2 SAMUEL 5:6-12
2 SAMUEL 5:6-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari Raja Daud dan anak buah baginda berangkat untuk menyerang Yerusalem. Orang Yebusi yang tinggal di situ menyangka bahawa Raja Daud tidak sanggup mengalahkan kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Engkau tidak sekali-kali dapat masuk ke sini. Bahkan orang buta dan tempang pun dapat mengusir engkau.” ( Tetapi Raja Daud benar-benar dapat merampas Sion, kubu pertahanan mereka. Sejak itulah kubu itu dinamakan “Kota Daud.”) Pada hari itu Raja Daud bertitah kepada anak buahnya, “Adakah sesiapa di sini yang membenci orang Yebusi seperti beta membenci mereka? Cukup bencikah dia sehingga dia ingin sekali membunuh mereka? Jika begitu, masuklah melalui saluran air dan seranglah orang buta dan orang tempang yang beta benci itu.” (Itulah sebabnya orang berkata, “Orang buta dan orang tempang dilarang masuk ke dalam Rumah TUHAN.”) Setelah Raja Daud merampas kubu Sion, baginda tinggal di situ dan menamakannya “Kota Daud.” Baginda membina kota di sekeliling kubu itu, bermula dari sebelah timur bukit yang ditimbusi tanah. Raja Daud semakin lama semakin kuat kerana TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa menolong baginda. Raja Hiram, dari negeri Tirus, mengutus duta-dutanya kepada Raja Daud. Raja Hiram memberi Raja Daud kayu sedar, tukang-tukang kayu, dan tukang-tukang batu untuk membina istana. Oleh itu Raja Daud sedar bahawa TUHAN telah mengukuhkan diri baginda sebagai raja Israel, dan telah menjadikan kerajaan baginda makmur untuk kepentingan umat TUHAN.
2 SAMUEL 5:6-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian raja dan orangnya pergi ke Yerusalem mendatangi orang Yebus, penduduk negeri itu. Orang Yebus berkata kepada Daud, “Engkau tidak mungkin masuk ke sini. Bahkan orang buta dan orang tempang dapat mengusirmu.” Fikir mereka, “Daud tidak dapat masuk ke sini.” Akan tetapi, Daud merebut kubu pertahanan Sion, iaitu Kota Daud. Pada hari itu berkatalah Daud, “Sesiapa hendak menewaskan orang Yebus biarlah dia naik melalui saluran air untuk menyerang orang tempang dan orang buta yang membenci Daud itu.” Itulah sebabnya orang berkata, “Orang buta dan orang tempang tidak boleh masuk ke dalam istana.” Kemudian Daud tinggal di kubu pertahanan itu dan menamakannya Kota Daud. Kota itu dibinanya di sekeliling kubu itu, bermula dari Milo ke arah dalam. Maka kebesaran Daud semakin bertambah, kerana TUHAN, Allah alam semesta, menyertainya. Hiram, raja Tirus, mengirim beberapa orang utusan kepada Daud dengan membawa kayu araz, para tukang kayu, dan para tukang batu. Mereka membina sebuah istana untuk Daud. Maka sedarlah Daud bahawa TUHAN telah mengukuhkan dia sebagai raja atas Israel dan telah mengangkat martabat kerajaannya demi Israel, umat-Nya.