KISAH RASUL-RASUL 2:1-47

KISAH RASUL-RASUL 2:1-47 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila hari Pentakosta tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat. Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk. Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang di situ. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka. Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah. Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing. Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, “Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea! Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing? Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia, dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma, baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!” Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah maknanya semua ini?” Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, “Semua orang ini mabuk!” Lalu Petrus berdiri bersama-sama sebelas orang rasul yang lain. Dengan suara lantang dia mula berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini. Semua orang ini tidak mabuk seperti yang saudara-saudara sangka, kerana kini baru pukul sembilan pagi. Tetapi hal ini sudah diberitahukan oleh Allah melalui Nabi Yoel: Allah berfirman, ‘Inilah yang akan berlaku pada akhir zaman, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang. Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka; orang muda kamu akan melihat hal-hal yang Aku perlihatkan kepada mereka, orang tua kamu akan mendapat mimpi yang Aku berikan kepada mereka. Bahkan ke atas hamba-hamba-Ku baik lelaki mahupun perempuan, akan Aku curahkan Roh-Ku pada masa itu, dan mereka akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka. Aku akan melakukan mukjizat di atas sana, di langit, dan keajaiban di bawah sini, di bumi. Kelak akan ada darah, api, dan asap tebal; matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi merah seperti darah, sebelum Hari Tuhan, hari yang besar dan mulia itu datang. Pada masa itu, sesiapa yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.’ Saudara-saudara orang Israel! Dengarlah kata-kata saya ini: Yesus orang Nasaret itu sudah diberikan tugas oleh Allah. Hal ini dinyatakan kepada saudara semua dengan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah melalui Dia. Saudara-saudara mengetahui hal itu, kerana semua peristiwa itu berlaku di kalangan saudara. Sesuai dengan rancangan-Nya sendiri, Allah sudah menentukan bahawa Yesus akan diserahkan kepada saudara-saudara. Saudara semua membunuh Dia ketika menyebabkan orang berdosa menyalibkan Dia. Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Allah membebaskan Dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin Dia dikuasai terus oleh kematian. Daud pernah berkata tentang Yesus, ‘Aku sentiasa melihat Engkau Tuhan di hadapanku; Engkau mendampingi aku, sehingga tiada apa pun dapat menyusahkan aku. Oleh itu aku bersukacita dan bergembira ketika berkata-kata; walaupun aku hanya manusia, tetapi aku tetap berharap kepada-Mu, kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur. Engkau sudah menunjukkan jalan yang menuju ke hidup sejati, dan aku bersukacita kerana Engkau menyertai aku.’ Saudara-saudara, saya harus berkata dengan jelas tentang nenek moyang kita Daud. Dia sudah meninggal dan dikuburkan, dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. Allah bersumpah bahawa Dia akan melantik salah seorang keturunan Daud menjadi raja, seperti Daud sendiri. Daud tahu akan janji Allah itu, kerana Daud pun seorang nabi. Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah. Oleh itu Daud bernubuat tentang kebangkitan Penyelamat yang diutus oleh Allah. Daud berkata, ‘Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuh-Nya tidak akan hancur di kubur.’ Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Kami semua sudah menyaksikan hal itu. Allah mengangkat Yesus ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan Allah, dan Yesus menerima Roh Allah yang sudah dijanjikan oleh Bapa. Apa yang kamu lihat dan dengar sekarang ini adalah Roh itu yang sudah dicurahkan oleh Yesus ke atas kami. Daud sendiri tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, ‘Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat!” Apabila orang ramai mendengar hal itu, mereka sangat gelisah. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?” Petrus menjawab, “Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Allah, iaitu Roh Allah. Allah menjanjikan hal itu untuk saudara-saudara dan keturunan saudara semua, serta untuk semua orang di tempat-tempat yang jauh - iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Tuhan Allah kita supaya datang kepada-Nya.” Demikianlah Petrus memberikan penjelasan kepada mereka. Dengan kata-kata lain, dia juga mendesak mereka supaya menyelamatkan diri daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat di negeri ini. Banyak orang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Petrus, lalu mereka dibaptis. Jumlah orang yang percaya kepada Kristus pada hari itu bertambah lagi dengan tiga ribu orang. Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh rasul-rasul itu, sehingga semua orang kagum dan takut. Semua pengikut Kristus berkumpul dengan penuh keakraban, dan mereka berkongsi milik. Mereka menjual harta milik dan membahagi-bahagikan wang itu di kalangan mereka menurut keperluan masing-masing. Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan, dan mereka makan bersama di rumah mereka dengan sukacita dan rendah hati. Mereka memuji Allah dan mereka dihormati oleh semua orang. Tiap-tiap hari Tuhan menambah bilangan mereka dengan orang yang diselamatkan oleh Allah.

KISAH RASUL-RASUL 2:1-47 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA tŭtkala sampielah hari Pentikosta, maka adalah sagala marika itu bŭrkampong dalam suatu tŭmpat dŭngan satu hati. Maka sŭkunyong kunyong turonlah deri langit suatu bunyi spŭrti angin kŭras mŭndŭru, sahingga mŭmŭnohilah iya akan sagala rumah yang ditŭmpat marika itu diam. Maka tŭrtampaklah pada marika itu bŭbrapa lidah spŭrti api yang tŭrbŭlah bŭlah, maka hinggaplah iya ka’atas masing masing marika itu. Maka hati skalian marika itu pun dipŭnohilah dŭngan Roh Alkudus; maka marika itu pun mŭmulailah bŭrkata kata dŭngan bahsa lain lain, spŭrti yang dikurniakan kwasa ulih Roh itu pada marika itu bŭrkata kata. Shahadan maka adalah bŭbrapa orang Yahudi yang diam diJerusalem, iya itu orang bŭrbakti deripada sagala bangsa dibawah langit. Adapun sŭtlah kadŭngaranlah khabar itu, maka bŭrhimponlah sagala orang sŭrta dŭngan hierannya, sŭbab masing masing mŭnŭngar marika itu bŭrkata kata dŭngan bahsa bahsanya sŭndiri. Maka marika itu skalian pun hieranlah dŭngan tŭrchŭngangnya; kata sa’orang kapada sa’orang, Tengoklah, bukankah sagala orang yang bŭrkata kata itu orang Galilia? Untah bagimanakah garangan masing masing kami mŭnŭngar marika itu bŭrkata kata dŭngan bahsa nŭgri yang tŭmpat kami dipranakkan? Orang Parthi, dan Midi, dan orang Elam, dan orang yang mŭndudokki Mesopotamia, dan tanah Yahuda, dan Kappadosia, dan Pontus, dan Asia; Dan Frijia, dan Pamfilia, dan Masir, dan sagala tanah Libia yang dŭkat Sirini, dan orang orang dagang yang mŭndudokki nŭgri Rom, iya itu orang Yahudi dan orang moalaf. Orang Kriti, dan orang Arab; kami skalian mŭnŭngar marika itu bŭrkata kata dŭngan bahsa bahsa kami derihal sagala pŭrbuatan Allah yang ajaib. Maka hieranlah skaliannya sŭrta dŭngan bimbang hatinya, sambil bŭrkata sa’orang pada sa’orang, Apakah artinya ini? Ada pula orang lain yang mŭnyinder marika itu, katanya, Bahwa sagala orang ini tŭlah mabok dŭngan ayer anggor bahru. ¶ Shahadan maka bŭrdirilah Petros sŭrta dŭngan sablas orang itu mŭnyaringkan swaranya, sambil bŭrkata pada marika itu, Hie sagala orang Yahudi, dan orang orang yang dudok diJerusalem, handaklah kiranya kamu kŭtahui, dan brilah tŭlinga akan sagala pŭrkataanku ini. Bukannya kami ini mabok spŭrti yang kamu sangka, sŭbab bahru juga pukol sŭmbilan pagi. Tŭtapi inilah dia spŭrti yang dikatakan ulih nabi Joel: Maka Allah bŭfŭrmanlah akan jadi kŭlak pada hari yang tŭrkumdian, bahwa aku akan mŭnuangkan deripada Rohku ka’atas sagala manusia, maka anakmu laki laki, dan pŭrampuan kŭlak akan bŭrnabuat, dan orang muda mudamu pun akan mŭlihat bŭbrapa pŭnglihatan, dan orang tua tuamu pun akan bŭrmimpi bŭbrapa mimpi. Dan lagi ka’atas sagala hambaku laki laki dan pŭrampuan kŭlak aku akan mŭnuangkan Rohku pada masa itu, maka marika itu akan bŭrnabuat. Shahadan pula aku akan mŭnunjokkan bŭbrapa ajaib deri atas langit, dan bŭbrapa tandah diatas bumi, iya itu darah, dan api, dan wap asap. Bŭrmula matahari pun akan bŭrubah mŭnjadi gŭlap, dan bulan pun mŭnjadi darah dahulu deripada datang hari Tuhan, iya itu hari yang bŭsar dan mulia adanya. Maka dŭmkianlah kŭlak akan jadi, bahwa barang siapa yang bŭrsru kapada nama Tuhan iya itu akan tŭrplihara. Hie sagala kamu orang Israil, dŭngarlah ulihmu akan pŭrkataanku ini, adapun Isa orang Nazareth itu, iya itu sa’orang yang dipŭrtunjuki Allah diantara kamu dŭngan bŭbrapa ajaib, dan mujizat, dan alamat, yang tŭlah diadakan Allah ulih dia antara kamu spŭrti yang kamu sŭndiri mŭngŭtahui. Iya itu yang tŭlah sudah disŭrahkan dŭngan bichara yang tŭntu, dan dŭngan pŭngŭtahuan Allah yang tŭrdahulu, maka kamu tŭlah mŭnangkap dan mŭnsalibkan akan dia dŭngan tangan yang jahat, sŭrta mŭmbunoh akan dia. Maka dilŭpaskan Allah akan dia deripada sagala kŭsakitan maut, sŭrta dihidopkannya akan dia, sŭbab maut itu mustahil dapat mŭnahankan dia. Kŭrna Daud tŭlah bŭrkata akan halnya itu, Bahwa aku tŭlah mŭlihat Tuhan pada sŭdiakala dihadapanku, kŭrna iya pada kananku, supaya jangan aku bŭrgrak. Sŭbab itulah hatiku tŭrmasalah, dan lidahku pun mŭngadakan kasukaanlah, tambahan pula tubohku pun akan diam dŭngan harapnya. Kŭrna tiada angkau akan mŭninggalkan jiwaku dalam alam bŭrzak, dan tiada angkau mŭmbiarkan orang suchi itu mŭngŭnai busok. Maka angkau tŭlah mŭnyatakan padaku jalan slamat; maka angkau akan mŭmŭnohi aku dŭngan kasukaan halratmu. Hie tuan tuan, dan sagala saudaraku, biarlah kiranya aku bŭrkata kata kapada kamu dŭngan bibasnya, akan hal nenek moyang, iya itu Daud; maka bahwa sŭsungguhnya iya tŭlah mati, dan tŭrtanam, maka kubornya pun adalah diantara kami sampie skarang ini. Adapun sŭbab iya itu nabilah, maka dikŭtahuinya, bahwa Allah tŭlah bŭrjanji dŭngan sumpah adanya, adapun deripada bŭnih sŭlbinya Allah akan mŭnŭrbitkan Almasih itu dŭngan ka’adaan manusia, iya itu akan mŭndudukki diatas takhta krajaannya. Adapun sŭbab dikŭtahuinya itu tŭrdahulu, maka dikatakannya hal Almasih itu akan dihidopkan pula, bahwa jiwanya tiada ditinggalkan dalam alam bŭrzak; dan lagi tubohnya pula tiada akan mŭngŭnai busok. Maka Isa itulah yang tŭlah dihidopkan Allah pula, maka atas pŭrkara inilah kami tŭlah mŭnjadi saksi. Maka tŭgal iya tŭlah ditinggikan ulih tangan kanan Allah, dan tŭlah ditrimanya deripada Ayah akan pŭrjanjian Roh Alkudus, maka iya pula tŭlah mŭnuangkan akan dia itu spŭrti yang kamu lihat, dan kamu dŭngar pada skarang ini. Kŭrna Daud itu tiada dinaikkan kashorga, tŭtapi iya bŭrkata sŭndiri, Bahwa TUHAN sudah bŭrfŭrman kapada Tuhanku, dudoklah angkau ara kananku: Sahingga kujadikan sagala sŭtrumu itu akan alas kakimu. Sŭbab itu kŭtahuilah hie sagala isi rumah orang Israil, bahwa dŭngan sŭsungguhnya Allah itu tŭlah mŭnjadikan Isa yang tŭlah kamu salibkan itu, iya itu Tuhan dan Almasih. ¶ Maka apabila marika itu mŭnŭngar hal itu, bŭrdŭbarlah hatinya, lalu bŭrkatalah iya kapada Petros, dan kapada sagala rasol yang lain lain itu, Hie tuan tuan dan saudara skalian, apakah yang patut kami bŭrbuat? Maka bŭrkatalah Petros pada marika itu, Handaklah kamu taubat, dan handaklah masing masing deripada kamu dibaptisakan dŭngan nama Isa Almasih, supaya dosa kamu diampuni, maka nŭschaya kamu pun kŭlak akan dikurniakan Roh Alkudus. Kŭrna adapun pŭrjanjian itu bagie kamu, dan bagie anak anak kamu, dan bagie sagala orang yang jauh jauh pun, dan bŭbrapa pun orang yang dijŭmpot ulih Allah Tuhan kami. Maka dŭngan bŭbrapa pŭrkataan yang lain lain lagi disaksikannya, sŭrta iya mŭmbri nasihat, katanya, Lŭpaskanlah dirimu deripada bangsa yang tŭrbalek ini. ¶ Arkian maka sagala orang yang tŭlah mŭnŭrima pŭrkataannya itu dŭngan suka hatinya itu pun dibaptisakan; maka pada hari itu juga masoklah bilangan sama sama, ada kira kira tiga ribu orang banyaknya. Maka sagala orang itu pun tŭtaplah dalam pŭngajaran sagala rasol, dan pŭrsukutuan, dan mŭmakan roti, dan mŭminta doa. Maka orang orang skalian pun kŭtakotanlah, dan banyaklah pŭrkara ajaib yang diadakan ulih sagala rasol itu. Maka sagala orang yang pŭrchaya itu pun adalah bŭrhimpun bŭrsama sama, dan sagala barang barang itu pun mŭnjadi sama pŭrulihannya. Maka dijuallah marika itu akan sagala harta bŭndanya, lalu dibahgikanlah dia itu diantara sagala orang murid, masing masing pada kŭdarnya. Maka marika itu skalian pun dudoklah dalam ka’abah dŭngan suatu hati, sŭrta mŭmakan roti deripada sa’buah rumah kasa’buah rumah, dan dimakanlah ulih marika itu rŭzkinya dŭngan bŭrsuka suka, dan tulus hati. Sambil mŭmuji Allah, dan bŭrulih kasihan diantara sagala orang; maka ditambahi Allah pada sahari hari bagie sidang jŭmaah itu bŭbrapa orang yang patut bŭrulih slamat.

KISAH RASUL-RASUL 2:1-47 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat. Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk. Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka. Mereka semuanya dipenuhi Roh Kudus lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberikan oleh Roh itu. Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di bawah langit tinggal di Yerusalem. Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya. Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, “Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea? Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri? Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil. Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Roma, baik berbangsa Yahudi mahupun penganut agama Yahudi, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan.” Oleh itu, mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah ertinya semua ini?” Ada pula yang mengejek, “Semua orang ini mabuk air anggur manis.” Petrus berdiri bersama sebelas rasul lagi lalu berkata dengan suara yang lantang, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua penduduk di Yerusalem, ketahuilah hal ini serta dengarlah baik-baik kata-kataku. Mereka ini bukanlah mabuk seperti saudara-saudara sangka, kerana hari baru jam ketiga. Tetapi inilah yang dikatakan oleh Nabi Yo'el: ‘Bahawa akan berlaku pada akhir zaman, firman Allah, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia. Anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, Orang mudamu akan melihat penglihatan, Orang tuamu akan bermimpi. Dan ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu, lalu mereka bernubuat. Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan tanda di bumi, darah dan api serta kepulan-kepulan asap. Matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi seperti darah, sebelum tiba hari Tuhan yang besar dan mulia. Dan terlaksanalah kelak, bahawa sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.’ Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus orang Nazaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan tanda yang dilakukan Allah melalui-Nya dalam kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu. Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana. Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya. Kerana Daud telah berkata tentang-Nya: ‘Bahawa aku telah melihat Tuhan sentiasa di hadapanku. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah. Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; jasadku juga akan bersandar pada harapan. Kerana Engkau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, dan Engkau tidak akan membiarkan Orang Suci-Mu reput. Engkau telah menunjukkan jalan hidup, dan Engkau akan memenuhiku dengan kebahagiaan di hadirat-Mu.’ Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia sudah meninggal dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini. Oleh sebab dia seorang nabi dan menyedari bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mendudukkan seorang daripada benih keturunan jasadnya di atas takhtanya. Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan Kristus, bahawa roh-Nya tidak akan ditinggalkan di alam maut, dan jasad-Nya tidak akan reput. Allah telah membangkitkan Yesus ini dan kami semua menyaksikannya. Dia telah dinaikkan ke syurga ke sebelah kanan Allah, dan daripada Allah Bapa Dia telah menerima Roh Kudus yang telah dijanjikan-Nya. Lalu Dia mencurahkan Roh itu seperti yang kamu lihat dan dengar sekarang. Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia sendiri berkata demikian, ‘Tuhan berfirman kepada Tuanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Kujadikan musuh-musuh-Mu alas kaki-Mu.’ Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Yesus, yang kamu salib itu, Tuhan dan Kristus.” Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?” Petrus pun berkata kepada mereka, “Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu dibaptiskan atas nama Yesus Kristus supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Kudus; kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Tuhan Allah kita.” Petrus bersaksi dengan banyak perkataan lain lagi, dan menyeru mereka, “Selamatkanlah dirimu daripada angkatan yang ingkar ini.” Kemudian semua orang yang menerima kata-katanya dengan rela hati dibaptiskan; pada hari itu bilangan mereka bertambah kira-kira tiga ribu orang. Mereka berpegang teguh pada pengajaran para rasul, dan pada persaudaraan, pembahagian roti dan doa. Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta tanda dilakukan melalui para rasul itu. Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka, serta menjual harta benda mereka lalu membahagikannya antara mereka menurut keperluan seseorang. Demikianlah setiap hari mereka di Bait Suci dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati, sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.