadku juga akan bersandar pada harapan. Kerana Engkau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, dan Engkau tidak akan membiarkan Orang Suci-Mu reput. Engkau telah menunjukkan jalan hidup, dan Engkau akan memenuhiku dengan kebahagiaan di hadirat-Mu.’ Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia sudah meninggal dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini. Oleh sebab dia seorang nabi dan menyedari bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mendudukkan seorang daripada benih keturunan jasadnya di atas takhtanya.