2 SAMUEL 12:1-10
2 SAMUEL 12:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas itu TUHAN mengutus Nabi Natan kepada Raja Daud. Natan menghadap Raja Daud dan berkata, “Ada dua orang lelaki yang tinggal di sebuah kota; yang seorang kaya dan yang seorang lagi miskin. Si kaya itu mempunyai banyak lembu dan domba, tetapi si miskin itu hanya mempunyai seekor anak domba yang dibelinya. Dia memelihara anak domba itu di dalam rumahnya bersama dengan anak-anaknya. Anak domba itu diberi makan daripada makanan orang itu, minum daripada cawannya, dan tidur di pangkuannya. Pendek kata, anak domba itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri. Pada suatu hari, ada tetamu tiba di rumah si kaya. Si kaya tidak mahu menyembelih domba atau lembunya sendiri supaya dimasak untuk menjamu tetamu itu. Sebaliknya, dia mengambil anak domba si miskin itu supaya dimasak untuk tetamunya.” Setelah mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka terhadap perbuatan orang kaya itu, sehingga Raja Daud bertitah, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati! Orang itu mesti mengganti anak domba itu empat kali ganda, kerana perbuatannya itu sangat kejam.” Natan berkata kepada Raja Daud, “Tuanku adalah orang itu! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah umat Israel, ‘Aku sudah melantik engkau menjadi raja Israel dan menyelamatkan engkau daripada Saul. Aku sudah memberikan kerajaan Saul dan isteri-isterinya kepadamu. Bahkan engkau sudah Aku jadikan raja Israel dan Yehuda. Jika semuanya ini masih belum cukup, tentu Aku akan memberi engkau sebanyak dua kali ganda lagi. Tetapi mengapa engkau melawan perintah-Ku? Mengapa engkau melakukan perkara yang jahat itu? Engkau sengaja membiarkan Uria terbunuh di medan peperangan. Engkau membiarkan orang Amon membunuh dia, lalu engkau mengambil isterinya! Oleh sebab engkau tidak mentaati Aku dan engkau mengambil isteri Uria, maka dalam setiap generasi keturunanmu akan ada yang mati terbunuh.
2 SAMUEL 12:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
TUHAN mengutus Natan kepada Daud. Lalu datanglah dia menemui Daud dan berkata kepadanya, “Ada dua orang di dalam sebuah kota, seorang kaya dan seorang lagi miskin. Si kaya memiliki banyak sekali kawanan domba dan lembu. Tetapi si miskin tidak memiliki apa-apa pun selain seekor anak domba betina kecil, yang dibeli dan dipeliharanya, serta menjadi besar di rumahnya bersama-sama anak-anaknya. Anak domba itu makan makanannya, minum daripada cangkirnya, dan tidur di pangkuannya dan sudah menjadi seperti seorang anak perempuan sahaja baginya. Pada suatu waktu, datanglah seorang pengembara mengunjungi orang kaya itu. Si kaya itu enggan mengambil salah seekor kawanan domba dan lembunya untuk disediakan sebagai sajian bagi pengembara yang singgah itu. Sebaliknya dia mengambil anak domba betina milik orang miskin itu dan menyediakannya menjadi sajian bagi orang yang singgah di rumahnya itu.” Maka menyala-nyalalah amarah Daud dengan kuatnya terhadap orang kaya itu. Katanya kepada Natan, “Demi TUHAN yang hidup, orang yang melakukan hal itu harus mati! Hendaklah dia mengganti anak domba betina itu empat kali ganda, kerana dia telah melakukan hal semacam itu dan kerana nyata dia tiada sifat belas kasihan.” Kata Natan kepada Daud, “Engkaulah orang itu! Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah melantik engkau menjadi raja atas orang Israel, dan Aku telah membebaskan engkau daripada tangan Saul. Seisi istana tuanmu telah kuberikan kepadamu, demikian juga isteri-isteri tuanmu ke pangkuanmu. Aku pun mengurniakan kepadamu keturunan kaum Israel dan Yehuda. Jika itu belum cukup, tentu Aku akan menambahkan ini dan itu lagi bagimu. Lalu mengapakah engkau meremehkan firman TUHAN dengan melakukan hal yang jahat di sisi-Nya? Engkau membunuh Uria, orang Het itu, dengan pedang. Kauambil isterinya menjadi isterimu, dan dia sendiri kaubunuh dengan pedang bani Amon. Maka sekarang, pedang tidak akan dijauhkan daripada keluargamu untuk selama-lamanya, kerana engkau telah meremehkan Aku dan mengambil isteri Uria, orang Het itu, menjadi isterimu.’