3 YOHANES 1:1-8
3 YOHANES 1:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Gayus, sahabat yang aku kasihi! Aku, pemimpin jemaah yang sangat mengasihimu, berdoa semoga semuanya baik dengan kamu, dan semoga kamu sihat, seperti jiwamu pun sihat. Aku sangat bersukacita ketika beberapa orang saudara Kristian tiba dan memberitahu aku betapa setianya kamu kepada Allah yang benar. Kamu memang sentiasa hidup menurut ajaran Allah. Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Allah. Sahabat yang aku kasihi! Kamu sungguh setia dalam kerja yang kamu lakukan untuk saudara-saudara Kristian, bahkan untuk orang Kristian yang belum kamu kenal. Mereka memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu. Tolonglah mereka supaya dapat meneruskan perjalanan dengan cara yang menyenangkan hati Allah. Kamu harus berbuat demikian kerana dalam tugas untuk memberitakan Kristus, mereka berangkat tanpa menerima bantuan apa-apa pun daripada orang yang tidak mengenal Allah. Oleh itu, kita orang Kristian, mesti menolong orang seperti itu, supaya kita dapat menjadi rakan sekerja dalam usaha mereka untuk memberitakan ajaran Allah.
3 YOHANES 1:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
IYA itu deripada orang tua datang kapada Gaius yang kukasih dŭngan sŭbŭnarnya. Kŭkasih, maka kukahandaki tŭrutama deripada sagala pŭrkara supaya angkau sŭntausa sŭrta sihat, spŭrti jiwamu itu sŭntausa adanya. Kŭrna tŭrsangatlah gŭmar aku, apabila sagala saudara itu datang dŭngan mŭnyatakan deri hal kabŭnaran yang ada padamu, spŭrti angkau tŭlah mŭlakukan dalam kabŭnaran itu. Maka tiadalah tŭrlebih bŭsar kasukaanku deripada mŭnŭngar, bahwa anak anakku mŭlakukan dalam kabŭnaran. Kŭkasih, bahwa angkau tŭlah bŭrbuat dŭngan sŭtiawan barang pŭrkara yang angkau bŭrbuat kapada sagala saudara, dan kapada sagala orang orang dagang. Yang tŭlah mŭnjadi saksi deri hal dŭrmawanmu dihadapan sidang jŭmaah: maka jikalau kiranya angkau mŭmbawa marika itu pada pŭrjalanannya kŭrna Allah, kamu mŭmbuat baik: Ulih sŭbab nama Allah marika itu tŭlah kluar, dŭngan tiada mŭnŭrima barang suatu pun deripada orang orang sŭsat. Maka sŭbab itu patutlah kami pun mŭnŭrima akan orang orang yang dŭmkian, supaya kami mŭnjadi kawan pŭnulong dalam kabŭnaran itu.
3 YOHANES 1:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daripadaku, seorang tua-tua, Kepada Gayus, sahabat yang dikasihi, yang kukasihi dalam kebenaran. Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia. Aku sungguh bersukacita apabila beberapa orang saudara seiman datang berkunjung dan memberikan kesaksian tentang kesetiaanmu kepada kebenaran, kerana memang kamu hidup dalam kebenaran. Tiada yang lebih membahagiakanku daripada berita bahawa anak-anakku hidup mengikut kebenaran. Sahabat yang kukasihi, kamu sungguh setia dalam usahamu untuk saudara-saudara seiman, termasuklah yang belum kamu kenali. Mereka telah memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu terhadap mereka. Baik juga perbuatanmu jika engkau dapat membantu mereka dalam perjalanan mereka dengan cara yang berkenan kepada Allah. Mereka berangkat demi nama Tuhan tanpa menerima sebarang bantuan daripada orang yang belum mengenal Allah. Oleh itu, kita mestilah membantu orang seperti ini. Dengan demikian kita menjadi rakan sekerja dalam usaha menyebarkan kebenaran.