2 TIMOTIUS 4:1-8
2 TIMOTIUS 4:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Kristus Yesus akan datang lagi untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati. Dia akan datang untuk memerintah sebagai Raja. Oleh itu, di hadapan Allah dan Kristus Yesus, dengan sepenuh hati aku menggesa engkau supaya mengkhabarkan berita daripada Allah dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya, baik masanya tepat atau tidak. Hendaklah engkau meyakinkan orang, menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ajarlah orang dengan segala kesabaran. Akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar oleh mereka. Mereka akan menutup telinga terhadap apa yang benar, tetapi menumpukan perhatian kepada cerita dongeng. Dalam keadaan apa pun, engkau mesti tahu mengawal diri. Tabahlah dalam penderitaan, laksanakan tugas mengisytiharkan Berita Baik, dan jalankanlah kewajipanmu sebagai hamba Allah dengan sebaik-baiknya. Tentang diriku, sudah tiba masanya aku akan mati sebagai korban kepada Allah. Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini. Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir. Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya. Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, tetapi juga semua orang yang menantikan kedatangan-Nya dengan penuh kerinduan.
2 TIMOTIUS 4:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA sŭbab itu aku amanatkanlah dihadapan Allah, dan Tuhan Isa Almasih, yang mŭnjadi hakim kŭlak kapada orang yang hidop dan yang mati itu pada masa kadatangannya, dan krajaannya kŭlak; Ajarkanlah pŭrkataan Allah itu; biarlah slalu baik pada masa sŭnang, baik pada masa yang sukar; tŭmplakkanlah, dan tŭgorkanlah, dan nasihatkanlah, dŭngan panjang hati dan pŭngajaran. Kŭrna waktu akan datang kŭlak, marika itu tiada mahu mŭnŭrima pŭngajaran yang baik itu; mŭlainkan mŭnurot akan sagala kainginnan nafsunya, sŭrta mŭnghimponkan bŭbrapa guru guru yang ada bŭrtŭlinga gatal. Maka marika itu kŭlak akan mŭmalingkan tŭlinganya deripada yang bŭnar, dan mŭmbalikkan kapada chŭrtra chŭrtra yang bukan bukan. Tapi handaklah angkau jaga dalam sagala pŭrkara, tahanlah annyaya, pŭrbuatlah pŭkŭrjaan guru Injil, dan saksikanlah baik baik akan jawatanmu itu. Kŭrna aku ada sŭdia skarang akan dikorbankan, dan hari pulangku tŭlah hampir. Bahwa aku tŭlah bŭrprang dŭngan pŭprangan yang baik, dan aku tŭlah mŭnghabiskan lumbaanku, dan aku tŭlak mŭnaroh iman. Maka pada akhirnya kŭlak mahakota kabŭnaran itu ada tŭrsimpan bagieku, iya itu akan dikurniakan bagieku ulih Tuhan, hakim yang adil itu, pada hari itu: tapi bukannya padaku sa’orang sahja, mŭlainkan kapada sagala orang yang mŭngasihi akan hari kadatangannya itu
2 TIMOTIUS 4:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di hadirat Allah dan Kristus Yesus yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu: Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran, kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka. Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng. Tetapi kamu, berwaspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna. Tentang diriku, kini aku laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan kepada Allah, dan sudah hampir masanya aku pergi menghadap-Nya. Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman. Sekarang mahkota perbenaran telah disediakan untukku. Tuhan, Hakim yang adil itu, akan mengurniakannya kepadaku pada Hari itu, bukan kepadaku sahaja, tetapi kepada semua orang yang merindu kedatangan-Nya.