2 SAMUEL 12:1-31

2 SAMUEL 12:1-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu TUHAN mengutus Nabi Natan kepada Raja Daud. Natan menghadap Raja Daud dan berkata, “Ada dua orang lelaki yang tinggal di sebuah kota; yang seorang kaya dan yang seorang lagi miskin. Si kaya itu mempunyai banyak lembu dan domba, tetapi si miskin itu hanya mempunyai seekor anak domba yang dibelinya. Dia memelihara anak domba itu di dalam rumahnya bersama dengan anak-anaknya. Anak domba itu diberi makan daripada makanan orang itu, minum daripada cawannya, dan tidur di pangkuannya. Pendek kata, anak domba itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri. Pada suatu hari, ada tetamu tiba di rumah si kaya. Si kaya tidak mahu menyembelih domba atau lembunya sendiri supaya dimasak untuk menjamu tetamu itu. Sebaliknya, dia mengambil anak domba si miskin itu supaya dimasak untuk tetamunya.” Setelah mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka terhadap perbuatan orang kaya itu, sehingga Raja Daud bertitah, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati! Orang itu mesti mengganti anak domba itu empat kali ganda, kerana perbuatannya itu sangat kejam.” Natan berkata kepada Raja Daud, “Tuanku adalah orang itu! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah umat Israel, ‘Aku sudah melantik engkau menjadi raja Israel dan menyelamatkan engkau daripada Saul. Aku sudah memberikan kerajaan Saul dan isteri-isterinya kepadamu. Bahkan engkau sudah Aku jadikan raja Israel dan Yehuda. Jika semuanya ini masih belum cukup, tentu Aku akan memberi engkau sebanyak dua kali ganda lagi. Tetapi mengapa engkau melawan perintah-Ku? Mengapa engkau melakukan perkara yang jahat itu? Engkau sengaja membiarkan Uria terbunuh di medan peperangan. Engkau membiarkan orang Amon membunuh dia, lalu engkau mengambil isterinya! Oleh sebab engkau tidak mentaati Aku dan engkau mengambil isteri Uria, maka dalam setiap generasi keturunanmu akan ada yang mati terbunuh. Aku bersumpah akan menimpa engkau dengan kesusahan yang disebabkan oleh anggota keluargamu sendiri. Aku akan mengambil isteri-isterimu di hadapan matamu sendiri, lalu Aku akan memberikan mereka kepada orang lain yang akan berseketiduran dengan mereka secara terang-terang. Engkau berbuat dosa secara sembunyi-sembunyi, tetapi Aku akan membiarkan hal yang sama terjadi secara terang-terang di hadapan segenap umat Israel.’ ” Raja Daud bertitah kepada Natan, “Sesungguhnya beta sudah berdosa terhadap TUHAN.” Natan menjawab, “TUHAN sudah mengampuni tuanku, dan tuanku tidak akan mati. Tetapi kerana tuanku telah menghina TUHAN dengan perbuatan itu, putera tuanku yang baru lahir itu akan mangkat.” Kemudian Natan pulang ke rumahnya. Putera Raja Daud yang dilahirkan oleh Batsyeba, bekas isteri Uria, dibiarkan TUHAN menjadi sakit tenat. Raja Daud berdoa kepada Allah bagi kesembuhan anak itu. Raja Daud berpuasa dan setiap malam baginda berbaring di lantai biliknya semalam suntuk. Para pegawai istana cuba membujuk Raja Daud supaya bangun, tetapi baginda tidak mahu. Baginda tidak mahu makan bersama-sama mereka. Seminggu kemudian anak itu mangkat, dan para pegawai Raja Daud takut untuk memberitahukan hal itu kepada baginda. Kata mereka, “Pada masa anak itu masih hidup, raja tidak mahu mendengarkan kita ketika bercakap dengan raja. Apalagi sekarang sesudah putera raja mangkat! Jangan-jangan raja akan nekad, lalu menyakiti diri baginda sendiri!” Apabila Raja Daud nampak mereka berbisik-bisik, baginda sedar bahawa anak itu sudah mangkat. Oleh itu baginda bertanya kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mangkat?” “Ya,” jawab mereka. Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan. Para pegawai baginda berkata kepadanya, “Hamba sekalian tidak faham, tuanku. Ketika putera tuanku masih hidup, tuanku berpuasa dan menangisi dia. Tetapi sebaik saja dia mangkat, tuanku bangun lalu makan!” “Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup. Tetapi sekarang, setelah dia mangkat, apakah gunanya beta terus berpuasa? Dapatkah beta menghidupkan dia semula? Nanti beta akan pergi juga ke tempat dia berada, tetapi sekarang dia tidak akan kembali kepada beta.” Raja Daud menghibur hati Batsyeba isterinya, lalu berseketiduran dengan dia. Kemudian Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Salomo oleh Raja Daud. TUHAN mengasihi anak itu dan menyuruh Nabi Natan menamakan anak itu Yedija, kerana TUHAN mengasihi dia. Sementara itu Yoab masih bertempur untuk merebut Raba, ibu kota negeri Amon, dan dia telah hampir merebut kota itu. Oleh itu dia mengirim utusan kepada Raja Daud dan melaporkan, “Hamba telah menyerang Raba dan merampas bekalan airnya. Sekarang, sudilah tuanku mengumpulkan tentera kita yang lain, lalu memimpin serangan untuk merebut kota itu. Dengan demikian tidak akan dikatakan orang bahawa hamba yang merebut kota itu.” Kemudian Raja Daud mengumpulkan segenap tenteranya lalu menyerang Raba. Baginda menyerbu dan mengalahkan kota itu. Raja Daud mengambil mahkota raja mereka lalu memakainya. Mahkota itu seberat kira-kira 35 kilogram dan bertatahkan permata indah. Raja Daud juga membawa banyak sekali barang jarahan dari kota itu. Selain itu penduduknya digiring dan disuruh membawa gergaji, cangkul besi, kapak besi, lalu mereka dipaksa bekerja di tempat pembuatan batu bata. Perkara itu dilakukannya juga kepada penduduk kota-kota Amon yang lain. Selepas itu Raja Daud dan semua tenteranya kembali ke Yerusalem.

2 SAMUEL 12:1-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

TUHAN mengutus Natan kepada Daud. Lalu datanglah dia menemui Daud dan berkata kepadanya, “Ada dua orang di dalam sebuah kota, seorang kaya dan seorang lagi miskin. Si kaya memiliki banyak sekali kawanan domba dan lembu. Tetapi si miskin tidak memiliki apa-apa pun selain seekor anak domba betina kecil, yang dibeli dan dipeliharanya, serta menjadi besar di rumahnya bersama-sama anak-anaknya. Anak domba itu makan makanannya, minum daripada cangkirnya, dan tidur di pangkuannya dan sudah menjadi seperti seorang anak perempuan sahaja baginya. Pada suatu waktu, datanglah seorang pengembara mengunjungi orang kaya itu. Si kaya itu enggan mengambil salah seekor kawanan domba dan lembunya untuk disediakan sebagai sajian bagi pengembara yang singgah itu. Sebaliknya dia mengambil anak domba betina milik orang miskin itu dan menyediakannya menjadi sajian bagi orang yang singgah di rumahnya itu.” Maka menyala-nyalalah amarah Daud dengan kuatnya terhadap orang kaya itu. Katanya kepada Natan, “Demi TUHAN yang hidup, orang yang melakukan hal itu harus mati! Hendaklah dia mengganti anak domba betina itu empat kali ganda, kerana dia telah melakukan hal semacam itu dan kerana nyata dia tiada sifat belas kasihan.” Kata Natan kepada Daud, “Engkaulah orang itu! Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah melantik engkau menjadi raja atas orang Israel, dan Aku telah membebaskan engkau daripada tangan Saul. Seisi istana tuanmu telah kuberikan kepadamu, demikian juga isteri-isteri tuanmu ke pangkuanmu. Aku pun mengurniakan kepadamu keturunan kaum Israel dan Yehuda. Jika itu belum cukup, tentu Aku akan menambahkan ini dan itu lagi bagimu. Lalu mengapakah engkau meremehkan firman TUHAN dengan melakukan hal yang jahat di sisi-Nya? Engkau membunuh Uria, orang Het itu, dengan pedang. Kauambil isterinya menjadi isterimu, dan dia sendiri kaubunuh dengan pedang bani Amon. Maka sekarang, pedang tidak akan dijauhkan daripada keluargamu untuk selama-lamanya, kerana engkau telah meremehkan Aku dan mengambil isteri Uria, orang Het itu, menjadi isterimu.’ Beginilah firman TUHAN, ‘Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka bagimu dari dalam keluargamu sendiri. Aku akan mengambil isteri-isterimu di hadapan matamu dan menyerahkan mereka kepada orang lain. Isteri-isterimu akan ditidurinya ketika hari siang lagi. Engkau melakukan hal itu secara sembunyi-sembunyi, tetapi Aku akan menghukum kamu di depan semua orang Israel secara terang-terang.’ ” Jawab Daud kepada Natan, “Aku telah berdosa terhadap TUHAN.” Kata Natan kepada Daud, “TUHAN telah menjauhkan dosamu itu. Engkau tidak akan mati. Meskipun begitu, kerana dengan perbuatan ini engkau telah mencemuh TUHAN, maka anak yang dilahirkan bagimu itu pasti akan mati.” Setelah itu, pulanglah Natan ke rumahnya. Kemudian TUHAN menulahi anak yang dilahirkan oleh balu Uria bagi Daud sehingga anak itu menjadi sakit. Daud pun memanjatkan permohonan kepada Allah demi anak itu sambil berpuasa. Dia masuk ke dalam dan berbaring di lantai semalam-malaman. Lalu para tua-tua istananya datang untuk memintanya bangun dari lantai, tetapi dia tidak mahu. Dia juga tidak mahu makan bersama-sama mereka. Pada hari ketujuh anak itu meninggal. Para pegawai Daud berasa takut untuk memberitahunya bahawa anak itu sudah meninggal. Kata mereka, “Ketika anak itu masih hidup sahaja kita telah berbicara kepada baginda dan baginda tidak mahu mendengar kata-kata kita. Bagaimanakah pula kita dapat mengatakan kepada baginda bahawa anak itu sudah meninggal? Jangan-jangan baginda akan mencederakan dirinya.” Ketika Daud melihat para pegawainya berbisik-bisik antara satu sama lain, tahulah dia bahawa anak itu sudah meninggal. Lalu bertanyalah Daud kepada para pegawainya, “Apakah anak itu sudah meninggal?” Jawab mereka, “Ya, sudah meninggal.” Kemudian bangkitlah Daud dari lantai, lalu mandi. Dia memakai wangi-wangian dan menukar pakaiannya. Kemudian dia masuk ke dalam Bait TUHAN dan menyembah-Nya, lalu pergi ke istananya. Atas permintaannya roti dihidangkan untuknya, lalu dia bersantap. Maka berkatalah para pegawainya kepadanya, “Apakah maksud perbuatan tuanku ini? Ketika anak itu masih hidup, tuanku berpuasa serta menangis, tetapi sesudah anak itu meninggal, tuanku bangun dan bersantap.” Jawabnya, “Ketika anak itu masih hidup aku berpuasa serta menangis, kerana fikirku, ‘Siapa tahu TUHAN akan mengasihani aku, sehingga anak itu tetap hidup.’ Tetapi sekarang dia sudah meninggal, mengapakah aku harus berpuasa? Dapatkah aku mengembalikannya lagi? Aku yang akan pergi kepadanya, tetapi dia tidak akan kembali kepadaku.” Lalu Daud menghiburkan Batsyeba, isterinya. Dia menghampiri perempuan itu dan tidur dengan dia. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki, dan Daud menamainya Salomo. TUHAN mengasihi anak ini, dan dengan perantaraan nabi Natan anak itu dinamai Yedija selaras dengan pesan TUHAN. Yoab berperang melawan Raba, kota bani Amon, dan dia merebut kota kerajaan itu. Kemudian Yoab mengirimkan beberapa orang pesuruh untuk menghadap Daud dengan pesan, “Hamba telah memerangi Raba dan telah merebut perairan kota itu. Maka sekarang, kerahkanlah rakyat yang selebihnya, kepunglah kota itu dan rebutlah, supaya jangan hamba yang merebut kota itu dan kota itu dinamai menurut nama hamba.” Maka Daud mengerahkan seluruh rakyat lalu pergi ke Raba. Dia memerangi kota itu dan merebutnya. Dia mengambil mahkota daripada kepala raja mereka, beratnya satu talenta emas dan bertatahkan batu permata yang indah, lalu mahkota itu dikenakan pada kepala Daud. Dia mengangkut banyak sekali jarahan dari kota itu. Dia juga mengangkut rakyat kota itu dan menempatkan mereka untuk bekerja dengan gergaji, penggerek besi, dan kapak besi. Selain itu mereka pun dipaksa bekerja di tempat pembuatan batu bata. Demikianlah yang dilakukannya terhadap semua kota bani Amon. Kemudian kembalilah Daud dan seluruh pasukannya ke Yerusalem.