2 SAMUEL 24:1-25
2 SAMUEL 24:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN murka lagi kepada umat Israel, lalu Dia menyuruh Raja Daud untuk mendatangkan kesukaran kepada umat itu. TUHAN berfirman kepada Raja Daud, “Adakanlah pembancian penduduk Israel dan Yehuda.” Kemudian Raja Daud memerintah Yoab, panglima perang baginda, “Pergilah bersama dengan para pahlawanmu kepada semua suku Israel di seluruh negeri untuk mengadakan pembancian. Beta ingin tahu jumlah mereka.” Tetapi Yoab berkata kepada raja, “Semoga TUHAN, Allah tuanku melipatgandakan rakyat Israel sampai seratus kali daripada jumlah sekarang, dan semoga tuanku masih hidup supaya dapat melihatnya. Tetapi untuk apakah tuanku menghendaki pembancian ini?” Tetapi raja tetap berpegang pada perintahnya itu. Oleh itu Yoab dan para pahlawannya pergi membanci umat Israel. Setelah menyeberangi Sungai Yordan, Yoab dan anak buahnya berkhemah di sebelah selatan Aroer, sebuah kota di tengah-tengah lembah di wilayah Gad. Dari situ mereka pergi ke utara, ke Yaezer, lalu terus ke Gilead dan ke Kades di wilayah orang Het. Kemudian mereka pergi ke Dan, lalu dari Dan mereka membelok ke arah barat, ke kota Saida. Dari situ mereka pergi ke selatan, ke Tirus, kota yang berkubu itu. Seterusnya mereka pergi ke semua kota orang Hewi dan orang Kanaan, dan akhirnya ke Bersyeba, di bahagian selatan Yehuda. Mereka menjelajahi seluruh negeri dalam masa sembilan bulan dan dua puluh hari, lalu mereka kembali ke Yerusalem. Mereka memberikan laporan kepada raja tentang jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk menjadi askar: 800,000 orang di Israel dan 500,000 orang di Yehuda. Tetapi setelah membanci umat itu, Raja Daud berasa bersalah. Lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Ya TUHAN, aku sangat berdosa! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.” TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, “Pergilah dan katakanlah kepada Raja Daud bahawa Aku memberikan tiga pilihan kepadanya. Apa saja yang dipilihnya akan Kulakukan.” Keesokan harinya, selepas Raja Daud bangun dari tidur, Gad datang menghadap baginda dan menyampaikan firman TUHAN kepadanya. Nabi itu bertanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau negeri ini diserang wabak selama tiga hari? Fikirkanlah hal ini, dan beritahulah hamba jawapan yang akan hamba sampaikan kepada TUHAN.” Raja Daud menjawab, “Beta dalam keadaan yang sangat mencemaskan! Tetapi beta tidak mahu dihukum oleh manusia. Biarlah TUHAN sendiri yang menghukum kita, kerana Dia penuh belas kasihan.” Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel mulai pagi hari itu sampai pada waktu yang telah ditetapkan-Nya. Sebanyak 70,000 orang meninggal di seluruh Israel. Malaikat TUHAN telah sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, orang Yebusi. Ketika TUHAN nampak bahawa malaikat itu telah bersedia untuk memusnahkan Yerusalem, TUHAN mengubah keputusan-Nya untuk menghukum umat itu. Dia berfirman kepada malaikat yang sedang membunuh umat itu, “Cukup! Berhenti!” Raja Daud nampak malaikat yang sedang membunuh rakyat itu, lalu baginda berkata kepada TUHAN, “Akulah yang berdosa kerana aku melakukan kesalahan itu. Tetapi apakah kesalahan bangsa yang malang itu? Hukumlah aku dan keluargaku!” Pada hari itu juga Gad datang menghadap Raja Daud dan berkata kepadanya, “Hendaklah tuanku naik ke tempat mengirik gandum kepunyaan Arauna, dan dirikanlah mazbah bagi TUHAN.” Maka Raja Daud berangkat, menurut perintah TUHAN yang disampaikan oleh Gad. Arauna melihat ke bawah, lalu nampak raja serta para pegawainya naik menuju ke tempatnya. Kemudian Arauna sujud di hadapan Raja Daud, lalu bertanya, “Apa maksud kedatangan tuanku?” Raja Daud menjawab, “Untuk membeli tempat mengirik gandum kepunyaanmu, dan untuk mendirikan mazbah bagi TUHAN, supaya wabak ini berhenti.” Arauna berkata, “Ambil saja tuanku, dan persembahkanlah apa saja yang dikehendaki tuanku, kepada TUHAN. Inilah lembu-lembu untuk dibakar sebagai korban di atas mazbah, dan tuanku boleh menggunakan koknya dan papan-papan tempat mengirik sebagai kayu api.” Arauna memberikan semua itu kepada raja, seraya berkata, “Kiranya TUHAN, Allah tuanku menerima persembahan tuanku.” Tetapi raja menjawab, “Tidak! Beta mahu membelinya. Beta tidak mahu mempersembahkan sesuatu yang beta dapat dengan percuma, kepada TUHAN, Allah beta.” Raja Daud membeli tempat mengirik gandum dan lembu-lembu itu dengan harga lima puluh keping wang perak. Kemudian Raja Daud mendirikan mazbah di situ bagi TUHAN, lalu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban untuk memohon berkat TUHAN. TUHAN mengabulkan doa Raja Daud, lalu wabak yang melanda Israel itu berhenti.
2 SAMUEL 24:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekali lagi murka TUHAN menyala terhadap orang Israel, lalu untuk melawan mereka digerakkan-Nya hati Daud. Firman-Nya, “Pergilah, jalankanlah bancian atas warga Israel dan warga Yehuda.” Maka berkatalah raja kepada Yoab, panglima tentera yang ada bersama-samanya, “Jelajahilah semua suku Israel dari Dan sampai Bersyeba, dan jalankanlah bancian umat, supaya aku tahu akan jumlah mereka.” Kata Yoab kepada raja, “Semoga TUHAN, Allah tuanku, menambah bilangan umat ini seratus kali ganda daripada jumlah mereka sekarang, dan semoga mata Tuanku Raja melihatnya sendiri. Akan tetapi, mengapakah Tuanku Raja menghendaki hal ini?” Meskipun begitu, kata-kata raja terpaksa dituruti oleh Yoab serta para panglima pasukan. Maka pergilah Yoab dan para panglima pasukan itu dari hadapan raja untuk membanci umat Israel. Mereka menyeberangi Sungai Yordan dan berkhemah di Aroer, sebelah selatan kota yang terletak di tengah-tengah Lembah Gad. Dari situ mereka menuju Yaezer, lalu sampai di Gilead dan di Kadesh. Setelah itu, mereka sampai di Dan Yaan, lalu berkeliling sampai ke Sidon. Mereka pun tiba di kota berkubu Tirus, dan terus berjalan ke semua kota orang Hewi serta orang Kanaan. Selanjutnya mereka pergi ke sebelah selatan Yehuda, ke Bersyeba. Setelah menjelajahi seluruh negeri itu selama sembilan bulan dua puluh hari, sampailah mereka di Yerusalem. Yoab pun memberikan jumlah angka umat itu kepada raja. Dalam kalangan orang Israel ada lapan ratus ribu orang gagah perkasa yang mahir menggunakan pedang, sedangkan dalam kalangan Yehuda ada lima ratus ribu orang. Akan tetapi, hati nurani Daud terusik setelah dia menghitung umat. Lalu berkatalah Daud kepada TUHAN, “Aku sangat berdosa dengan perbuatanku ini. Sekarang, ya TUHAN, semoga Engkau menjauhkanlah kesalahan hamba-Mu ini, kerana perbuatanku ini sangat bodoh.” Ketika Daud bangun pada pagi harinya, datanglah firman TUHAN kepada nabi Gad, pelihat Daud, demikian, “Pergilah dan katakan kepada Daud, ‘Beginilah firman TUHAN, “Tiga perkara Kuhadapkan kepadamu. Pilihlah salah satu antaranya, dan Aku akan melakukannya.” ’ ” Gad pun datang menemui Daud dan memberitahukan hal itu kepadanya. Katanya kepadanya, “Adakah akan kaupilih tiga tahun kelaparan menimpa negerimu? Atau, mahukah engkau melarikan diri selama tiga bulan dari hadapan lawanmu, sementara mereka mengejar engkau? Atau, akankah kaupilih tiga hari wabak sampar di negerimu? Sekarang fikirkanlah dan pertimbangkanlah, jawapan apa yang harus kusampaikan kepada Dia yang mengutus aku.” Jawab Daud kepada Gad, “Hal ini sangat menyesakkan bagiku. Biarlah kita jatuh ke tangan TUHAN, kerana rahmat-Nya besar. Jangan aku jatuh ke dalam tangan manusia.” Jadi, TUHAN mendatangkan wabak penyakit atas Israel dari pagi sampai waktu yang ditetapkan. Maka dari antara umat itu, matilah tujuh puluh ribu orang dari Dan sampai Bersyeba. Tetapi ketika malaikat menghulurkan tangannya atas Yerusalem untuk memusnahkannya, TUHAN berbelas kasihan atas sebab malapetaka itu. Firman-Nya kepada malaikat yang memusnahkan umat, “Cukup! Sekarang turunkanlah tanganmu!” Pada waktu itu malaikat TUHAN berada berdekatan dengan tempat pembantingan bijirin Arauna, orang Yebus. Ketika Daud melihat malaikat yang mengajar umat itu, dia pun berkata kepada TUHAN, “Sesungguhnya, aku telah berdosa dan telah melakukan kesalahan. Tetapi domba-domba ini, apakah yang telah dilakukan mereka? Biarlah tangan-Mu melawan aku dan kaum keluargaku.” Pada hari itu Gad datang lagi menghadap Daud dan berkata kepadanya, “Pergilah, dirikanlah sebuah mazbah bagi TUHAN di tempat pembantingan bijirin Arauna, orang Yebus itu.” Lalu Daud pun pergi, seperti yang diperintahkan TUHAN melalui Gad. Ketika Arauna menengok dan melihat raja bersama-sama para pegawainya berjalan ke arahnya, keluarlah dia lalu sujud dan memberi hormat kepadanya. Arauna bertanya, “Mengapakah Tuanku Raja datang kepada hambanya ini?” Jawab Daud, “Aku hendak membeli tempat pembantingan bijirin ini daripada kamu. Di tempat ini akan kudirikan sebuah mazbah bagi TUHAN, supaya wabak sampar ini berhenti menimpa umat.” Kata Arauna kepada Daud, “Ambillah sahaja, Tuanku Raja, dan persembahkanlah apa yang dipandang baik. Lihat, di sini ada lembu untuk korban bakaran, sedangkan segala tukul pengirik serta perkakas lembu itu dapat menjadi kayu bakarnya. Semua ini, ya Raja, Arauna persembahkan kepada Raja.” Kata Arauna pula kepada raja, “Semoga TUHAN, Allah tuanku, berkenan kepada tuanku.” Akan tetapi, raja berkata kepada Arauna, “Jangan begitu, kerana aku mahu membelinya daripada kamu dengan harga yang layak. Aku tidak mahu mempersembahkan korban bakaran kepada TUHAN, Allahku secara percuma.” Maka Daud membeli tempat pembantingan bijirin itu dengan lembu-lembunya pada harga lima puluh syikal perak. Daud pun mendirikan sebuah mazbah bagi TUHAN di sana, lalu dipersembahkannya korban bakaran dan korban kedamaian. Maka TUHAN mengabulkan doa untuk negeri itu, sehingga wabak itu berhenti menimpa Israel.