KISAH RASUL-RASUL 19:11-20

KISAH RASUL-RASUL 19:11-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus. Bahkan sapu tangan dan kain yang pernah dipakai oleh Paulus pun dibawa kepada orang sakit, lalu mereka sembuh dan roh jahat keluar daripada mereka. Beberapa orang Yahudi yang pergi ke serata tempat dan mengusir roh jahat, cuba menggunakan nama Tuhan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada roh-roh jahat, “Aku mengusir kamu demi nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus.” Tujuh orang lelaki, iaitu anak-anak ketua imam Yahudi bernama Skewa berbuat demikian. Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, “Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?” Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menyerang mereka dengan ganas dan mengalahkan mereka. Dia mencederakan mereka dan mengoyak-ngoyak pakaian mereka, sehingga mereka lari dari rumahnya. Semua orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang tinggal di Efesus mendengar peristiwa itu, lalu mereka menjadi takut. Oleh itu nama Tuhan Yesus semakin dipuji-puji. Banyak orang yang sudah percaya kepada Yesus, datang ke hadapan umum untuk mengakui perbuatan jahat mereka pada masa lampau. Mereka yang biasa mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakar semua itu di hadapan orang ramai. Apabila dijumlahkan, harga semua buku itu kira-kira lima puluh ribu keping wang perak. Melalui semua peristiwa yang luar biasa itu firman Tuhan semakin tersebar luas dan semakin banyak orang percaya kepada Yesus.

KISAH RASUL-RASUL 19:11-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka diadakan Allah dŭngan tangan Paulus itu bukan barang barang ajaib. Sahingga dibawalah ulih orang kapada orang yang sakit itu disŭntohkan sapu tangan, atau ikat pinggang Paulus, maka sagala pŭnyakit itu pun tŭrbanglah, dan sagala jin yang jahat itu pun kluarlah deripada marika itu. ¶ Sŭbarmula maka bŭbrapa orang Yahudi yang bŭranyut, lagi hubatan sŭndiri mŭngambil kwasa mŭnyŭbut nama Tuhan Isa itu atas orang orang yang tŭrkŭna jin yang jahat itu, katanya, Kami mŭnyumpahi kamu dŭmi Isa yang dichŭrtrakan ulih Paulus. Maka adalah tujoh orang yang bŭrbuat dŭmkian, iya itu anak Skewa, sa’orang Yahudi pŭnghulu imam. Maka disahut ulih jin yang jahat itu katanya, Kukŭnal Isa, dan kukŭnal akan Paulus; tŭtapi angkau ini siapa? Maka orang yang tŭrkŭna ulih jin jahat itu pun mŭlompatlah atas marika itu, lalu mŭnanglah iya, marika itu pun alahlah, sahingga larilah marika itu kluar deri rumah itu dŭngan bŭrtŭlanjang dan lukanya. Maka pŭchahlah khabar itu kapada sagala orang Yahudi, dan orang Grika yang diam dalam nŭgri Efesus, maka marika itu skalian pun kŭtakotanlah, lalu dipŭrmuliakan oranglah akan nama Tuhan Isa. Maka banyaklah orang yang pŭrchaya itu datang, sambil mŭngaku dan mŭngatakan sagala pŭrbuatannya. Maka adalah banyak orang yang mŭngŭrjakan hikmat itu pun mŭmbawalah sagala kitab kitabnya bŭrtimbun timbun, dibakarnya dihadapan sagala orang; maka dikira kirakan ulih marika itu harganya adalah lima laksa kŭping perak. Dŭmkian itulah bŭrtambah tambah kwasanya pŭrkataan Tuhan tŭrlalu sangat, sŭrta dŭngan kŭmŭnangannya.