KISAH RASUL-RASUL 1:12-26

KISAH RASUL-RASUL 1:12-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar. Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot dan Yudas anak Yakobus. Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus. Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. Dia berkata, “Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.” ( Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, yang bererti “Tanah Darah.”) Petrus berkata lagi, “Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis, ‘Biarlah rumahnya menjadi kosong, janganlah tempat itu didiami orang.’ Ada tertulis juga, ‘Hendaklah orang lain mengambil alih tugasnya.’ Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orang sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.” Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. Lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.” Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain.

KISAH RASUL-RASUL 1:12-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Shahadan sŭtlah itu maka pulanglah marika itu kaJerusalem deripada bukit yang bŭrnama Zieton itu; adapun jauhnya deri Jerusalem itu, iya itu sŭjauh pŭrjalanan pada hari sabtu. Maka sŭrta sudah marika itu skalian masok, maka naiklah iya kŭdalam suatu bilek diloteng, tŭmpat kŭdiaman Petros, dan Yakob, dan Yahya, dan Andria, Filipus, dan Thomas Bartholomew, dan Mathias, Yakob bin Alfius, dan Simon Zelotus, dan Yudas saudara Yakob itu. Maka sagala marika itu adalah bŭrsama sama dŭngan satu hati, sŭrta mŭmohonkan dŭngan doa, bŭsŭrta dŭngan sagala pŭrampuan, dan Mŭriam ibu Isa itu, sŭrta dŭngan adek kakak Isa. ¶ Bŭrmula maka pada masa itu bŭrdirilah Petros diantara sagala murid itu, adapun sagala orang yang mŭngadap itu adalah kira kira sa’ratus dua puloh orang banyaknya. Katanya, Hie sagala tuan tuan dan saudara skalian, bahwa saharusnyalah akan digŭnapi pŭrkataan kitab yang tŭlah dahulu dikatakan Roh Alkudus, iya itu dŭngan mulot Daud, derihal Yudas yang tŭlah jadi pŭnganjor sagala orang yang mŭnangkap Isa. Kŭrna adalah iya itu sama taranya dŭngan kami, dan iya pun tŭlah bŭrulih bahgian jawatan ini. Adapun orang itu tŭlah mŭmbli suatu padang dŭngan upah kŭsalahannya itu, maka jatohlah iya tŭrjŭrumus, lalu pŭchahlah protnya, tŭrburielah sagala isi protnya itu. Maka dikŭtahuilah ulih sagala orang yang diam dinŭgri Jerusalem akan hal itu, sahingga padang itu disŭbutkan orang dŭngan bahsanya, Akeldama, iya itu Padang darah. Kŭrna tŭlah tŭrsurat dalam kitab Zabor, dŭmkian: Bahwa biarlah tŭmpat kŭdiamannya mŭnjadi sunyi, maka jangan orang dudok dalamnya itu, maka biarlah orang lain mŭngambil jawatannya itu. Maka sŭbab itu deri antara sagala orang yang tŭlah bŭrsama sama dŭngan kami ini pada sŭdiakala, kutika Tuhan Isa itu bŭrspŭgi dŭngan kami. Iya itu mulanya deripada baptisan Yahya hingga sampie kapada masa tŭtkala iya diangkatkan deripada kami, haruslah sa’orang akan ditŭntukan mŭnjadi saksi bŭrsama sama dŭngan kami, akan hal Isa itu tŭlah dihidopkan pula. Maka ditŭntukan ulih marika itu dua orang, iya itu Yusof tŭrsŭbut Bŭrsabas, yang bŭrgŭlar Jastus, dan lagi Mathias. Maka marika itu pun mŭmintalah doa, katanya, Ya Tuhan, bahwa angkaulah yang mŭngŭtahui akan hati sagala orang; tunjokkanlah kiranya diantara salah sa’orang dalam kadua orang ini yang angkau tŭlah mŭmileh: Supaya ditrimanya bahgian jawatan dan pangkat rasol, maka deripada inilah Yudas tŭlah tŭrchŭbor sŭbab dŭrhaka, supaya iya masok kŭdalam tŭmpatnya sŭndiri. Maka dibuanglah ulih marika itu undi, maka kŭnalah Mathias, maka iya pun dibilangkanlah masok jŭmŭlah bŭrsama sama dŭngan sa’blas rasol itu.

KISAH RASUL-RASUL 1:12-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, para rasul pun kembali ke Yerusalem dari bukit bernama Zaitun yang dekat dengan kota itu, jaraknya perjalanan sehari Sabat. Setibanya mereka di Yerusalem, mereka naik ke bilik atas tempat mereka menumpang. Mereka ialah Petrus, Yohanes, Yakobus, Andreas; Filipus dan Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus anak Alfeus, dan Simon, orang Patriot; serta Yudas anak Yakobus. Mereka semuanya dengan sehati terus-menerus berdoa, bersama orang perempuan dan Maria ibu Yesus, serta saudara-saudara-Nya. Pada masa itu Petrus berdiri dalam kalangan murid Yesus (kesemuanya yang berhimpun kira-kira seratus dua puluh orang) lalu berkata, “Saudara-saudara, pastilah terlaksana Kitab Suci yang dahulu disampaikan oleh Roh Kudus melalui lidah Daud tentang Yudas, yang menjadi panduan kepada orang yang menangkap Yesus. Dia telah dianggap sebahagian daripada kita dan diberi jawatan dalam pekerjaan kita ini.” (Dia memperoleh sekeping tanah dengan upah durjananya; dia jatuh terjerumus, bahagian pertengahan tubuhnya pecah dan segala isi perutnya terburai. Seluruh penduduk Yerusalem mendapat tahu hal itu lalu menamakan tanah itu Hakal Dama dalam bahasa mereka, iaitu Tanah Darah.) “Sudah tersurat dalam kitab Mazmur, ‘Biarlah tempat kediamannya menjadi sepi; Dan jangan sesiapa pun tinggal di situ,’ dan, ‘Biarlah orang lain mengambil jawatannya.’ Oleh itu, antara orang yang telah berserta dengan kita sepanjang masa Tuhan Yesus, keluar masuk bersama kita, dari masa Yesus dibaptiskan oleh Yohanes sampailah ke hari Dia diangkat naik daripada kalangan kita, seorang daripada mereka haruslah menjadi saksi di samping kita tentang kebangkitan-Nya.” Mereka mencadangkan dua orang: Yusuf yang juga dipanggil Barsabas (juga dikenali sebagai Yustus), dan Matias. Mereka pun berdoa, “Ya Tuhan yang mengetahui hati sekalian manusia, tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini Engkau pilih untuk memegang jawatan ini serta menjalankan kerja kerasulan bagi menggantikan Yudas; sebabnya Yudas telah meninggalkan jawatan dan pekerjaan ini untuk pergi ke tempat yang wajar baginya.” Mereka membuang undi lalu terkena kepada Matias. Dia pun diambil menyertai sebelas rasul itu.