2 TIMOTIUS 1:1-14
2 TIMOTIUS 1:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah, dan yang diutus untuk mengisytiharkan hidup yang dijanjikan oleh Allah. Hidup itu kita terima kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Aku menulis surat ini untuk Timotius, anakku yang aku kasihi. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Aku bersyukur kepada Allah yang aku sembah dengan hati nurani yang murni, seperti yang dilakukan nenek moyangku dahulu. Semasa berdoa, aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan engkau, baik siang mahupun malam. Aku ingat akan tangisanmu dan aku ingin sekali berjumpa dengan engkau supaya aku benar-benar gembira. Aku teringat akan imanmu yang sungguh-sungguh itu, seperti iman nenekmu Lois dan ibumu Eunike. Aku yakin bahawa engkau pun memiliki iman itu. Itulah sebabnya aku mengingatkan engkau supaya sentiasa menggunakan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada waktu aku meletakkan tanganku pada kepalamu. Roh yang diberikan oleh Allah kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh Allah melengkapi kita dengan kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri. Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuhan kita dan juga janganlah malu akan aku, yang dipenjarakan kerana Kristus. Sebaliknya, hendaklah engkau dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, turut menderita untuk Berita Baik itu. Allah menyelamatkan dan memanggil kita menjadi umat-Nya sendiri, bukan kerana apa yang sudah kita lakukan, tetapi kerana tujuan-Nya dan rahmat-Nya sendiri. Dia memberikan kita rahmat-Nya melalui Kristus Yesus sebelum dunia ini diciptakan. Tetapi sekarang rahmat-Nya telah dinyatakan kepada kita dengan kedatangan Penyelamat kita, Kristus Yesus. Yesus sudah mengalahkan kuasa kematian dan membawa hidup yang kekal melalui Berita Baik itu. Allah sudah melantik aku menjadi rasul dan guru untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Itulah sebabnya aku menderita semua ini. Tetapi aku tetap yakin, kerana aku mengenal siapa yang aku percayai. Aku yakin bahawa Dia berkuasa menjaga apa yang telah dipercayakan-Nya kepadaku sehingga Hari Kiamat. Ikutilah ajaran benar yang telah aku ajarkan kepadamu. Hendaklah engkau tetap berpegang kepada iman dan kasih yang menjadi milik kita kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Dengan kuasa Roh Allah yang hidup di dalam kita, jagalah Berita Baik yang telah dipercayakan kepadamu, seperti engkau menjaga harta yang berharga.
2 TIMOTIUS 1:1-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BAHWA Paulus, sa’orang rasul Isa Almasih dŭngan kahandak Allah, iya itu mŭnurot pŭrjanjian slamat yang ada dalam Isa Almasih, Kapada Timothius anak yang kŭkasih: maka biarlah kiranya anugrah, dan rahmat, dan sŭjahtra padamu, deripada Allah iya itu Ayah, dan Isa Almasih Tuhan kami. Bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapada Allah, yang aku bŭrbakti deripada nenek moyangku sŭrta dŭngan angan angan yang suchi, maka tŭringat ingatlah juga aku akan dikau dŭngan tiada bŭrkaputusan didalam sagala doaku baik malam baik siang. Sŭrta dŭngan rindu dŭndam handak bŭrtŭmu dŭngan dikau, sŭbab tŭrkŭnang kŭnang akan ayer matamu, supaya kŭlak aku dipŭnohkan dŭngan kasukaan. Apabila aku tŭringat akan iman yang bukan pura pura, yang ada dalammu itu, mula mula dalam nenekmu pŭrampuan Lois itu, dan ibumu Eunike itu, maka yakinlah aku bahwa dŭmkian itulah juga ada kapadamu. Maka sŭbab itulah aku mŭngingatkan dikau, supaya mŭnggalakkan anugrah Allah yang ada dalam hatimu itu, sŭbab aku tŭlah mŭmbuboh tanganku ka’atasmu itu. Kŭrna tiada dibri Allah pada kami Roh yang katakotan; mŭlainkan bŭrkwasa, dan kasih, dan akal yang tŭgoh. Maka sŭbab itu janganlah kiranya angkau malu bŭrsaksi deri hal Tuhan kami, atau derihalku, orang yang tŭrpŭnjara kŭrna Tuhan: tŭtapi handaklah angkau mŭnjadi orang mŭnanggong kasusahan Injil itu mŭnurot kwasa Allah. Yang tŭlah mŭmbri slamat, dan mŭnjŭmpot kami dŭngan jŭmpotan yang suchi, bukannya deri sŭbab amal kami, mŭlainkan mŭnurot kahandak dan anugrahnya sŭndiri, yang tŭlah dikurniakannya kapada kami dŭngan bŭrkat Isa Almasih, iya itu dahulu deripada pŭrmulaan dunia. Tatapi pada skarang ini tŭlah dinyatakannya sŭbab kadatangan Isa Almasih, pŭnulong kami yang tŭlah mŭnghapuskan maut, dan yang tŭlah mŭmbawa akan hidop, dan kŭkal kapada trang dŭngan bŭrkat Injil: Maka deri sŭbab itulah aku ini tŭlah dijadikan utusan, dan sa’orang rasul, dan guru orang orang sŭsat. Kŭrna sŭbab yang dŭmkianlah akupun mŭrasai pŭrkara pŭrkara ini: kŭndatilah, tiada aku malu: kŭrna kukŭtahui kapada siapa yang aku tŭlah pŭrchaya, sŭrta yakinlah aku Tuhan chakap mŭnyimpan itu, yang tŭlah kusŭrahkan kapadanya sŭbab hati itu. Pŭganglah tŭtap tŭtap akan tauladan pŭrkataan pŭrkataan yang baik itu, yang tŭlah angkau dŭngar deripadaku itu, sŭrta dŭngan iman dan kasih pada Isa Almasih. Adapun pŭrkara yang baik itu yang tŭlah disŭrahkan kapadamu, simpanlah akan dia dŭngan kwasa Roh Alkudos yang ada dalam kami.
2 TIMOTIUS 1:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup dalam Kristus Yesus, Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus, Tuhan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera. Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam. Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia. Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga. Oleh itu, aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu. Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib. Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah. Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Kristus Yesus sebelum permulaan zaman. Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Kristus Yesus, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil. Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru. Oleh itu, aku menanggung segala penderitaan ini. Namun demikian, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu. Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus. Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Kudus yang berada dalam diri kita.