2 TIMOTIUS 1:1-8,13-14
2 TIMOTIUS 1:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah, dan yang diutus untuk mengisytiharkan hidup yang dijanjikan oleh Allah. Hidup itu kita terima kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Aku menulis surat ini untuk Timotius, anakku yang aku kasihi. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Aku bersyukur kepada Allah yang aku sembah dengan hati nurani yang murni, seperti yang dilakukan nenek moyangku dahulu. Semasa berdoa, aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan engkau, baik siang mahupun malam. Aku ingat akan tangisanmu dan aku ingin sekali berjumpa dengan engkau supaya aku benar-benar gembira. Aku teringat akan imanmu yang sungguh-sungguh itu, seperti iman nenekmu Lois dan ibumu Eunike. Aku yakin bahawa engkau pun memiliki iman itu. Itulah sebabnya aku mengingatkan engkau supaya sentiasa menggunakan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada waktu aku meletakkan tanganku pada kepalamu. Roh yang diberikan oleh Allah kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh Allah melengkapi kita dengan kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri. Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuhan kita dan juga janganlah malu akan aku, yang dipenjarakan kerana Kristus. Sebaliknya, hendaklah engkau dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, turut menderita untuk Berita Baik itu.
2 TIMOTIUS 1:13-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Ikutilah ajaran benar yang telah aku ajarkan kepadamu. Hendaklah engkau tetap berpegang kepada iman dan kasih yang menjadi milik kita kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Dengan kuasa Roh Allah yang hidup di dalam kita, jagalah Berita Baik yang telah dipercayakan kepadamu, seperti engkau menjaga harta yang berharga.
2 TIMOTIUS 1:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BAHWA Paulus, sa’orang rasul Isa Almasih dŭngan kahandak Allah, iya itu mŭnurot pŭrjanjian slamat yang ada dalam Isa Almasih, Kapada Timothius anak yang kŭkasih: maka biarlah kiranya anugrah, dan rahmat, dan sŭjahtra padamu, deripada Allah iya itu Ayah, dan Isa Almasih Tuhan kami. Bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapada Allah, yang aku bŭrbakti deripada nenek moyangku sŭrta dŭngan angan angan yang suchi, maka tŭringat ingatlah juga aku akan dikau dŭngan tiada bŭrkaputusan didalam sagala doaku baik malam baik siang. Sŭrta dŭngan rindu dŭndam handak bŭrtŭmu dŭngan dikau, sŭbab tŭrkŭnang kŭnang akan ayer matamu, supaya kŭlak aku dipŭnohkan dŭngan kasukaan. Apabila aku tŭringat akan iman yang bukan pura pura, yang ada dalammu itu, mula mula dalam nenekmu pŭrampuan Lois itu, dan ibumu Eunike itu, maka yakinlah aku bahwa dŭmkian itulah juga ada kapadamu. Maka sŭbab itulah aku mŭngingatkan dikau, supaya mŭnggalakkan anugrah Allah yang ada dalam hatimu itu, sŭbab aku tŭlah mŭmbuboh tanganku ka’atasmu itu. Kŭrna tiada dibri Allah pada kami Roh yang katakotan; mŭlainkan bŭrkwasa, dan kasih, dan akal yang tŭgoh. Maka sŭbab itu janganlah kiranya angkau malu bŭrsaksi deri hal Tuhan kami, atau derihalku, orang yang tŭrpŭnjara kŭrna Tuhan: tŭtapi handaklah angkau mŭnjadi orang mŭnanggong kasusahan Injil itu mŭnurot kwasa Allah.
2 Timothius 1:13-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Pŭganglah tŭtap tŭtap akan tauladan pŭrkataan pŭrkataan yang baik itu, yang tŭlah angkau dŭngar deripadaku itu, sŭrta dŭngan iman dan kasih pada Isa Almasih. Adapun pŭrkara yang baik itu yang tŭlah disŭrahkan kapadamu, simpanlah akan dia dŭngan kwasa Roh Alkudos yang ada dalam kami.
2 TIMOTIUS 1:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup dalam Kristus Yesus, Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus, Tuhan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera. Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam. Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia. Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga. Oleh itu, aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu. Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib. Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah.