KISAH RASUL-RASUL 17:22-31

KISAH RASUL-RASUL 17:22-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, “Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa. Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, ‘Kepada Allah Yang Tidak Dikenal’. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua. Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia. Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia. Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. Allah berbuat demikian supaya mereka mencari Dia, dan mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Allah tidak jauh daripada kita masing-masing, dan kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini. Beberapa orang penyair saudara semua juga berkata, ‘Kita semua anak-Nya.’ Kerana kita anak Allah, kita tidak boleh menganggap Allah seperti patung yang dibuat daripada emas atau perak atau batu, yang direka bentuk menurut kemahiran manusia. Allah tidak mahu mengingat masa kita tidak mengenal Dia dahulu, tetapi sekarang Dia menyuruh semua orang di seluruh dunia bertaubat daripada cara hidup yang jahat. Hal itu demikian kerana Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!”

KISAH RASUL-RASUL 17:22-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Hata maka bŭrdirilah Paulus ditŭngah tŭmpat Areopagus itu sambil bŭrkata, Hie sagala orang nŭgri Athen, aku mŭlihat kamu ini sa’olah olah orang yang bŭrahi amat atas pŭrkara bukan bukan. Kŭrna apabila aku mŭlalui tŭmpat itu, dan mŭlihat sagala pŭrkara yang kamu sŭmbah itu, maka aku tŭlah bŭrtŭmu dŭngan suatu tŭmpat pŭrsŭmbahan tŭrsurat diatasnya dŭmkian: KAPADA ALLAH YANG TIADA DIKUTAHUI. Sŭbab iya itu yang kamu sŭmbah dŭngan bŭbal, aku handak mŭnyatakan padamu. Bahwa Allah yang tŭlah mŭnjadikan dunia dŭngan isinya sŭmua, tiada mŭngdiami dalam ka’abah yang dipŭrbuat ulih tangan manusia, sŭbab iya Tuhan langit dan bumi adanya. Atau iya tiada disŭmbah dŭngan pŭrbuatan tangan manusia, sŭrasa iya kŭkorangan sŭsuatu, kŭrna iya juga yang mŭngurniakan pada skalian hayat dan nafas, dan sagala pŭrkara. Maka iya tŭlah mŭnjadikan akan sagala bangsa manusia dudok diatas muka bumi ini deripada suatu darah juga adanya, sŭrta ditŭntukannya tŭrdahulu akan sagala kutika dŭngan pŭratorannya, dan sagala pŭrhinggaan kŭdudokkan masing masing. Supaya haruslah manusia ini mŭnuntot akan Tuhan, mudah mudahan bulih iya mŭraba raba akan Tuhan, dan mŭndapat akan dia, sungguh pun Tuhan tiada jauh deripada masing masing kami. Kŭrna dŭngan kwasa Tuhan juga kita hidop dan bŭrgŭrak, dan bŭrulih hayat kami; spŭrti kata sa’orang pŭngarang shayer kamu, Kŭrna kami pun deripada chawangnya juga. Maka jikalau kiranya kita ini deripada chawang Allah adanya, tiada patut kita sangka, bahwa ka’adaan Allah itu disrupakan dŭngan mas atau perak, atau batu yang tŭlah tŭrukir dŭngan akal dan hikmat manusia. Bahwa dilangkahkan Allah sagala zaman kŭbodohan itu, tŭtapi skarang iya mŭnyurohkan sagala manusia pada sagala tŭmpat akan bŭrtaubat. Kŭrna tŭlah ditŭntukannya suatu hari kŭlak iya akan mŭnghukumkan sagala isi alam ini dŭngan adilnya, ulih sa’orang yang dibrinya kwasa; maka derihal itulah dibrinya kŭtŭntuan pada sagala manusia, tŭtkala dihidopkannya akan dia itu deripada matinya.

KISAH RASUL-RASUL 17:22-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus itu lalu berkata, “Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan. Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: ‘Kepada Tuhan yang tidak diketahui.’ Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara. Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia, dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya. Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan daerah tempat mereka hidup. Masing-masing diharap mencari Allah, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita. ‘Kerana-Nya kita hidup, bergerak serta ada di dunia ini.’ Sebagaimana kata penyair bangsamu, ‘Kita ialah anak-Nya.’ Oleh sebab kita keturunan Allah, tidak patut kita sangka keilahian-Nya seperti patung yang serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia. Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat; kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.”