2 SAMUEL 7:1-13

2 SAMUEL 7:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN melindungi Raja Daud daripada segala gangguan musuh, sehingga baginda dapat menetap di istananya. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Nabi Natan, “Lihatlah, beta tinggal di dalam istana yang diperbuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian Allah disimpan di dalam khemah!” Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku, kerana TUHAN menolong tuanku.” Tetapi malam itu TUHAN berfirman kepada Natan, “Pergilah beritahu hamba-Ku Daud, firman-Ku ini, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku. Sejak Aku menyelamatkan umat Israel dari Mesir sehingga kini, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku mengembara dan tinggal di dalam khemah. Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang Aku pilih, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’ Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel. Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia. Aku telah memilih satu negeri bagi umat-Ku Israel, dan Aku telah menempatkan mereka di sana. Mereka tidak akan ditindas lagi oleh sesiapa pun. Sejak mereka menduduki negeri itu mereka telah diserang oleh orang kejam, tetapi mulai sekarang hal itu tidak akan berulang lagi. Aku berjanji akan melindungi engkau daripada musuhmu dan memberi engkau keturunan. Jika sampai akhir hayatmu, dan engkau dikebumikan di kubur nenek moyangmu, seorang daripada puteramu akan Kulantik menjadi raja, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina rumah bagi-Ku, dan Aku akan memastikan supaya untuk selama-lamanya seorang keturunannya akan memerintah sebagai raja.

2 SAMUEL 7:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah raja menetap di dalam istananya dan TUHAN mengurniakan ketenteraman kepadanya daripada semua musuh di sekelilingnya, berkatalah raja kepada nabi Natan, “Lihatlah, aku ini tinggal dalam rumah kayu araz walhal tabut Allah tinggal di dalam khemah.” Jawab Natan kepada raja, “Lakukanlah segala sesuatu yang tuanku niatkan, kerana TUHAN menyertai tuanku.” Akan tetapi, pada malam itu juga datanglah firman TUHAN kepada Natan demikian, “Pergilah dan katakanlah kepada hamba-Ku Daud, ‘Beginilah firman TUHAN, “Akankah engkau membina bagi-Ku rumah untuk didiami? Sebabnya sejak Aku memimpin orang Israel keluar dari Mesir sampai hari ini, Aku tidak pernah tinggal di dalam rumah apa-apa pun, melainkan Aku selalu hadir menyertaimu dalam sebuah khemah sebagai tempat kediaman. Ke mana-mana jua sahaja Aku mengembara bersama dengan seluruh orang Israel, pernahkah Kukatakan kepada mana-mana hakim yang Kuperintahkan menggembala umat-Ku Israel, ‘Mengapakah kamu tidak membina bagi-Ku sebuah bait daripada kayu araz?’ ” ’  Maka sekarang, beginilah yang harus kaukatakan kepada hamba-Ku Daud, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta, “Aku telah mengambil engkau dari padang ragut, daripada tugas menggiring kawanan domba, untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku, iaitu atas Israel. Aku telah menyertai engkau ke mana-mana pun engkau pergi dan telah melenyapkan semua musuhmu daripada hadapanmu. Aku akan membuat namamu besar, seperti nama orang besar yang ada di bumi. Aku akan menentukan suatu tempat bagi umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana, sehingga mereka mendiami tempat sendiri tanpa diganggu lagi. Mereka tidak akan tertindas lagi oleh orang zalim seperti sebelumnya, iaitu sejak masa Aku melantik para hakim untuk memimpin umat-Ku Israel. Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu daripada semua musuhmu. Selain itu, TUHAN pun menyatakan kepadamu bahawa TUHAN akan mengukuhkan sebuah keluarga bagimu. Apabila sampai akhir hayatmu, dan engkau dibaringkan bersama nenek moyangmu, Aku akan membangkitkan keturunanmu kelak, anak kandungmu sendiri, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. Dialah yang akan membina sebuah bait bagi nama-Ku dan Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya untuk selama-lamanya.