KISAH RASUL-RASUL 11:2-18

KISAH RASUL-RASUL 11:2-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara bersunat, mencela Petrus. Mereka berkata, “Kamu menumpang di rumah orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. Bahkan kamu makan bersama-sama mereka!” Oleh itu Petrus memberikan laporan lengkap tentang apa yang sudah berlaku. Dia melaporkan hal itu mulai dari permulaan, “Aku sedang berdoa di kota Yope, lalu melihat suatu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain lebar diturunkan dari langit, tergantung pada keempat-empat sudutnya, lalu berhenti di sisiku. Semasa aku memperhatikan bahagian dalamnya, aku nampak binatang berkaki empat, binatang liar, binatang menjalar, dan burung-burung liar. Lalu aku mendengar suara berkata kepadaku, ‘Bangunlah Petrus! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!’ Tetapi aku menjawab, ‘Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.’ Suara itu berkata lagi dari langit, ‘Janganlah anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah!’ Peristiwa itu berulang tiga kali dan akhirnya semuanya terangkat kembali ke langit. Pada saat itu juga, tiga orang dari Kaisarea yang diutus kepadaku, tiba di rumah tempat aku menginap. Roh Allah menyuruh aku mengikut mereka dengan tidak ragu-ragu. Enam orang saudara seiman dari Yope, menyertai aku ke Kaisarea, dan kami semua masuk ke rumah Kornelius. Kornelius memberitahu kami bahawa dia melihat satu malaikat berdiri di rumahnya dan berkata, ‘Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang lelaki bernama Simon Petrus. Dia akan menyampaikan berita yang boleh menyelamatkan engkau dan keluargamu.’ Apabila aku mula bercakap, Roh Allah datang kepada mereka, seperti yang berlaku kepada kita pada mulanya. Kemudian aku teringat bahawa Tuhan pernah berkata, ‘Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.’ Nyatalah bahawa Allah mengurniai orang bukan Yahudi itu, pemberian yang seperti kita terima pada masa kita percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku ini sehingga cuba menghalang Allah?” Apabila mereka mendengar hal itu, mereka tidak mencela Petrus lagi. Lalu mereka memuji Allah dan berkata, “Jika demikian, Allah juga memberikan peluang kepada orang bukan Yahudi untuk bertaubat dan beroleh hidup sejati!”

KISAH RASUL-RASUL 11:2-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka apabila Petros itu tŭlah sampie kaJerusalem, lalu bŭrbantah bantahlah sagala orang yang tŭlah bŭrsunat itu kapadanya; Katanya, Bahwa angkau tŭlah masok kŭdalam rumah orang kulop, sŭrta makan bŭrsama sama dŭngan dia. Maka Petros mŭnchŭtrakanlah sagala hal ahwalnya deripada pŭrmulaannya, sŭrta mŭnyatakan dia bŭrturot turot pada marika itu, katanya, Bahwa skali pŭrstua aku dinŭgri Jopa tŭngah mŭminta doa, maka aku mŭlihat dalam pengsanku suatu pŭnglihatan, iya itu suatu bŭnda spŭrti suatu slimut yang bŭsar turon tŭrhulor deri dalam langit tŭrpanjut pada ampat punchanya; maka datanglah iya dŭkat padaku. Maka apabila aku rŭnung akan dia, bŭrfikirlah aku sambil mŭlihat bŭbrapa binatang dibumi yang bŭrkaki ampat, dan binatang liar, dan yang mŭlata, dan burong yang diudara. Maka tiba tiba aku mŭnŭngar suatu swara bŭrkata padaku, Bangunlah hie Petros, sŭmblehlah sŭrta makan. Tŭtapi kataku, Bukannya dŭmkian ya Tuhan, kŭrna bŭlom pŭrnah barang yang haram atau nŭjis masok kŭdalam mulotku. Maka disahut ulih swara deri langit itu pula, katanya, Barang yang dihalalkan Allah, janganlah angkau sŭbotkan dia haram. Maka dŭmkianlah halnya tiga kali, maka skaliannya itu pun tŭrangkatlah kŭmbali kŭlangit. Maka hieran dŭngan sŭgranya juga datanglah tiga orang kŭrumah ditŭmpat aku mŭnumpang itu, adapun marika itu surohan deri nŭgri Kesaria kapadaku. Maka disurohkan ulih Roh padaku pŭrgi sŭrta marika itu, katanya, Janganlah shak. Hata maka diiringkan pula kapadaku ulih anam orang saudara ini, maka masoklah kami kŭdalam rumah orang itu. Maka ulih orang inipun dichŭtrakan kapada kami akan ahwal iya tŭlah mŭlihat sa’orang mŭliekat dalam rumahnya bŭrdiri, sŭrta bŭrkata padanya, Surohkanlah ulihmu orang pŭrgi kaJopa mŭnjŭmpot akan Simon yang bŭrgŭlar Petros itu. Maka iyalah kŭlak akan mŭngajar kamu bŭbrapa pŭrkataan, maka deri sŭbab itulah angkau sŭrta sagala isi rumahmu pun akan slamat. Arkian maka apabila aku mŭmulai bŭrkata kata, maka turonlah Roh Alkudos ka’atas marika itu spŭrti yang diatas kami pada mulanya. Maka pada masa itu tŭringatlah aku akan pŭrkataan Tuhan, bagimana iya tŭlah bŭrkata, Sungguh pun Yahya tŭlah mŭmbaptisakan orang dŭngan ayer, tŭtapi kamu akan dibaptisakan dŭngan Roh Alkudos. Adapun jikalau dŭmkianlah kiranya dikurniakan Allah anugrah sama pada marika itu spŭrti yang dikurniakannya pada kita yang pŭrchaya akan Tuhan Isa Almasih, siapakah aku yang bulih mŭlawan Allah? Maka apabila didŭngar ulih marika itu akan hal yang dŭmkian, maka iya pun mŭmatikan dirinya, sŭrta mŭmuliakan Allah, katanya Dŭmkianlah juga halnya tŭlah didatangkan Allah taubat bagie orang sŭsat akan mŭndapat slamat kŭkal.

KISAH RASUL-RASUL 11:2-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya. Mereka berkata, “Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!” Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu: “Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku. Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung di langit. Aku mendengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’ Aku berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’ Suara dari syurga berkata pula kepadaku, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’ Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit. Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang. Roh Kudus menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah orang itu. Kemudian orang itu bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, ‘Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.’ Apabila aku mula bercakap, Roh Kudus memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu. Ketika itu aku teringat kata-kata Tuhan: ‘Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus.’ Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?” Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, “Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada bangsa-bangsa asing juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.”