2 SAMUEL 9:3-13

2 SAMUEL 9:3-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja bertanya lagi kepadanya, “Adakah sesiapa daripada keluarga Raja Saul yang masih hidup, supaya beta dapat berbuat baik kepadanya menurut janji beta kepada Allah?” Ziba menjawab, “Masih ada seorang anak lelaki Yonatan. Dia tempang.” Raja Daud bertanya, “Di mana dia?” Ziba menjawab, “Di Lodebar, di rumah Makhir anak Amiel.” Oleh itu Raja Daud menyuruh orang memanggil anak Yonatan itu. Ketika Mefiboset anak Yonatan, cucu Raja Saul itu tiba, dia sujud untuk menghormati Raja Daud. Raja Daud menyambutnya, dan bertitah, “Mefiboset,” lalu dia menjawab, “Ya, tuanku.” Raja Daud bertitah kepadanya, “Jangan takut. Beta akan bermurah hati kepadamu kerana Yonatan, bapamu. Beta akan memberi engkau semula semua tanah yang dahulu dimiliki datukmu Raja Saul. Kamu akan sentiasa dijemput makan di meja beta.” Mefiboset bersujud sekali lagi dan berkata, “Hamba hanya seperti anjing mati. Mengapakah tuanku begitu baik terhadap hamba?” Selepas itu Raja Daud memanggil Ziba, hamba Raja Saul, dan bertitah kepadanya, “Beta telah menyerahkan segala milik Raja Saul dan keluarganya kepada Mefiboset, cucu tuanmu itu. Kamu, anak-anakmu dan hamba-hambamu, mesti mengusahakan tanah itu untuk keluarga tuanmu, dan berikanlah hasil tanah itu kepada mereka untuk mencukupi keperluan mereka. Tetapi Mefiboset akan sentiasa makan di meja beta.” (Ziba mempunyai lima belas orang anak lelaki dan dua puluh orang hamba.) Ziba menjawab, “Hamba akan melaksanakan segala perintah tuanku.” Oleh itu Mefiboset makan bersama-sama raja, seperti salah seorang putera Raja Daud sendiri. Mefiboset mempunyai seorang anak lelaki bernama Mikha, yang masih muda. Semua anggota keluarga Ziba menjadi hamba Mefiboset. Demikianlah Mefiboset yang cacat kedua-dua kakinya itu tinggal di Yerusalem dan sentiasa makan di meja raja.

2 SAMUEL 9:3-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian berkatalah raja: “Daripada keluarga Saul, tidak adakah lagi orang yang tinggal? Aku hendak menunjukkan kepadanya kasih daripada Allah.” Jawab Ziba kepada raja, “Masih ada seorang anak lelaki Yonatan yang tempang kedua-dua belah kakinya.” Tanya raja kepadanya, “Di manakah dia?” Jawab Ziba kepada raja: “Dia ada di rumah Makhir anak Amiel, di Lodebar.” Sesudah itu Raja Daud menyuruh orang itu dibawa dari rumah Makhir anak Amiel, dari Lodebar. Dan Mefiboset anak Yonatan anak Saul masuk menghadap Daud lantas sujud dan menyembah. Kata Daud, “Mefiboset!” Jawabnya, “Hambamu ini, tuanku.” Kemudian berkatalah Daud kepadanya: “Janganlah takut, kerana aku pasti akan menunjukkan kasihku kepadamu demi Yonatan, ayahmu. Aku akan mengembalikan kepadamu segala ladang Saul, datukmu, dan engkau akan selalu makan di mejaku.” Lalu sujudlah Mefiboset dan berkata, “Siapakah hambamu ini, sehingga tuanku menghiraukan anjing mati seperti aku?” Kemudian raja memanggil Ziba, hamba Saul itu, dan berkata kepadanya, “Segala milik Saul dan milik seluruh keluarganya kukurniakan kepada cucu tuanmu ini. Engkau, anak-anakmu dan hamba-hambamu harus mengerjakan tanah baginya serta mengumpulkan hasil supaya cucu tuanmu ini cukup makanan. Mefiboset, cucu tuanmu itu, akan selalu makan di mejaku.” Ziba mempunyai lima belas orang anak lelaki dan dua puluh orang hamba. Berkatalah Ziba kepada raja: “Semua yang diperintahkan Tuanku Raja akan hamba laksanakan.” Maka Mefiboset makan di meja Daud sebagai salah seorang anak raja. Mefiboset mempunyai seorang anak lelaki bernama Mikha yang masih kecil, dan semua orang yang tinggal di rumah Ziba ialah hamba Mefiboset. Demikianlah Mefiboset, yang tempang kedua-dua belah kakinya itu, tinggal di Yerusalem dan selalu makan di meja raja.