KISAH RASUL-RASUL 14:21-28
KISAH RASUL-RASUL 14:21-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Di Derbe, Paulus dan Barnabas mengkhabarkan Berita Baik dan banyak orang menjadi pengikut Yesus. Kemudian mereka kembali ke Listra, lalu pergi ke Ikonium dan kemudian ke Antiokhia di Pisidia. Mereka menguatkan hati pengikut-pengikut di situ dan menggalakkan mereka supaya tetap percaya kepada Yesus. Rasul-rasul itu berkata, “Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Allah.” Paulus dan Barnabas melantik pemimpin-pemimpin bagi setiap jemaah, lalu dengan berdoa dan berpuasa mereka menyerahkan jemaah kepada pemeliharaan Tuhan yang dipercayai oleh mereka. Setelah Paulus dan Barnabas menjelajah daerah Pisidia, mereka sampai ke Pamfilia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik di Perga, lalu mereka pergi ke Atalia. Dari situ mereka belayar kembali ke Antiokhia. Dahulu di kota itu mereka diserahkan kepada Allah yang akan memelihara mereka dengan penuh kasih, supaya dapat menjalankan tugas yang sekarang sudah diselesaikan. Apabila mereka tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan jemaah di situ dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. Mereka memberitahu bahawa Allah sudah membuka jalan supaya orang bukan Yahudi percaya kepada Yesus. Paulus dan Barnabas tinggal lama dengan pengikut-pengikut Yesus di situ.
KISAH RASUL-RASUL 14:21-28 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Adapun sŭtlah sudahlah marika itu mŭmashorkan Injil pada orang isi nŭgri itu, dan mŭngajar banyak orang, maka pulanglah iya kŭmbali kaListra dan Ikoniam, dan Antiok. Sambil iya mŭnŭtapkan hati sagala murid, dan mŭmbri nasihat supaya tŭgoh dalam iman, surta mŭngatakan, bahwa saharusnyalah kami masok kŭdalam krajaan Allah dŭngan mŭnanggong kŭsukaran banyak. Shahadan sŭtlah sudah iya mŭnŭntukan orang tua tua bagie marika itu pada masing masing sidang jŭmaah dŭngan mŭminta doa sŭrta puasa, maka disŭrahkannya marika itu kapada Tuhan yang dipŭrchayai ulih marika itu. Maka sŭtlah sudah marika itu mŭlalui bŭnua Pesidia, maka sampielah iya kabŭnua Pamfilia. Maka sŭtlah marika itu mŭngajar dinŭgri Perga, maka turonlah iya kanŭgri Attalia. Maka deri sanalah marika itu bŭrlayar kaAntiok, ditŭmpat yang dahulu marika itu tŭlah disŭrahkan kapada kasihan Allah, supaya mŭngŭrjakan pŭkŭrjaan yang tŭlah digŭnapkannya. Maka apabila marika itu sampielah kŭsana, sŭrta sudah dihimponkannyalah sidang jŭmaah, maka dichŭrtrakannyalah sagala pŭrkara yang tŭlah diadakan Allah dŭngan marika itu, dan bagimana hal iya tŭlah mŭmbuka pintu iman bagie orang sŭsat. Maka marika itu pun lamalah diam disana bŭrsama sama dŭngan sagala murid itu.
KISAH RASUL-RASUL 14:21-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah mengkhabarkan berita baik kepada semua penduduk dan membawa beberapa orang menjadi murid Yesus, kedua-duanya kembali ke Listra, ke Ikonium dan Antiokhia. Di sana mereka menguatkan hati para murid Yesus dan mengingatkan mereka supaya berpegang teguh pada kepercayaan mereka, katanya, “Memang tidak dapat dielakkan bahawa kita masuk ke dalam kerajaan Allah dengan menanggung banyak kesusahan.” Setelah menetapkan para tua-tua bagi setiap jemaah dan berdoa serta berpuasa, mereka menyerahkan tua-tua itu kepada Tuhan yang sudah pun dipercayai oleh mereka. Setelah melalui Pisidia, rasul-rasul itu sampai di Pamfilia. Mereka menyampaikan firman Allah di Perga, kemudian pergi ke Atalia. Dari sana mereka belayar ke Antiokhia, tempat mereka dahulunya diserahkan kepada anugerah Allah untuk tugas yang baru diselesaikan mereka. Setelah sampai di sana, mereka menghimpunkan jemaah lalu menceritakan segala yang telah dilakukan Allah melalui mereka dan bagaimana Allah telah membukakan pintu kepercayaan bagi orang bangsa asing. Mereka tinggal di situ beberapa lama bersama murid Yesus yang lain.