KISAH RASUL-RASUL 1:1-8
KISAH RASUL-RASUL 1:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah. Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, “Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.” Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?” Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.”
KISAH RASUL-RASUL 1:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
ADAPUN hikayat yang pŭrtama itu tŭlah kukarangkan hie Theofilus, derihal sagala sŭsuatu yang dipŭrbuat dan diajar ulih Isa. Maka sampielah pada hari tŭtkala iya dinaikkan, kumdian deripada itu iya bŭrpŭsan dŭngan tulong Roh Alkudus pada sagala rasol yang dipilehnya: Maka dŭngan bŭbrapa saksi yang ta’dapat dibohongkan pun, iya mŭnunjokkan dirinya hidop pada marika itu kumdian deripada sŭngsaranya, sŭbab sudah dilihat ulih marika itu akan dia ampat puloh hari lamanya, dan iya pun ada bŭrkata kata pada marika itu sagala prihal krajaan Allah. Maka tŭngah iya bŭrhimpun sŭrta dŭngan marika itu, maka dipŭsannya, bahwa janganlah marika itu mŭninggalkan Jerusalem, mŭlainkan nantikanlah pŭrjanjian Ayah yang tŭlah kamu mŭnŭngar deripadaku itu. Kŭrna sungguh pun Yahya tŭlah mŭmbaptisakan dŭngan ayer, tŭtapi kamu ini akan dibaptisakan pula dŭngan Roh Alkudus kŭlak tiada brapa hari kumdian. Hata maka apabila marika itu tŭlah bŭrhimpun, bŭrtanyalah iya katanya, Tuhan, angkaukah skarang handak mŭmulangkan kŭmbali krajaan kapada orang Israil? Maka jawabnya pada marika itu, Bukannya patut kamu mŭngŭtahui sagala waktu, atau kutika yang tŭlah tŭrsi mpan ulih Ayah dŭngan kwasanya sŭndiri Tŭtapi apabila datang kŭlak Roh Alkudus itu kapadamu, bahrulah kamu mŭnŭrima kwasa, maka kamu akan mŭnjadi saksiku, baik diJerusalem, baik dalam sluroh tanah Yahuda, dan Samaria, sampie kahujong bumi.
KISAH RASUL-RASUL 1:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kepada Teofilus, dahulu dalam kitabku yang pertama aku telah menceritakan segala yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, dari awal pelayanan-Nya hingga ke hari Dia diangkat ke syurga. Sebelumnya, Dia telah memberikan perintah melalui Roh Kudus kepada para rasul yang telah dipilih-Nya. Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih. Mereka melihat-Nya selama empat puluh hari, dan Dia bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan Allah. Pada suatu hari ketika Yesus bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Yerusalem. Kata-Nya, “Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku; kerana Yohanes telah membaptis orang dengan air, tetapi kamu akan dibaptiskan dengan Roh Kudus tidak berapa lama lagi.” Oleh itu, ketika mereka berhimpun, mereka pun bertanya kepada Yesus, “Ya Tuhan, pada masa inikah Tuhan mengembalikan kerajaan ini kepada bangsa Israel?” Dia berkata kepada mereka, “Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri. Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Kudus datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.”